
Himpunan artikel Dr Mohd Asri
Zainul Abidin - Mufti Perlis / Pensyarah USM

Himpunan fatwa dan risalah Dr
Yusof al-Qaradhawi - Mufti Qatar, Bekas Syeikhul Azhar

Himpunan artikel Ust Zaharuddin |
|
Hadis
Palsu Rejab, Sya'ban
Dr Mohd Asri
Zainul Abidin - Mufti Perlis / Pensyarah USM
Agama wajib dipelihara ketulenannya
supaya tidak berlaku campur aduk antara rekaan manusia dan perintah Allah
dan RasulNya. Jika agama boleh direkacipta, maka wahyu sudah tentu tidak
diperlukan, juga Rasul tidak perlu diutuskan.
Oleh itu Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama. Kita melihat
di akhir-akhir ini perkembangan yang lebih mendukacitakan, dimana adanya
individu-individu tertentu yang tidak mempunyai latar belakang pengajian
Islam atau sekadar sebulan dua di pusat pengajian tertentu kemudiannya
muncul di tengah masyarakat dengan membawa huraian-huraian yang salah
tentang Islam di sana-sini. Fonomena ini mendukacitakan kita, akhirnya
manusia mengambil agama daripada golongan jahil lalu mereka diselewengkan.
Bahkan bukan sahaja golongan yang tidak pernah mengikut pengajian Islam
membuat kesalahan dalam memetik dan menghuraikan hadith bahkan ada di
kalangan yang menggunakan lebel nama sebagai ustaz juga sering membuat
kesalahan dalam persoalan memetik dan menghuraikan hadith-hadith Nabi
s.a.w.
Sebenarnya gelaran ustaz bukan bererti seseorang itu tahu segalanya dalam
ilmu-ilmu Islam. Sebaliknya ada golongan yang digelar ustaz hanya kerana
sepatah dua kalimat yang dihafalnya.
Berbalik kepada persoalan hadith, ramai di kalangan kita yang begitu tidak
berdisplin dalam memetik hadith-hadith Nabi s.a.w., begitu juga dalam
menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan
kethabitan iaitu kepastian di atas ketulenan sesebuah hadith. Apa sahaja
yang dikatakan hadith terus sahaja dibacakan kepada masyarakat tanpa
meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadith terhadap
kedudukannya.
Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadith maka
pastinya sahih dan wajib diimani. Dengan itu apa sahaja yang mereka jumpai
daripada buku bacaan, yang dikatakan hadith maka mereka terus sandarkan
kepada Nabi s.a.w. tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran
yang diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadith yang mutawatir:
“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti
berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang
berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam
neraka” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka) Hadith ini adalah
mutawatir (lihat: Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s.239, cetakan: Dar al-Fikr
al-Mu`asarah, Beirut)
Berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang dianggap
sangat barat di dalam Islam. Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi
s.a.w. ialah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan
kepada Nabi s.a.w secara dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan
dengannya. Ini seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda
tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang baginda
tidak pernah melakukannya. Maka sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w.
samada perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ianya disebut
sebagai al-hadith. Namun menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta,
bukanlah hadith pada hakikatnya, Cuma ianya disebut hadith berdasar apa
yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq
iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadith palsu ialah:
“Hadith yang disandarkan kepada Nabi s.a.w secara dusta, ianya tidak ada
hubungan dengan Nabi s.a.w.” (lihat: Nural-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi `Ulum
al-Hadith, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu`asarah, Beirut)
Perbuatan ini adalah jenayah memalsu ciptakan agama, kerana Nabi adalah
sumber pengambilan agama. Seperti seseorang yang memalsukan passport di
atas nama sesebuah kerajaan. Ianya sebenarnya melakukan pembohongan dan
jenayah terhadap kerajaan tersebut. Kedudukan Nabi s.a.w tentunya lebih
besar dan agung untuk dubandingkan. Oleh itu dalam riwayat yang lain Nabi
s.a.w. menyebut:
“Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk
neraka” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) dalam mengulas
hadith ini: “Ianya merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi s.a.w. dan
semua jenis pendustaan ke atas baginda. Maksudnya: Jangan kamu sandarkan
pendustaan ke atasku (menggunakan namaku) (rujukan: Ibn Hajar al-`Asqalani,
Fath al-Bari, jld 1, m.s. 270, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).
Bukan sahaja membuat hadith palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa
diterang kepada orang yang mendengar bahawa ianya adalah hadith palsu juga
adalah sesuatu yang haram. Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H):
“Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya hadith palsu
meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan
menerangkan kepalsuannya” (Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s.98)
Misalnya di tanahair kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan
Sya`aban maka hadith-hadith palsu mengenai mengenai bulan-bulan tersebut
akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadith:
“Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”. Ini
adalah hadith palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah,
al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if, m.s. 95, cetakan:
Maktabal-Matbu`at al-Islamiyyah, Halab, Syria)
Nama penuhnya Ibn Jahdam ialah `Ali bin `Abdillah bin Jahdam al-Zahid.
Beliau meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah.
Dia juga dituduh membuat hadith palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat
pada jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal
fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Daral-Kutub al-`Ilmiyyah,
Beirut).
Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada beberapa
golongan yang membuat hadith palsu, yang paling bahaya ialah puak yang
menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat
hadith palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun
menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan
kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadith mendedahkan
keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah. (Ibn al-Salah, `Ulum
al-Hadith, m.s. 99)
Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi agen
menyebarkan hadith-hadith palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan
disunatkan pada bulan-bulan tersebut. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah
(wafat 751H):Hadith-hadith mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama
bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w.
Begitu juga semua hadith mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada
malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga
hadith-hadith mengenai solat pada malam Nisfu Sya`aban (kesemuanya adalah
palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn
al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).
Sebenarnya hadith sahih mengenai kebaikan malam nisfu Syaaban itu memang
ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.
Hadith yang boleh dipegang dalam masalah nisfu Sy`aaban ialah:
“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia
ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang
bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan
lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah.
(jilid 3, .m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh).
Hadith ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh
itu amalan-amalan tertentu pada malam tersebut seperti baca Yasin,
solat-solat tertentu adalah bukan ajaran Nabi s.a.w. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi
dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban:
“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa
mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban,
membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada
sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai
berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca
surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat
yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian
mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para
sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang
menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang
maknanya...perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan
dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan
diada-adakan.
Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala
kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah
golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan
setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka." (Dr.
Yusuf al-Qaradawi, jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha,
Beirut).
Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang
sederhana dan dihormati. Namun dalam masalah ini beliau agak tegas kerana
ianya ternyata bercanggahan dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Justeru itu hadith-hadith palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah
dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada
agama yang tulen. Hasil dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka
muncullah golongan agama yang suka mendakwa perkara yang bukan-bukan.
Dengan menggunakan nama agama segala rekaan baru dibuat untuk kepentingan
diri dan kumpulan. Islam tidak pernah memberi kuasa kepada kepada golongan
agama, atau sesiapa sahaja untuk mendakwa apa yang dia suka kemudian
menyandarkannya kepada agama. Agama kita rujukannya ialah al-Quran dan al-Sunnah
yang pasti kesabitannya mengikut yang diputuskan oleh para ulama hadith.
Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadith al-Azhar):
“Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadith, samada ilmu riwayat
atau dirayah (mengenai teks hadith). Mereka hanya membaca hadith apa yang
mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadith
tersebut. Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu
mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam
tiada kaitan dengannya. Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah,
memberi nasihat dan bertazkirah." (Abu Syahbah, al-Wasit fi `Ulum wa al-Mustalah
al-Hadith, m.s. 322, cetakan: Dar al-Fikr al-`Arabi, Kaherah)
Penulis menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media
elektronik dan cetak juga semua pihak yang membaca sesuatu hadith
memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini tidak
dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.
|
|

Muka Depan
AJK Surau
Waktu Solat
Himpunan Artikel
Pautan Internet
IslamOnline
IslamQ&A
al-Ahkam.net
Darul Kauthar
Laman 'Arab
al-Qaradhawi.net
al-albani.net
Binbaz.org
e-Book di Internet
Islam House
Sunni Path
Azlin's Library
Audio di Internet
Kuliah Sunnah
Azlin's Audio Lib
|