PUTERI RASULULLAH S.A.W. - SITI FATIMAH R.A

Kisah Puteri Rasulullah s.a.w. Yang Bernama Siti Fatimah r.a.

Gembira hatinya, gembiralah Rasulullah s.a.w.
Tertitis air matanya, berdukalah baginda. Dialah satu-satunya puteri
yang paling dikasihi oleh junjungan Rasul selepas kewafatan isterinya yang
paling dicintai, Siti Khadijah. Itulah Siti Fatimah r.a., wanita
terkemuka di dunia dan penghuni syurga di akhirat.

Bersuamikan Sayyidina Ali bukanlah satu kebanggaan yang menjanjikan
kekayaan harta. Ini adalah kerana Sayyidina Ali yang merupakan salah
seorang daripada empat sahabat yang sangat rapat dengan Rasulullah
s.a.w., merupakan kalangan sahabat yang sangat miskin berbanding dengan
yang lain. Namun jauh di sanubari Rasulullah
s.a.w. tersimpan perasaan
kasih dan sayang yang sangat mendalam terhadapnya.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepadanya,"
Fatimah lebih kucintai daripada engkau, namun dalam pandanganku engkau
lebih mulia daripada dia." (Riwayat Abu Hurairah)

Wanita pilihan untuk lelaki pilihan. Fatimah
mewarisi akhlak ibunya Siti Khadijah.Tidak pernah membebani dan menyakiti
suami dengan kata-kata atau sikap. Sentiasa senyum menyambut
kepulangan suami hingga hilang separuh masalah suaminya.

Dengan mas kahwin hanya 400 dirham hasil jualan
baju perang kepada Sayyidina Usman Ibnu Affan itulah dia memulakan
penghidupan dengan wanita yang sangat dimuliakan Allah di dunia dan
di Akhirat.

Bukan Sayyidina Ali tidak mahu menyediakan
seorang pembantu untuk isterinya tetapi sememangnya beliau tidak mampu
berbuat demikian. Meskipun beliau cukup tahu isterinya saban hari
bertungkus-lumus menguruskan anak-anak, memasak, membasuh dan
menggiling tepung, dan yang lebih memenatkan lagi bila terpaksa mengandar air
berbatu-batu jauhnya sehingga kelihatan tanda di bahu kiri dan kanannya.

Suami mana yang tidak sayangkan isteri. Ada ketikanya bila Sayyidina
Ali berada di rumah, beliau akan turut sama menyinsing lengan membantu
Siti Fatimah menggiling tepung di dapur. "Terima kasih suamiku," bisik
Fatimah pada suaminya. Usaha sekecil itu, di celah-celah kesibukan sudah
cukup berkesan dalam membelai perasaan seorang isteri.

Suatu hari, Rasulullah s.a.w. masuk ke rumah anaknya. Didapati
puterinya yang berpakaian kasar itu sedang mengisar biji-biji gandum
dalam linangan air mata.

Fatimah segera mengesat air matanya tatkala menyedari kehadiran
ayahanda kesayangannya itu. Lalu ditanya oleh baginda, "Wahai buah
hatiku, apakah yang engkau tangiskan itu? Semoga Allah menggembirakanmu."

Dalam nada sayu Fatimah berkata, "Wahai ayahanda, sesungguhnya anakmu
ini terlalu penat kerana terpaksa mengisar gandum dan menguruskan segala
urusan rumah seorang diri. Wahai ayahanda, kiranya tidak keberatan
bolehkah ayahanda meminta suamiku menyediakan seorang pembantu untukku?"

Baginda tersenyum seraya bangun mendapatkan kisaran tepung itu. Dengan
lafaz Bismillah, Baginda meletakkan segenggam gandum ke dalam kisaran itu.

Dengan izin Allah, maka berpusinglah kisaran itu dengan sendirinya.
Hati Fatimah sangat terhibur dan merasa sangat gembira dengan hadiah
istimewa dari ayahandanya itu. Habis semua gandumnya dikisar dan batu
kisar itu tidak akan berhenti selagi tidak ada arahan untuk berhenti,
sehinggalah Rasulullah s.a.w. menghentikannya.

Berkata Rasulullah s.a.w. dengan kata-kata yang masyhur, "Wahai
Fatimah, Gunung Uhud pernah ditawarkan kepadaku untuk menjadi emas,
namun ayahanda memilih untuk keluarga kita kesenangan di akhirat."
Jelas, Baginda Rasul mahu mendidik puterinya bahawa kesusahan bukanlah
penghalang untuk menjadi solehah.

Ayahanda yang penyayang terus merenung puterinya dengan pandangan kasih
sayang, "Puteriku, mahukah engkau kuajarkan sesuatu yang lebih baik
daripada apa yang kau pinta itu?"

"Tentu sekali ya Rasulullah," jawab Siti Fatimah kegirangan.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jibril telah mengajarku beberapa kalimah.
Setiap kali selesai sembahyang, hendaklah membaca 'Subhanallah' sepuluh
kali, 'Alhamdulillah' sepuluh kali dan 'Allahu Akbar' sepuluh kali.
Kemudian ketika hendak tidur baca 'Subhanallah', 'Alhamdulillah' dan
'Allahu Akbar' ini sebanyak tiga puluh tiga kali."

Ternyata amalan itu telah memberi kesan kepada Siti Fatimah. Semua
kerja rumah dapat dilaksanakan dengan mudah dan sempurna meskipun tanpa
pembantu rumah.

Itulah hadiah istimewa dari Allah buat hamba-hamba yang hatinya sentiasa mengingatiNya

BACK

Segala komentar boleh dihantar terus kepada alamat e-mail di bawah
Rekabentuk dan Isi Kandungan di masukkan oleh
kingzul@ovi.com