
Himpunan artikel Dr Mohd Asri
Zainul Abidin - Mufti Perlis / Pensyarah USM

Himpunan fatwa dan risalah Dr
Yusof al-Qaradhawi - Mufti Qatar, Bekas Syeikhul Azhar

Himpunan artikel Ust Zaharuddin |
|
Pejuang Perubahan Akan Dikenang
Dr Mohd Asri
Zainul Abidin - Mufti Perlis / Pensyarah USM
Dua bulan yang lepas, Prof. Diraja
Ungku Aziz mengirimkan saya sebuah buku yang amat mengagumkan. Saya amat
gembira dengan hadiah yang tidak ternilai itu. Kata Pak Ungku, beliau
telah membaca buku tersebut berulang-ulang kali. Bukunya nipis sahaja.
Karya seorang tokoh melayu agung; Pendeta Za’ba.
Akibat tindakan golongan konservatif agama yang menentang pembaharuan di
Perak pada tahun 30-an maka tulisan-tulisan Za’ba diharamkan dan buku
tersebut turut tidak dapat muncul pada hayat Za’ba. Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) telah mengambil tanggungjawab yang betul dengan mencetaknya
walaupun setelah ketiadaan Za’ba.
Buku yang Pak Ungku kirimkan itu bertajuk: Perangai Bergantung Kepada Diri
Sendiri.
Di muka hadapan buku tersebut diletakkan tajuk dan gambar Za’ba. Di kulit
belakangnya diletakkan kata-kata beliau: “Tiap-tiap orang diwajibkan
beramal dan beribadat sendiri dengan usaha dan tenaganya tidak pernah
disuruh ia mengira dirinya itu mesti bergantung kepada doa orang sahaja
atau fidyah penebus yang dibuatkan orang sahaja bagi mendapat kejayaan dan
keselamatannya di akhirat kelak! Tuhan tiada pernah menyuruh kita mesti
berharap kepada sedekah tahlil dan bacaan-bacaan Qul Hua’llah dari orang
apabila mati kelak…”
Dengan melihat kepada tajuk dan dan petikan tersebut, saya tertanya-tanya
mengapakah Pak Ungku mengirimkannya kepada saya. Ia mendesak saya segera
membaca buku berkenaan. Apabila saya baca saya dapati buku tersebut sangat
hebat.
Za’ba bukan sekadar seorang ilmuwan bahasa semata, beliau juga seorang
ilmuwan agama yang terbilang. Namun sikap agama yang begitu konservatif
pada era beliau telah membunuh kewibawaan tokoh-tokoh yang seumpama beliau.
Sebenarnya, Za’ba dalam buku berkenaan menceritakan serta mengulas sikap
orang melayu termasuk dalam hal beragama. Sikap suka bergantung kepada
orang dan suka mengambil kesempatan atas nama agama.
Menurut Za’ba, cara beragama yang salah telah melemahkan bangsa melayu.
Sikap enggan menilai semula apa yang menjadi kebiasaan yang kadangkala
dikaitkan dengan agama membentuk nilai diri yang enggan berubah dan lemah.
Antara kata-kata Za’ba dalam buku tersebut: “Tuhan selalu mencela keras
akan orang-orang yang hanya mengikut dengan buta tuli sahaja apa yang
dikatakan orang atau apa yang biasa dibuat orang.
“Umpama mereka yang berdegil mengikut jalan nenek moyang atau pendapat
orang dahulu-dahulu dengan tiada ditimbang lagi salah benarnya atas neraca
timbangan akal sendiri, bahkan tiada dikira walaupun berlawanan dengan
akal fikiran yang insaf dan bersalahan dengan ilmu pengetahuan yang sah
betulnya.” (m.s 24).
Sikap bertaklid buta dalam pelbagai perkara terutama hal agama melambatkan
proses pembangunan minda. Maka tidak hairan jika minda agama kita tidak
mampu bersaing dengan pembangunan fizikal yang dibuat. Walaupun Za’ba
menulis pada tahun 30-an, namun realiti hari ini masih terasa kesegaran
tulisan tersebut.
Kata Za’ba: “Demikianlah dicela Tuhan di dalam Quran jika orang hanya
mengikut apa-apa kebiasaan yang telah teradat dari nenek moyang sahaja
dengan tiada diperiksa lagi betul atau tidak betulnya dan tiada dijalankan
akal fikiran dan pengetahuan sendiri menguji benar salahnya. Kerana
sesungguhnya perbuatan demikian itulah yang dikatakan bertaklid buta.
“Bertaklid buta itu dikeji oleh agama dan oleh sekalian orang berakal,
kerana banyak mudaratnya dan kuat kemungkinannya boleh membawa tersimpang
kepada jalan yang tiada betul dengan tiada kita perasan. Tuhan dan
Rasul-Nya tidak menyukai orang-orang bertaklid buta kepada fikiran dan
pendapat orang lain.
*Tertaklid
“Imam-imam Mujtahidun dahulukala tempat orang tertaklid itu sendiri tidak
pernah menggemarkan orang-orang bertaklid buta sahaja kepadanya atau
memastikan orang sekalian menerima sahaja segala fahamannya dan
pendapatnya. Sebaliknya mereka sentiasa menggalakkan murid-murid dan
pengikut-pengikut mereka supaya menyelidik sendiri, memeriksa dan
menimbang sendiri dengan teliti segala pendapat dan keputusan yang telah
mereka peroleh itu.” (m.s. 25-26)
Sesungguhnya perjuangan mengajak supaya kita melihat agama berasaskan
dalil atau fakta bukan taklid adalah perjuangan yang dipelopori oleh semua
para mujaddid (tokoh pembaharuan). Di tanah air kita, para pejuang
pembaharuanlah yang berusaha mengeluarkan masyarakat melayu dari pelbagai
khurafat dan tahyul yang sebahagian menggunakan nama agama kepada akidah
yang bersih.
Mereka jugalah yang mengeluarkan wanita dari kuasa paksaan bapa dalam
perkahwinan, larangan wanita ke pusat pengajian dan seumpamanya. Mereka
juga yang mengajak diubah amalan-amalan agama yang tidak berasaskan dalil
bahkan lebih bersifat ‘bisnes cari untung’ seperti upah-mengupah ketika
kematian.
Tol-tol kematian tersebut telah mengorbankan harta benda anak yatim dan
orang miskin. Apabila berlaku kematian maka masyarakat berkumpul dan
memakan harta peninggalan si mati, bukan berfikir tentang masa depan dan
kebajikan kaum keluarganya. Ia sangat berbeza dengan ajaran Islam yang
menyebut: “Apabila datang berita kematian Ja’far bin Abi Talib, Nabi s.a.w.
bersabda: Buatlah untuk keluarga Ja'far makanan kerana telah datang
perkara yang mengganggu urusan mereka. (Hadis sahih riwayat Abu Daud, al-Tirmizi
dan lain- lain).
Tujuan para pejuang perubahan tidak lain, selain dari ingin melihat
kebajikan, kegemilangan umat dan kemampuan mereka menghadapi cabaran zaman.
Juga memelihara pegangan umat sehingga jangan seakan menganggap pandangan
orang bergelar agama kesemuanya mesti ditelan bulat-bulat tanpa dinilai
dengan neraka al-Quran dan al-sunah.
Tiada siapa pun yang maksum di kalangan umat melainkan Muhammad bin
Abdillah s.a.w. insan yang ditabalkan menjadi rasul. Kata al-Imam Malik
bin Anas: “Tiada seorang pun selepas Nabi melainkan boleh diambil dan
ditolak pendapatnya kecuali Nabi.” (Al-‘Ajluni, Kasyf al-Khafa, 2/119,
Beirut: Dar Ihya al-Turath al-'Arabi).
Kata Za’ba yang menyelusuri pegangan ini: “Sekalian imam besar Islam zaman
dahulu itu walau ‘Imam-imam Mujtahidun’ pun dan walau bagaimanapun alimnya,
tidaklah pernah dikira sebagai orang yang maksum yakni terpelihara
daripada tersilap dan tersalah. Mereka sendiri sentiasa sedar yang diri
mereka tidak bersifat maksum itu.
“Mereka bukannya nabi; jika nabi baharulah layak dikira maksum pada
apa-apa yang mereka katakan dari Allah dalam hal agama. Sungguhlah sebagai
ulama mereka sekalian jadi waris kepada nabi-nabi; tetapi itu tidaklah
memestikan sifat maksum pada diri mereka dan pada segala-gala pendapat
fahaman mereka.
“Maka oleh sebab itu tidaklah pernah mereka mendakwa sekalian pendapat dan
fahaman yang telah mereka keluarkan itu tentu betul sahaja dan mesti
disetujui oleh orang sekalian, atau semuanya tetap layak dan sesuai kelak
bagi segala hal dan zaman hingga bila-bila pun. Bahkan jangankan mereka
mendakwa demikian, malahan sebaliknya mereka sendiri selalu berkata:
“Kalau ada apa-apa perkataan atau pendapatku yang didapati oleh
orang-orang kemudian bersalahan atau berlawanan dengan hadis sahih Nabi
s.a.w., maka lemparkanlah ke tembok!”
“Apa lagilah jika sekiranya ada didapati bersalahan dengan al-Quran!
Mereka tiada suka orang mengikut dengan taklid buta kepada apa-apa
pendapat dan fahaman mereka itu. Mereka selalu suruh uji dan timbang
sendiri barang apa-apa jua yang mereka katakan dalam kitab-kitab karangan
mereka: Jika didapati betul bolehlah ikut; jika tidak betul atau tidak
sesuai lagi, buanglah atau baiki akan dia.” (m.s 26)
Malangnya, golongan yang berkepentingan atas nama agama pada setiap zaman
mencemburui proses perubahan dan pembaharuan berdasarkan al-Quran dan al-sunah.
Sedangkan umat memerlukannya. Lalu yang berkepentingan menghasut
sesetengah pihak agar menganggap proses pembaharuan adalah sesuatu buruk
dan patut ditentang.
Za’ba menjawab hal ini dengan tegas, katanya: “Kita semuanya
berkehendakkan baik dan tiada siapa yang berkehendakkan jahat. Kita ingin
hendak membaiki segala hal-ehwal kita yang kekurangan, sama ada pada
perkara dunia dan pada perkara agama; hendak mengubah segala sifat keadaan
kita yang buruk atau kurang baik ditukar dengan yang baik dan yang
terlebih baik. Kita hendak mengganti segala hal kita yang mundur dan
ketinggalan, ditukar dengan yang maju dan bertambah elok mengikut kehendak
zaman pada segala yang baik.
“Kita hendak mengganti segala jalan fikiran kita yang kuno dan kolot dan
segala kepercayaan atau pegangan kita yang sudah lapuk dan reput, ditukar
dengan fikiran-fikiran baharu yang segar dan hidup dan dengan kepercayaan
yang dapat disaksikan benarnya melalui ujian Quran bersendi akal dan ilmu
pengetahuan. Kita mahu pemulihan dan pembaharuan bukan hendak berkokok
pada jalan yang telah hanyut dari tujuan asalnya dan bukan pula berdegil
hendak menyimpan jalan fikiran lama yang telah membeku jadi adat atau
kepercayaan-kepercayaan lama yang sudah berkulat dan bercendawan!” (m.s
38)
Sunggguh pelik, seorang sarjana besar bangsa seperti Za’ba diharamkan
pemikiran dan tulisannya oleh golongan agama yang sempit pada zamannya.
Namun, apa yang hendak dihairankan, tokoh agung Nusantara iaitu Buya Hamka
telah diharamkan berceramah di negeri tertentu di Tanah Melayu ketika
hayatnya. Hanya kerana pandangan Hamka tidak dapat diterima oleh
sesetengah mufti Tanah Melayu. Sehingga Hamka menulis beberapa sindiran
yang amat tajam terhadap mufti-mufti di Tanah Melayu.
*Semangat
Hal seperti inilah yang Za’ba sebutkan: “Maka hanyalah pada zaman-zaman
yang akhir semenjak beberapa ratus tahun yang lalu ini sahaja orang-orang
alim Islam hampir-hampir semuanya di serata dunia tidak lagi mempunyai
semangat kesendirian kebolehan dan kelayakan untuk berbuat seperti
pelopor-pelopor mereka yang dahulukala itu. Ya, jika dicari sangat sedikit
boleh didapati yang tahu dan boleh bersendiri, atau berani bersendiri;
melainkan di mana-mana pun akan didapati mereka itu hanya biasa tertaklid
sahaja dan kebanyakan daripada itu pula ialah bertaklid buta!
“Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar
Islam dahulukala itu – iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan
balik kepada al-Quran dan hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal
keadaan yang telah berubah sekarang – maka terus dilempar mereka akan dia
dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti sesat dan menyesatkan,
memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah
diatur oleh pakar-pakar dahulukala itu (nenek moyang), tidak ada rupa
hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu dan berbagai-bagai lagi.
“Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga
kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau
ada orang lain pula dapat berbuat.” ( (m.s 33).
Demikian nasib yang diterima oleh para pejuang perubahan pada setiap zaman.
Bacalah sejarah perjuang Syed Syeikh al- Hadi, Mustafa Abdurrahman dan
lain-lain di Tanah Melayu. Namun mereka telah nekad yang akhirnya
melimpahkan kebaikan kepada generasi kemudian. Dalam konteks yang lebih
global, lihatlah sumbangan perjuangan tajdid seperti Ibn Taimiyyah, Ibn
Qayyim, Rasyid Redha dan lain-lain. Walaupun sebahagian besar mereka
di‘gam’kan pada zaman mereka, namun nama mereka terus dikenang oleh
generasi kemudian. Bak kata pepatah ‘Al- Baqa li al-Aslah’ iaitu
berkekalan itu bagi yang terbaik. Pihak yang men‘gam’kan mereka telah pun
dilupai namanya, namun nama para pejuang terus dikenang. Lihat al-Imam
Ahmad yang dihukum dengan begitu rupa oleh kuasa agama pada zamannya.
Hakim yang menghukum al-Imam Ahmad sekalipun megah bersandarkan kedudukan
pada masa itu telah dilupai namanya oleh generasi kemudian, namun nama
al-Imam Ahmad dan pendiriannya terus dikenang dengan tinta emas oleh
sejarah.
Untuk itu saya selalu katakan sesuatu pemikiran apabila dilontarkan ke
dalam masyarakat, ia tidak dapat dihapuskan lagi melainkan dengan
pemikiran yang lebih kukuh dan teguh. Paksaan tidak mungkin dapat
menghancurkan sesuatu pemikiran, kerana tempat pemikiran adalah fikiran
atau minda. Hanya yang boleh mencabutnya keluar adalah hujah yang memaksa
minda akur dan menerimanya. Fahami hakikat ini.
Sesungguhnya jeritan dan bantahan atas emosi dan sentimen tidak akan
membuahkan hasil. Jawablah sesuatu hujah itu dengan hujah, bukan dengan
sentimen dan emosi. Di samping wajib kita ingat hikayat melayu Hang Nadim
yang dibunuh kerana kepintaran ideanya dek bimbangkan kepentingan diri
janganlah diwatak di pentas realiti kita.
Buku Za’ba ini baik untuk dibaca terutama bagi yang kuat bercakap soal
Islam di Malaysia mesti ikut ‘orang tua-tua Melayu’. Za’ba adalah tokoh
sarjana melayu. Seperti Pak Ungku menyarankan kepada saya. Menteri Besar
Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim juga cuba mengambil langkah
memasyhurkan buku ini.
Saya sarankan anda membaca buku tersebut. Saya juga berterima kasih kerana
setiap tulisan saya dibaca oleh ramai negarawan, menteri, tokoh-tokoh
masyarakat dan rakyat biasa yang memberikan semangat yang sangat positif
kepada saya. Walaupun segelintir yang kurang senang, namun saya harap ia
tetap akan dikenang.
|
|

Muka Depan
AJK Surau
Waktu Solat
Himpunan Artikel
Pautan Internet
IslamOnline
IslamQ&A
al-Ahkam.net
Darul Kauthar
Laman 'Arab
al-Qaradhawi.net
al-albani.net
Binbaz.org
e-Book di Internet
Islam House
Sunni Path
Azlin's Library
Audio di Internet
Kuliah Sunnah
Azlin's Audio Lib
|