
Himpunan artikel Dr Mohd Asri
Zainul Abidin - Mufti Perlis / Pensyarah USM

Himpunan fatwa dan risalah Dr
Yusof al-Qaradhawi - Mufti Qatar, Bekas Syeikhul Azhar

Himpunan artikel Ust Zaharuddin |
|
Penjelasan Isu Bin 'Abdullah
Dr Mohd Asri
Zainul Abidin - Mufti Perlis / Pensyarah USM
APABILA
isu nama bapa wajib dikekalkan dibincangkan oleh Jawatankuasa
Syariah Negeri Perlis, ramai yang cuba mengambil bahagian
memperkatakannya. Sehingga orang yang telah lama sepi pun muncul
membuat kenyataan di dada media. Emosi dan sentimen dengan aktif
menempatkan diri. Ada yang menunggu 'bola tanggung' merasakan
barangkali inilah peluang yang dinantikan. Saya katakan: sabar dulu.
Isu ini sebenarnya bukanlah fatwa saya secara individu. Sebaliknya
keputusan sebulat suara ahli jawatankuasa yang terdiri daripada 12
anggota yang hadir. Sebahagian besar mereka adalah pensyarah
universiti dalam bidang-bidang pengajian Islam yang pelbagai dan
ramai yang memiliki Ph.D yang tersendiri. Alhamdulillah, Perlis
mempunyai anggota fatwa yang teramai. Maka, tidak wajar untuk
dianggap ia sesuatu yang dibincangkan sepintas lalu tanpa penelitian.
Cuma keputusan itu belum disahkan lagi oleh mesyuarat Majlis Agama
Islam Perlis.
Memang, isu ini agak unik dan istimewa. Antara yang paling
menyebabkan ia istimewa, ialah penukaran nasab seseorang yang
menganut Islam kepada Abdullah hanya berlaku di negara Melayu kita.
Saya kurang pasti bagaimana di Brunei tetapi hal seperti ini tidak
berlaku di negara-negara Arab atau Indonesia yang besar itu.
Justeru, di negara ini jika ada persatuan saudara baru yang ratusan
anggota, maka kesemua mereka pasti ber'bin' yang sama, iaitu
Abdullah. Jika ada 10 yang bernama Ahmad, maka amatlah keliru untuk
ditentukan Ahmad yang mana satu, kerana kesemua mereka 'Ahmad bin
Abdullah'. Maka – barangkali – terpaksalah pihak pengurus persatuan
menghafal nombor kad pengenalan mereka. Begitu juga jika sepasang
suami isteri menganut Islam, maka bertukarlah mereka menjadi
insan-insan yang nama bapanya sama; Abdullah.
Pada zaman Nabi s.a.w., jika baginda amalkan hal ini, tentulah
majoriti para sahabat akan ber'bin'kan Abdullah. Maka tidak adalah
lagi disebut Umar bin al- Khattab, sebaliknya Umar bin Abdullah,
tidaklah lagi Uthman bin Affan, sebaliknya Uthman bin Abdullah. Juga
tidak adalah lagi Ali bin Abi Talib, sebaliknya Ali bin Abdullah.
Sebab, kesemua bapa mereka tidak menganut Islam.
Namun apa yang berlaku tidak sedemikian rupa. Ya, baginda menukar
nama-nama buruk individu yang menganut Islam tetapi mengekalkan
hakikat 'bin' mereka. Sedangkan orang Arab begitu menjaga dan
menyebut titis keturunan sehingga ke beberapa peringkat. Umpamanya,
jika kita membuka kitab masyhur, Riyadh al-Salihin, karangan al-Imam
al-Nawawi (meninggal 676H) hadis pertama yang beliau sebut daripada
Umar bin al-Khattab. al- Imam Al-Nawawi menyebut: "Amir al- Mukminin,
Umar bin al-Khattab bin Nufail bin Abd al-Uzza…. 'Abd al-'Uzza
bermaksud hamba berhala al-'Uzza. Jika dilihat nama datuk nabi 'bin
Kilab'. Kilab bermaksud anjing-anjing. Islam tidak mengubah sesuatu
hakikat yang pasti.
Ada yang cuba mengaitkan isu ini akidah. Seakan Fatwa Perlis tidak
fikir tentang akidah. Bimbang jika bapanya bernama dengan nama
syirik maka akan menjejaskan akidah anaknya yang menganut Islam.
Alangkah lemah cara berfikir seperti itu. Tidakkah dia tahu, bapanya
itu bukan sahaja bernama dengan nama yang syirik, bahkan pengamal
kesyirikan. Apakah jika Gopal a/l Subramaniam yang menganut Islam
maka setelah nama Gopal ditukarkan kepada Marwan umpamanya, maka
Subramaniam yang tidak meredai Islam ini juga hendak ditukar? Maka
setiap kali kita berjumpa Subramaniam, kita kena panggil dia 'Wahai
Abdullah', kerana bimbang jika dipanggil Subramaniam maka rosak
akidah anaknya Marwan?
Kesyirikan tiada kaitan dengan semua itu! Kalau kerana nama
Subramaniam menyebabkan akidah Marwan rosak, apakah jika Subramaniam
ke kuil, anaknya yang masuk Islam menjadi kufur? Tidakkah itu
lambang pemikiran yang langsung tidak faham konsep akidah!
Ada yang bertanya kenapa hendak ditimbulkan isu ini? Dah lama kita
amalkan. Kita beritahu bahawa sesuatu perkara yang dibawa ke
perbincangan fatwa negeri tentu ada sebab, sama ada kerana
pertanyaan atau kekeliruan orang ramai mengenai hukum syarak. Maka
ia dibahaskan.
Di sini saya sebutkan secara ringkas dua alasan utama keputusan
tersebut dibuat. Pertama; Nas al-Quran dan al-sunah yang melarang
hal tersebut. Firman Allah s.w.t. (bermaksud): Panggillah mereka itu
(dengan ber'bin'kan) kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah
yang lebih adil di sisi Allah. Jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa
mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu seagama
dan sebagai 'maula-maula' kamu. Kamu pula tidak dikira berdosa dalam
perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa
itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu. Dan (ingatlah)
Allah maha pengampun, lagi maha mengasihani. (al-Ahzab: 5).
Al-Imam al-Tabari (meninggal 310H) dalam Tafsir al-Tabari: "Ayat ini
adalah dalil bahawa tidak boleh menasabkan seseorang kepada bukan
bapanya. Hadis-hadis juga begitu keras menegahnya."
Dalam hadis-hadis Nabi, hal ini banyak disebut. Antaranya: "Sesiapa
yang mengaku anak kepada bukan bapanya, maka syurga haram ke atasnya."
(Riwayat al-Bukhari). Juga sabda baginda: "Antara pendustaan
terbesar ialah seseorang mengaku anak kepada bukan bapanya." (Riwayat
al-Bukhari).
Kenapa Islam melarang hal ini? Sebabnya kerana Islam ialah agama
menghormati dan memelihara hak manusia. Islam ialah agama yang tidak
pernah menipu hakikat. Seorang bapa, walau siapapun dia, dia tetap
bapa. Sebab, benihnya yang sah itulah yang menghasilkan keturunannya.
Bukan benih orang lain. Maka anak yang lahir itu berkait dengannya.
Selepas itu adanya hukum berhubung dengan hak, perkahwinan dan harta.
Menolak bapa yang hakiki, atau menidakkannya seakan dia tidak wujud
boleh menyebabkan kekeliruan keturunan manusia, bercelaru dalam
perkahwinan dan penafian tanggungjawab kekeluargaan. Sedangkan Islam
adalah agama penegak keadilan hak dan penyebar kesejahteraan insan.
Kata Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam karya al-Fiqh al-Islami wa
Adillatuhu: "Keadilan dan hak menuntut dan mewajibkan dinasabkan
anak kepada bapanya yang hakiki. Bukan kepada bapa rekaan. Islam
agama hak dan keadilan. Sesiapa yang ada bapa yang diketahui, maka
nasabkan kepada bapanya. Sesiapa yang tidak diketahui bapanya, maka
dipanggil maula atau saudara seagama. Ini semua demi mencegah
pengubahan hakikat sebenar." (7/674, Damsyik: Dar al-Fikr 1989).
Inilah agama yang lurus. Sehingga Abu Bakr al-Jazairi dengan lebih
sinis dalam tafsirnya Aisar al-Tafasir menyebut: "Wajib membinkan
anak-anak angkat kepada bapanya yang dikenali sekalipun bapanya
seekor keldai."
Justeru itu, baginda Nabi hanya mengubah nama individu yang menganut
Islam, jika namanya mengandungi makna buruk, tetapi tidak mengubah
bapanya. Umpamanya baginda mengubah nama sahabat Abd. al-Syams bin
Sokhr kepada Abd. alRahman bin Sokhr. Ini kerana Abd. al- Syams
bermaksud hamba matahari. Namun Sokhr, bermaksud batu dikekalkan.
Bahkan baginda tidak mengubah bapa seorang sahabat yang bernama
Abdullah bin Abd. al-Asad. Bapanya bernama Abd. al- Asad yang
bermaksud hamba singa.
Baginda tidak mengatakan diubah nama bapa kerana takut rosak akidah.
Sesiapa yang mahu penjelasan lanjut boleh bertanya kepada ahli-ahli
hadis yang menguasai Kutub al-Tarajim atau sendiri boleh merujuk
buku-buku al-Tarajim yang membincangkan biodata tokoh-tokoh yang
disebut dalam sejarah Islam. Ini seperti kitab al- Isobah fi Tamyiz
al-Sahabah karangan al- Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, atau Siyar
A'lam al-Nubala, karangan al-Hafiz al-Zahabi dan puluhan yang lain.
Jika demikian tindakan Nabi dan para sahabat, apakah kita lebih
faham Islam dibandingkan baginda dan para sahabatnya? Apakah kita
ingin katakan baginda tidak menjaga akidah sehingga membiarkan
sahabatnya kekal berbinkan 'hamba singa'? Aduhai para pengulas isu
ini! Luaskan bacaan kita dan janganlah terlebih lajak dari lajunya.
Kedua; isu ini timbul kerana kita ingin memelihara nama baik Islam.
Pada zaman ini, Islam diserang dengan pelbagai tuduhan. Sering
disalah anggap kononnya Islam tidak menghormati hak. Di negara kita
ramai bukan Islam menganggap Islam tidak adil kerana menghapuskan
hubungan antara anak dan bapa. Ada bapa yang sebut kepada anaknya
yang baru masuk Islam: "awak masuk Islam, saya yang berjasa pada
awak pun awak buang. Nama saya pun sudah tidak ada lagi. Siapa itu
Abdullah bapa baru awak?" Maka mereka bertambah anti kepada Islam
dan takut jika anak-anak mereka menganut Islam. Ada yang ingin masuk
Islam, tersekat disebabkan bantahan atau sayangkan keluarga. Lebih
parahlah jika nama keluarganya disuruh buang!
Islam sebenarnya menyuruh anak melakukan kebaikan kepada kedua ibu
bapa sekalipun keduanya tidak menganut Islam. Bahkan sekalipun
keduanya berusaha agar anaknya keluar meninggalkan Islam. Namun
perintah Allah agar seorang anak berbuat baik kepada ibu bapanya
terus kekal. Cuma jangan taat dalam perkara syirik, kufur dan
maksiat. Lihat firman Allah dalam surah Luqman ayat 16: (maksudnya)
Dan jika kedua ibu bapa mendesakmu supaya engkau mensyirikkan
denganku sesuatu yang engkau (dengan fikiran warasmu) tidak
mengetahui sungguh adanya maka
janganlah engkau taat kepada kedua; dan bergaullah dengan mereka di
dunia dengan cara yang baik.
Soalan yang wajar diajukan; apakah termasuk dalam bergaul dengan ibu
bapa secara baik dalam urusan dunia ini – seperti yang diperintahkan
– jika kita menanggalkan berbinkan mereka. Atau menukar nama mereka
tanpa pengiktirafan mereka atau mereka menafikan 'bin' yang baru itu
sebagai nama mereka. Tidakkah tindakan itu mengguris hati mereka
tanpa sebab yang diizinkan. Sedangkan seseorang diperintahkan
berbuat baik kepada ibu bapa sekalipun keduanya bukan muslim. Islam
agama yang mengenang jasa dan hak.
Lebih dari itu, tidakkah tindakan itu boleh menjadikan mereka
membenci dan bersangka buruk terhadap Islam? Bukankah menjadi
kewajipan kita mempertahankan imej Islam? Maka, perbincangan Fatwa
Perlis itu bagi saya mempunyai kemunasabahan yang kuat. Sekalipun
amalan itu sudah lama, bukan bererti ia mesti dikekalkan dan tidak
boleh diubah.
Kata tokoh Melayu yang disanjung, Pendita Za'aba, dalam bukunya yang
hebat Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri yang ditulis pada
tahun 30-an: Maka hanyalah pada zaman-zaman yang akhir semenjak
beberapa ratus tahun yang lalu ini sahaja orang-orang alim Islam
hampir- hampir semuanya di serata dunia tidak lagi mempunyai
semangat kesendirian kebolehan dan kelayakan untuk berbuat seperti
pelopor-pelopor mereka yang dahulukala itu. Ya, jika dicari sangat
sedikit boleh didapati yang tahu dan boleh bersendiri, atau berani
bersendiri; melainkan di mana-
mana pun akan didapati mereka itu hanya biasa tertaklid sahaja dan
kebanyakan daripada itu pula ialah bertaklid buta! Malangnya jika
ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam
dahulukala itu – iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan
balik kepada Quran dan hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan
hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang – maka terus dilempar
mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti "sesat
dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah
daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulukala itu (nenek
moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu"
dan berbagai-bagai lagi.
Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu! Mungkin
juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada
suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat. (m.s 33, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa Dan Pustaka 2005).
|
|

Muka Depan
AJK Surau
Waktu Solat
Himpunan Artikel
Pautan Internet
IslamOnline
IslamQ&A
al-Ahkam.net
Darul Kauthar
Laman 'Arab
al-Qaradhawi.net
al-albani.net
Binbaz.org
e-Book di Internet
Islam House
Sunni Path
Azlin's Library
Audio di Internet
Kuliah Sunnah
Azlin's Audio Lib
|