
Himpunan artikel Dr Mohd Asri
Zainul Abidin - Mufti Perlis / Pensyarah USM

Himpunan fatwa dan risalah Dr
Yusof al-Qaradhawi - Mufti Qatar, Bekas Syeikhul Azhar

Himpunan artikel Ust Zaharuddin |
|
Israiliyyat: Penceramah Mencemarkan al-Quran
Dr Mohd Asri
Zainul Abidin - Mufti Perlis / Pensyarah USM
MELIHAT sesetengah penceramah di dalam atau di luar televisyen
berceramah agama dengan menyelitkan kisah nabi-nabi atau wali-wali
yang entah dari mana dikutipnya amat merisaukan hati. Sebahagian
kisah itu tidak mempunyai sandaran agama yang diiktiraf dari segi
disiplin periwayatan. Kebanyakannya Israiliyyat.
Lebih malang, sebahagian kisah itu seperti mitos atau kartun.
Apabila dikaitkan dengan Islam, maka hilanglah kehebatan agama yang
agung itu. Secara umum Israiliyyat adalah kisah-kisah yang
bersumberkan maklumat Yahudi atau Bani Israil. Riwayat-riwayat
tersebut terselit atau disebut dalam buku-buku umat Islam.
Para ulama hadis sentiasa memperingatkan umat tentang bahaya ini.
Banyak riwayat atau kisah Israiliyyat hanya mencemarkan agama. Namun
ramai penceramah tidak dapat membezakan antara Israiliyyat.
Dunia semakin canggih. Banyak perkara yang tidak wujud pada generasi
lalu, adalah kenyataan hidup generasi hari ini. Sikap, pendirian dan
pendekatan juga berubah. Dahulu apa yang dinyatakan oleh orangorang
tua tidak dibantah. Hari ini barangkali tidak. Mungkin dalam
sesetengah perkara dianggap ‘ketinggalan bas’.
Dahulu cakap orang bergelar ustaz atau tok guru tidak dibantah,
bahkan dianggap berdosa jika melawan. Perbuatan ustaz/ tok guru
dianggap agama. Mereka bagaikan wakil ‘Tuhan’ . Ucapan mereka
diterima bulat- bulat, bagaikan rasul maksum.
Justeru, sekalipun ‘mandi safar’ syirik, namun kerana jampi
menteranya ditulis oleh ‘ustaz’, maka sekian lama kepercayaan itu
menjalar dalam masyarakat Melayu. Tepung tawar pelepas bala yang
mempunyai nilai-nilai syirik dilakukan.
Sebabnya kerja ini ‘difrancais’ oleh ustaz atau tok guru. Perkara
yang ‘sewaktu dengan semua itu’ bukan sedikit telah berlaku namun
hari ini perkara-perkara tersebut banyak yang pupus. Hari ini dunia
lebih moden. Pendidikan dan pengetahuan moden menuntut setiap
perkara dikemukakan berdasarkan fakta dan angka.
Dahulu barangkali ustaz boleh menceritakan berbagai-bagai riwayat
Israiliyyat dengan selesa sehingga timbul kisah Nabi Sulaiman dan
Sang Kancil. Watak nabi diperkatunkan. Hari ini kisah-kisah itu
dipertikaikan sumber dan ketulenannya. Mereka mungkin menaiki kereta
‘kancil’, tetapi tidak menerima watak lucu itu dikaitkan dengan nabi.
Dahulu barangkali seorang ustaz apabila tiba 10 Muharam atau asyura
bercerita dengan bebas tentang bubur Nabi Nuh di atas kapal dan
berkempen orang ramai memasak bubur itu.
Hari ini generasi baru akan bertanya ketulenan kisah itu. Nabi Nuh
a.s. dihantar bukan sebagai chef untuk memperkenalkan resipi bubur.
Baginda seorang nabi yang mempunyai mesej dakwah yang besar. Dahulu
barangkali seorang ‘ustaz’ bercerita dengan bebas jampi penyeri
wajah naik pelamin Nabi Yusuf. Hari ini ia tentu dipertikaikan.
Dahulu berdasarkan cerita sesetengah ustaz atau lebai, ada yang ikut
mempercayai “Sesungguhnya bumi berada di atas sebiji batu. Batu
tersebut berada di atas tanduk seekor lembu jantan. Apabila lembu
jantan itu menggerakkan tanduknya, maka batu tersebut pun bergerak
dan bergeraklah bumi. Itulah gempa bumi.”
Pengetahuan moden menolak kepercayaan ini. Kita menganggap ini
riwayat palsu. Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) ketika
mengulas riwayat ini: “Yang peliknya ada orang yang sanggup
menghitamkan buku-bukunya dengan perkara-perkara merepek ini.” (Ibn
Qayyim al-Jauziyyah, Al-Manar al-Munif, m.s.78.)
Kata Abu Syahbah : “Ini adalah rekaan ahli kitab bertujuan menghina
para rasul” (Abu Syahbah, Al-Israiliyyat wa al-Maudu’at fi Kutub al-
Tafasir. m.s 305)
Malangnya, ada golongan agama dahulupercaya dunia berada di atas
tanduk lembu dan lembu berada atas ikan nun seperti yang ditambah
dalam riwayat palsu lain. Ini menyanggahi hakikat, bumi terapung-
apung di angkasa. Kita menyeru kepada tajdid (pembaharuan). Kita
menentang hal ini. Kita katakan, kelemahan pengetahuan orang ramai
masa kini untuk membezakan antara isi al-Quran dengan riwayat
Israiliyyat boleh membawa mereka salah faham terhadap al-Quran dan
ragu-ragu terhadap inti kandungannya. Tambahan pula, pengetahuan
manusia moden banyak menolak bentuk khurafat.
Ini disebabkan mereka tidak mempunyai kaedah jelas dalam membezakan
antara kisah-kisah yang termuat dalam buku- buku tafsir dan
kisah-kisah al-Quran yang asal. Mereka akhirnya menghidangkan
kisah-kisah lucu yang bertentangan dengan fakta sains seperti contoh
di atas.
Kata guru saya iaitu seorang tafsir yang terkenal Solah ‘Abd
al-Fattah al-Khalidi : “Telah berlaku kesalahan sebahagian pengkaji,
penulis dan penceramah daripada kalangan Muslimin dalam melihat
kisah-kisah umat yang lalu di dalam al-Quran. Sekalipun dengan niat
yang baik, namun mereka telah menyanggahi metodologi yang betul dan
lurus dalam mengkaji kisah-kisah tersebut. Mereka mempersembahkan
kepada para pembaca dan pendengar timbunan daripada berbagai-bagai
pendapat, kisah, riwayat dan pendetilan kisah. Kesemuanya tidak
lebih daripada kisah-kisah karut, batil, palsu yang mereka ambil
daripada sumber-sumber yang diselewengkan lagi batil, ia adalah al-israiliyyat
dan kisah-kisah ahli kitab”.( Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, Ma‘a
Qasas al-Sabiqin fi al-Quran 1/31)
Di saat dunia semakin canggih dan moden, kepercayaan sebahagian
manusia terhadap kebanyakan agama semakin tercemar disebabkan
karut-marut yang membaluti kebanyakan kepercayaan. Hanyalah Islam,
agama yang menolak khurafat, tahyul dan karut-marut yang tiada
asasnya.
Ini membuktikan, Islam dapat menghadapi perkembangan tamadun
kebendaan, tamadun yang bersedia mempertikaikan apa sahaja
termasuklah ketuhanan. Islam yang tulen tetap utuh kerana mesej dan
tujuannya tidak dicemari kekarutan.
Inilah mesej al-Quran dan sunah yang sahih. Fokus kisah-kisah al-Quran
adalah pengajaran, bukan untuk melalut dan meracau dalam
perkara-perkara yang tiada kaitan dengan pengajaran.
Kisah Luqman umpamanya, al-Quran hanya menyebut sesuatu yang
bermanfaat. Firman Allah, Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada
Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya):
Bersyukurlah kepada ALLAH (akan segala nikmat-Nya kepadamu)”. Dan
sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada
dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah
menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi
Maha Terpuji. (Luqman: 12)
Demikian insan apabila membaca ayat ini tahu pengajaran yang dapat
dicontohi dari Luqman ialah bersyukur dengan kurniaan kebijaksanaan
yang Allah berikan.
Selepas ayat ini, Allah menceritakan nasihat-nasihat Luqman kepada
anaknya. Antaranya nasihat berkualiti yang terbit daripada orang
yang diberikan hikmah. Hikmah itu membawa insan mengenali hakikat
kebaikan yang tulen. Ini terserlah dalam isi kandungan
nasihat-nasihat tersebut. Nasihat-nasihat itu juga adalah sukatan
pendidikan bermutu dan tepat.
Namun Israiliyyat menyibukkan pembaca al-Quran dengan
perkara-perkara lain dari ini semua. Menurut Israiliyyat, Luqman
ialah lelaki hamba abdi berketurunan Habsyi, seorang yang pendek,
hidungnya penyek, bibirnya tebal, lebar tapak kakinya dan
berbagai-bagai lagi. (lihat: Salah al-Khalidi, Ma’ Qasas al-Sabiqin,
3/150)
Tambahan Israiliyyat hanyalah memalingkan pembaca al-Quran daripada
tujuan utamanya yang menghidangkan kisah itu sebagai pengajaran dan
pengiktibaran. Apakah faedah besar untuk pembaca al- Quran jika dia
mengetahui Luqman berkulit hitam, berbangsa Habsyi, berhidung penyek?
Apakah dia boleh meniru itu semua jika Allah mentakdirkannya
berkulit putih, berhidung mancung dan tidak berbangsa Habsyi? Apakah
itu tujuan kisah yang dibawa? Atau tujuannya mengisahkan seorang
hamba Allah yang diberi hikmah dan diperintahkan bersyukur kepada
Tuhannya? Lalu dipersembahkan hikmah dan syukur itu dalam suatu
sukatan pendidikan yang membentuk insan yang rabbani.
Kata Salah al-Khalidi dalam karangannya yang lain: “Cerita dan
sebutan al-Quran mengenai umat terdahulu, kisah-kisah dan berita
mengenai mereka bukan dengan cara pendetilan huraian. Al-Quran tidak
mendetilkan tentang masa, atau tempat, atau watak, atau
memperincikan cerita. Tidak diceritakan setiap kejadian, atau
episodnya, atau bahagian-bahagiannya. Ia tidak pula melengkapkan (setiap
episod), mendetil, menghuraikan dengan panjang lebar
peristiwa-peristiwa yang berlaku, setiap pergerakan watak-wataknya
dan latar belakang peristiwa. Al-Quran tidak melakukan ini semua.
Ini kerana bukan tujuan al-Quran untuk mendetilkan kisah-kisah
tersebut. Sebaliknya tujuan al-Quran untuk membentangkan kebenaran
dan menentukan nilaian dan pemikiran, mengambil pengiktibaran,
pengajaran dan panduan. Juga mengambil manfaat dari panduan- panduan
yang terdapat dalam kisah- kisah tersebut. Ini semua terlaksana
dengan kadar dan cara yang telah dibentangkan oleh al-Quran.
Para pembaca dan pengkaji al-Quran yang mengambil riwayat
Israiliyyat dan cerita-cerita dongeng sepatutnya berpegang dengan
tujuan al-Quran bagi kisah- kisah umat yang lalu. Mereka tidak
sepatutnya mengambil sumber-sumber yang berasal dari manusia
bersifat lemah dan jahil. Lalu mereka mencari pendetilan apa yang
diterangkan al-Quran secara umum, cuba menjelaskan apa yang al-Quran
samarkan dan menceritakan apa yang al-Quran diamkan. Alangkah
baiknya jika mereka ini dapat mencari dari sumber yang dipercayai.
Malangnya mereka mencari dari sumber yang diselewengkan, dusta (Israiliyyat)
dan mengambil daripada manusia kafir lagi zalim yang menyelewengkan
agama mereka (Yahudi).” (Al-Khalidi, Salah ‘Abd al-Fattah, Mafatih
li Taa’mul ma’ al-Quran, m.s. 85)
Di zaman kini, manusia banyak mengkaji dan mengetahui
perkara-perkara baru. Masa untuk membaca al-Quran terganggu dengan
urusan dan kerja yang sentiasa mengasak dan mendesak. Jika waktu
terhad dibazirkan dengan kisah-kisah Israiliyyat, tentulah fokus
yang wajib diberikan kepada inti asal al-Quran tergadai. Apatah lagi
kisah-kisah Israiliyyat itu mencemarkan wajah agama di hadapan fakta
sains.
Orang-orang Barat jika mereka tidak jelas antara Israiliyyat dengan
inti kandungan asal al-Quran, boleh menyebabkan mereka menganggap
Islam mengandungi ajaran-ajaran yang bercanggah dengan penemuan
sains yang dibuktikan kebenarannya. Maka mereka akan memandang lekeh
kepada Islam dan menolaknya. Apa tidaknya, jika mereka mendengar
sesetengah ‘ustaz’ di Malaysia menyatakan umur dunia 7,000 tahun
sedangkan para saintis menyatakan ia sudah mencapai jutaan tahun.
Mereka akan tertanya: Inikah Islam yang bersumberkan wahyu yang
sebenar? Sedangkan mereka tidak tahu bahawa itu semua adalah riwayat
Israiliyyat. Abu Syahbah menyatakan bahawa riwayat yang menyatakan
Nabi melihat usia dunia berusia 7000 tahun adalah Israiliyyat dan
dusta, tidak ada kaitan dengan Islam.( Lihat: Muhammad Muhammad Abu
Syahbah, Al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dau al-Quran wa al-Sunnah, 1/14)
Benar seperti kata Dr.Yusuf al-Qaradawi: “Sesungguhnya antara yang
mencemarkan warisan ilmu kita, terutamanya di medan tafsir ialah
meresapnya Israiliyyat, dan sukar pula untuk dibersihkan.” Katanya
juga: “Seakan-akan Yahudi ketika tentera mereka tewas di hadapan
dakwah Islam di Madinah, Khaibar dan selainnya, maka mereka cuba
menghadapi Islam dengan senjata yang lain sebagai ganti kepada
kekalahan mereka. Demikian itu ialah senjata peperangan pemikiran.
Lalu mereka memasukkan riwayat Israiliyyat yang pelik-pelik. Dalam
kecuaian, maka tidak sampai sekejap, lalu Israiliyyat telah mencekik
kitab-kitab kaum Muslimin”.( Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da‘iyyah, 41).
Nafas baru perlu diberikan kepada penafsiran al-Quran demi generasi
baru. Nafas itu membawa kita kembali kepada wajah Islam yang asli
dan tulen.
|
|

Muka Depan
AJK Surau
Waktu Solat
Himpunan Artikel
Pautan Internet
IslamOnline
IslamQ&A
al-Ahkam.net
Darul Kauthar
Laman 'Arab
al-Qaradhawi.net
al-albani.net
Binbaz.org
e-Book di Internet
Islam House
Sunni Path
Azlin's Library
Audio di Internet
Kuliah Sunnah
Azlin's Audio Lib
|