
Himpunan artikel Dr Mohd Asri
Zainul Abidin - Mufti Perlis / Pensyarah USM

Himpunan fatwa dan risalah Dr
Yusof al-Qaradhawi - Mufti Qatar, Bekas Syeikhul Azhar

Himpunan artikel Ust Zaharuddin |
|
Kenapa kepimpinan agama
kurang berjaya?
RAMAI yang bertanya saya; falsafah dan teori kepimpinan Islam yang disebut
dalam al-Quran dan al-Sunah begitu hebat. Namun mengapakah pengurusan
agama dalam negara ini kelihatan ketinggalan jika dibandingkan dengan
pengurusan lain.
Kata mereka: Peruntukan kerajaan untuk memajukan agama amat besar.
Berbagai-bagai jabatan dan badan ditubuhkan dengan mendapat bajet yang
bukan sembarangan. Dari pengarah sehingga pegawai biasa, saban tahun naik
gaji. Kereta dan kerusi pun kelihatan mewah-mewah.
Agenda melancong sambil bertugas, atau bertugas sambil melancong – saya
tidak pasti – kelihatan sibuk. Dengan peruntukan yang sedemikian besar,
sepatutnya banyak persoalan umat Islam dapat diselesaikan. Juga mampu
menjadikan kita umat yang paling gemilang dalam banyak aspek. Malangnya,
masalah umat Islam makin bertambah.
Bermula dari persoalan minda fikir yang tidak bergerak ke hadapan
menjunjung kedaulatan Islam sehingga kepada kelemahan soal hidup berserta
dengan nilai diri. Bermula dari hak-hak isteri dan suami yang gagal
dilangsaikan di mahkamah syariah secara membanggakan sehingga kepada
urusan zakat yang mengecewakan.
Bermula dari mat rempit yang kurang berjaya dipulihkan atas pendekatan
agama sehingga kepada kes-kes murtad yang tidak dapat dikembalikan kepada
kekuatan dakwah islamiah secara hikmah dan hujah. Kelemahan itu nampaknya
bermula dari jabatan ‘yang besar’ sehingga ke institusi masjid secara
umumnya. Lebih mendukacitakan lagi, kebanyakan tokoh agama yang mendapat
bajet pengurusan dari kerajaan ini gagal menjadi ikon masyarakat.
Mereka bukan sahaja tidak dapat menjadi idola, bahkan majoriti mereka
tidak dikenali umat. Suara bernas mereka tidak tampil memberikan cadangan
penyelesaian kepada isu-isu semasa. Ketajaman minda agama mereka tidak
dapat dirasai dalam banyak perkembangan. Umat pun dalam banyak hal terlupa
nama mereka untuk dijemput membicarakan masalah semasa.
Jika tidak kerana peruntukan yang dikendalikan mereka, mungkin sukar untuk
didapati majlis yang menampilkan mereka. Ada pula yang dipenjarakan oleh
bilik hawa dingin atau kapal terbang kelas pertama.
Mereka kelihatan selesa dengan tali leher dan suit yang lawa. Umat terus
menderita dengan masalah yang bertimpa berkaitan krisis kefahaman agama,
pemikiran Islam yang dicabar dan kehidupan umat yang tidak mencerminkan
ketinggian tamadun Islam itu sendiri. Bahkan dalam banyak hal, aktivis
dakwah yang tidak mendapat peruntukan kerajaan atau kedudukan khas lebih
menonjol menyumbang.
Apakah ini menunjukkan Islam sudah tidak relevan? Saya katakan tidak!
Islam sentiasa relevan, agama sepanjang zaman. Kebaikannya melimpahi semua
kaum dan puak. Rahmatnya dirasai semua manusia sekalipun berbeza-beza
warna dan agama.
Namun banyak pihak yang tersilap dalam falsafah atau teori kepimpinan
dalam Islam. Ada yang menyanggahi bahawa apabila seseorang itu bergelar
ustaz, atau belajar agama dengan sendiri bererti dia berkelayakan memimpin
atau menguruskan semua urusan umat. Hal ini salah!
Kepimpinan bukan berkait soal kebaikan peribadi atau serban yang dipakai
tetapi sangat berkait dengan kemampuan atau kemahiran dalam bidang yang
dipimpin.
Relevan
Dalam hadis daripada Abu Zar katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah!
Tidakkah mahu engkau melantikku?” Baginda menepuk bahuku dan bersabda:
Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah
amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali
sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi
tuntutannya. (Riwayat Muslim).
Dalam riwayat al-Imam Muslim yang lain Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai
Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya
aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau
menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim.
Ini menjelaskan bahawa Rasulullah tidak memberikan jawatan sekalipun
kepada Abu Zar, seorang sahabat yang sangat dikasihi baginda, apabila
dilihat ciri-ciri kelayakan tidak wujud sepenuhnya.
Abu Zar adalah seorang sahabat yang soleh lagi warak dan zuhud. Namun
begitu, amanah kepimpinan dan politik berhajat ciri-ciri yang lebih dari
itu, bukan sekadar warak dan soleh sahaja. Justeru itu, tidak semua
sahabat layak mengendalikan urusan siasah seperti al-Khulafa al-Rasyidun.
Demikian juga bukan semua mereka kuat agama boleh mengendalikan urusan
politik dan pentadbiran. Kita tersilap jika menyerahkan tanggungjawab
tanpa menilai tuntutan zaman berkaitan jawatan berkenaan semata-mata hanya
mereka bergelar ‘ustaz’ atau lulusan agama. Jika diserahkan jawatan kepada
seseorang berlatar agama tetapi berminda 50-an sedangkan jawatan itu
menuntut penyelesaian persoalan semasa, tentu kita akan gagal.
Sarjana Islam yang agung Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H)
telah membahaskan soal kelayakan kepimpinan ini dengan begitu menarik.
Para sarjana Islam seperti Ibn Taimiyyah telah pun mendahului tajuk
ratusan tahun sebelum munculnya penulis-penulis Barat yang dikagumi oleh
sesetengah pihak.
Secara umum, kepimpinan memerlukan dua ciri, al-Quwwah dan al-Amanah. Al-
Quwwah iaitu kekuatan atau kemampuan berkaitan jawatan yang dipimpin. Al-Amanah
ialah nilai amanah dalam diri.
Kata Syeikhul-Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Al-Siyasah al-Syar‘iyyah
fi Islah al-Ra‘iy wa al-Ra‘iyyah: “Hendak dipastikan orang yang terbaik
baik setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua
rukun iaitu al-Quwwah dan al-Amanah.” Ini seperti yang Allah firmankan (maksudnya):
Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah
yang kuat lagi amanah. Kata Raja Mesir kepada Yusuf (maksudnya):
“Sesungguhnya kamu hari ini menjadi orang yang berkedudukan tinggi lagi
dipercayai (surah Yusuf: 54). Firman Allah dalam menyifatkan Jibrail (maksudnya):
(Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh)
utusan yang mulia (Jibrail). Yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai
kedudukan yang tinggi di sisi (Allah) yang mempunyai ‘arsy. Yang ditaati
lagi dipercayai (surah al-Takwir: 19-21).
Kata Ibn Taimiyyah lagi: “Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan
berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk
kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan
kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kepada kemampuan dalam
berbagai-bagai jenis peperangan... al-Quwwah dalam kehakiman manusia
merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran
dan al-Sunah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula
merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah
dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia.
Inilah tiga ciri yang ditetapkan Allah bagi setiap yang memerintah manusia,
firman Allah: (maksudnya): Kerana itu janganlah kamu takutkan manusia (tetapi)
takutlah Aku, jangan kamu membeli ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit.
Barangsiap yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah maka
mereka itulah orang-orang kafir). (al-Maidah: 44).
Saya katakan pada zaman ini al-Quwwah dalam pengurusan agama dalam
kerajaan bukan sahaja merujuk kepada sijilnya tetapi ketajaman mindanya
menyelesaikan masalah umat berlandaskan manhaj Islami.
Entah berapa ramai yang mempunyai sijil tetapi fikirannya kontang. Dalam
keadaan Islam yang tertekan oleh berbagai- bagai tuntutan keadaan dan masa,
kepimpinan Islam mesti berkemampuan membela Islam serasi dengan tuntutan
masyarakat hari ini. Kemampuan memperkenalkan Islam kepada masyarakat yang
begitu rencam ini secara segar dan berketerampilan sangat dituntut bagi
setiap yang menduduki jabatan atau badan yang berkaitan dengan Islam.
Jangan hanya tahu menghabiskan bajet, tapi kesannya tidak kelihatan
melainkan setakat reka bentuk astaka baru atau menu jamuan yang baru atau
tambahan nilai acara-acara anugerah semata. Peruntukan kerajaan yang besar
mestilah memperlihatkan kesan yang besar bagi umat yang menghadapi
pelbagai persoalan.
Di universiti, ahli akademik dalam melaksanakan kajian atau menulis
artikel dinilai sudut ‘impak’ atau kesan bahan itu kepada masyarakat
apabila didedahkan. Artikel yang hambar, tidak mendapat perhatian tidak
ada nilai yang besar. Namun sesuatu kajian atau artikel yang mendapat
perhatian dan menggerakkan masyarakat dianggap bernilai sekalipun dikritik.
Demikian juga semua gerakan perubahan – sekalipun dikritik oleh yang
berkepentingan – namun kita mesti melihat positifnya terhadap umat secara
menyeluruh dan jangka masa panjang. Bukan untuk menjaga keselesaan
segelintir manusia sahaja.
Kemampuannya
Kepimpinan Islam di era ini mesti diukur kemampuannya memberikan impak
kepada perubahan masyarakat Islam ke arah yang lebih bertamadun dan
berkemampuan. Pengukuran kesan terhadap perubahan umat sepatutnya menjadi
piawaian kita dalam memilih kepimpinan agama.
Hasrat masyarakat terhadap institusi- institusi agama kerajaan amat besar.
Namun realitinya, anda berikanlah penilaian. Maka kejumudan dan
keterikatan dengan sesuatu anggapan agama tanpa dalil yang kukuh atau
tradisi tanpa hujah mesti dilenyapkan dalam peta pemikiran tokoh-tokoh
yang ingin memimpin urusan agama.
Kadangkala kita mungkin bertembung dengan satu masalah iaitu ketandusan
tokoh untuk sesuatu jawatan melainkan dua jenis peribadi, satu, padanya
ada kekuatan atau kemampuan tetapi kurang amanah sementara seorang lagi
soleh atau sangat amanah tetapi lemah atau tidak berkemampuan. Siapakah
yang patut dipilih?
Dalam hal ini maka para ulama al-siyasah asy-syar’iyyah menyatakan
hendaklah dilihat kepada kedudukan jawatan dan dinilai siapakah yang
paling mampu memberi manfaat dan paling kurang mudaratnya.
Sekiranya jawatan berkenaan berteraskan kekuatan seperti medan peperangan
maka hendaklah didahulukan yang memiliki kekuatan dan keberanian walaupun
kurang soleh atau peribadinya tidak baik.
Sekiranya jawatan berhajat kepada amanah yang lebih seperti mengendalikan
kewangan, hendaklah didahulukan yang amanah walaupun lemah pengurusan.
Di atas sebab ini maka Rasulullah memilih Khalid bin al-Walid mengepalai
tentera Islam dan menggelarnya sebagai pedang Allah walaupun ada para
sahabat yang lebih besar kedudukannya di sisi Nabi. Ini kerana kemampuan
yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh mereka. Bahkan Rasulullah pernah
menegur dan membantah beberapa tindakan Khalid yang melanggar disiplin
peperangan yang digariskan oleh baginda.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebut dalam kitab yang sama: “Apabila dua
orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu)
maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaan
dan paling kurang mudaratnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai
peperangan, yang kuat dan berani – walaupun padanya ada kejahatan –
diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia
seorang yang amanah.”
Ini seperti yang ditanya kepada al-Imam Ahmad: Mengenai dua lelaki yang
menjadi ketua di dalam peperangan, salah seorangnya kuat tetapi jahat dan
seorang lagi soleh tetapi lemah, siapakah yang layak berperang? Jawab
al-Imam Ahmad: “Yang kuat dan jahat. Ini kerana kekuatannya untuk
kepentingan orang Islam, kejahatannya untuk dirinya sendiri. Adapun yang
soleh tetapi lemah maka kesolehannya untuk dirinya tetapi kelemahannya
merugikan orang Islam.”
Maka berperang bersama yang kuat dan jahat. Rasulullah juga pernah
bersabda: Sesungguhnya Allah menguatkan agama ini dengan lelaki yang jahat.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maka soal kepimpinan yang mampu
menyelesaikan masalah umat Islam hendaklah dilihat secara lebih luas
berasaskan ciri al-Quwwah dan al-Amanah. Bukan soal sijil, serban atau
songkok, tetapi soal kesan yang mampu mencorakkan umat.
Penilaian semula terhadap beberapa soal pentadbiran agama mungkin boleh
menjadi pemangkin perubahan.
Ada yang bertanya mengapakah artikel saya banyak menumpukan soal dalaman
umat? Kenapa tidak tumpukan serangan kepada pihak luar? Saya katakan yang
di luar kelihatan kuat kerana kita lemah. Jika kita kuat maka di luar itu
tentunya lemah. Jika tidak mampu melemahkan yang di luar, maka kita
kuatkan dalaman kita. Maka mengkritik dari dalam mungkin ubat yang
berkesan untuk era ini.
|
|

Muka Depan
AJK Surau
Waktu Solat
Himpunan Artikel
Pautan Internet
IslamOnline
IslamQ&A
al-Ahkam.net
Darul Kauthar
Laman 'Arab
al-Qaradhawi
al-albani.net
Binbaz.org
e-Book di Internet
Islam House
Sunni Path
Azlin's Library
Audio di Internet
Kuliah Sunnah
Azlin's Audio
|