
Himpunan artikel Dr Mohd Asri
Zainul Abidin - Mufti Perlis / Pensyarah USM

Himpunan fatwa dan risalah Dr
Yusof al-Qaradhawi - Mufti Qatar, Bekas Syeikhul Azhar

Himpunan artikel Ust Zaharuddin |
|
Antara Pengampun dan Pencerca
Dr Mohd Asri
Zainul Abidin - Mufti Perlis / Pensyarah USM
Seseorang pemerintah hendaklah tahu, bahawa bukan semua yang
memujinya ikhlas kepadanya. Mungkin pujian itu datang disebabkan
takut kepadanya atau habuan yang diharapkan. Maka tidak hairanlah
jika ramai pemerintah yang dipuji pada zaman dia berkuasa, dikeji
dan dihina pada hari dia kehilangan takhta.
Para pengampu juga akan mencari ‘tempat ampuan’ yang baru. Di
samping itu, sesuatu yang pasti bahawa setiap yang mengutuk atau
memaki pemerintah secara terbuka, tidak mempunyai keikhlasan
terhadap pemerintah. Pemaki atau pencerca sebenarnya sama seperti
pengampu. Kedua-duanya mengharapkan habuan. Pemaki mengharapkan
dengan makian itu dia diangkat, atau dianggap wira. Lalu habuan akan
datang melalui penyokongnya, atau akan ada kerusi yang diberikan
kepadanya.
Para ulama tidak boleh menjadi pengampu pemerintah. Dalam masa yang
sama, mereka tidak diizinkan syarak menjadi pencerca atau pemaki
pemerintah. Mengampu pemerintah dengan menggunakan nas- nas agama
menyebabkan pemerintah tersesat jalan dengan merasai sentiasa
dirinya betul.
Apa tidaknya golongan agama pengampu ini yang akan menyokong
segala-galanya. Tanpa perlu berfikir panjang, kerjanya mencari dalil
dan hujah menyokong apa sahaja yang dilakukan oleh pemerintah.
Segala dalil-dalil syarak diputar agar bersesuaian dengan cita rasa
pemerintah.
Sikap ini sangat berbeza dengan akhlak pendakwah yang tidak suka
melihat manusia melakukan kesalahan dan gembira melihat manusia
melakukan kebaikan.
Golongan ulama pengampu mengambil langkah menyokong apa sahaja yang
dibuat oleh pemerintah. Mereka biasanya mendapat habuan dunia yang
memberangsangkan. Pemerintah mempergunakan golongan ini sebagai alat
menghalalkan segala tindakannya. Mereka adalah ulama jahat yang
banyak mengorbankan agama dan rakyat. Mereka ini bagaikan lalat yang
mencari kesempatan menghurung bangkai yang busuk. Demikian mereka
mencari kesalahan pemerintah untuk dikerumuni dan dihalalkan.
Golongan pemaki yang bertopengkan agama pula menjadikan kutukan ke
atas pemerintah atau bangkangan terhadap sesebuah kerajaan yang
berkuasa sebagai modal cari makan. Mereka juga biasanya mendapat
habuan dunia dengan pelbagai aktiviti dan jemputan. Duit orang ramai
juga mudah dikumpulkan untuk apa-apa projek atas tiket semangat
menentang kerajaan.
Segala dalil syarak dipersembahkan dalam bentuk menyanggahi
pemerintah. Kedua-dua golongan ini merosakkan umat dengan kerosakan
yang amat besar.
Islam memerintahkan para ulama dan umat sentiasa menasihati
pemerintah. Bukan mengampu atau memakinya. Nasihat itu adalah
tuntutan agama. Nasihat mungkin datang dengan nada yang lembut. Juga
mungkin dengan nada yang tegas.
Namun penasihat sentiasa mengharapkan kebaikan untuk pihak yang
dinasihati. Tidak dinamakan nasihat, jika kita memujinya sehingga
dia tersasar. Juga tidak dinamakan nasihat jika kita memakinya di
khalayak ramai. Daripada Abi Hurairah: Bahawa Rasulullah s.a.w.
bersabda: Sesungguhnya Allah meredai kamu tiga perkara, dan memurkai
kamu tiga perkara. Dia meredai kamu jika (pertama) kamu beribadah
kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya sedikitpun, (kedua) kamu
berpegang teguh dengan tali Allah kesemuanya, (ketiga) kamu
menasihati sesiapa yang Allah jadikan dia memerintah urusan kamu.
Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan
harta dan banyak bertanya (maksudnya pertanyaan yang tidak berfaedah)
(Riwayat Malik 2/169).
*Sedar
Para pemerintah hendaklah sedar bahawa golongan yang mentaati mereka
ketika mereka melakukan kemungkaran adalah golongan menjual agama
dan tidak jujur terhadap diri dan pemerintah itu sendiri.
Daripada Abi Said al-Khudri, daripada Nabi, sabdanya: Tidak dilantik
seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat
yang rapat). (Pertama) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan
kebaikan dan menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk
melakukan kejahatan dan menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa
yang selamatkan Allah. (Riwayat al-Bukhari 6/2438 dan al-Nasai
7/158).
Al-Bukhari meriwayatkan: Ada golongan berkata Ibn ‘Umar: “Kami masuk
kepada pemerintah kami, lalu kami berkata kepada mereka berbeza
dengan apa yang kami cakap apabila kami keluar dari mereka.” Kata
Ibn ‘Umar: “Kami dahulunya (zaman Nabi s.a.w) menganggap itu sebagai
nifak (perbuatan munafik).” (Riwayat al-Bukhari 6/2626).
Benarlah nasihat Syaiban al-Ra’i pernah menasihati Harun al-Rasyid:
“Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang
yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau berasa aman lebih
baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa
aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan.”
Tanya Harun al-Rasyid: “Jelaskan maksudnya untukku.” Jawab Syaiban:
“Sesiapa yang berkata kepada engkau: “Engkau bertanggungjawab
terhadap rakyatmu, takutlah Allah” lebih baik dari orang yang
berkata, “Kamu kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah
kerabat Nabi!” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar’iyyah, 1/198).
Maksudnya mereka yang memberi nasihat dengan jujur lebih bermanfaat
untuk pemerintah dari mereka yang mengampu yang sebenarnya
merosakkan pemerintah. Sabda Nabi: Sesungguhnya selepasku ini akan
adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan.
Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan
menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan
darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa
yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman
mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia
akan mendatangi telaga (di syurga). (Riwayat Ahmad 14/78, al-Nasai
7/160 dan al-Tirmidhi. Hadis ini sahih seperti yang dinilai oleh al-Albani.
(lihat: Ibn Abi ‘Asim, al-Sunnah, tahqiq: Al-Albani, hlm 337- 339).
Ada pula yang berpendapat bahawa ulama yang tidak berani memaki
secara terbuka sebagai ulama pengecut. Namun petunjuk hadis tidak
begitu. Sabda Nabi: Sesiapa yang ingin menasihati orang yang
memiliki kuasa, janganlah dia menampakkannya secara terang-terangan.
Sebaliknya hendaklah dia mengambil tangannya (orang yang memiliki
kuasa) dan bersendirian dengannya (menasihatinya dengan tidak
didedahkan aib secara terbuka). Jika dia terima maka dia berjaya,
jika tidak dia (orang yang menasihati) telah menunaikan kewajipannya.
(Riwayat Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunah 507. Sanadnya sahih seperti
yang dinyatakan oleh al-Albani ketika mentahqiq al- Sunah ini (hlm
507).
Orang politik ramai yang mempunyai ego yang tinggi. Jika disebut
kesalahan di khalayak ramai, maka kemungkinan dia enggan akur kerana
ego politiknya. Jika secara bersendirian, ruang penerimaan itu lebih
mudah. Hadis ini juga menjelaskan bahawa pemerintah mesti terus
dinasihati sama ada dia menerima ataupun menolak.
Sekiranya dia menerima, maka itu sesuatu yang sangat baik untuk
dirinya dan umat. Jika dia menolak, pemberi nasihat telah pun
menunaikan tanggungjawabnya. Di samping nasihat juga dapat
mengingatkan dia tentang akibat sesuatu perbuatan atau perkara.
Sekalipun jika dia tidak terima, dia tetap akan tahu nilai perbuatan
di sisi syariat Allah.
*Manfaat
Kata al-‘Adhim al-Abadi: “Kata para ulama: “Tidak gugur dari mukalaf
tanggungjawab al-Amr bi al-Makruf wa al-Nahy ‘an al-Munkar hanya
kerana pada sangkaan tidak memberi faedah. Bahkan wajib dia
melakukannya kerana peringatan itu memberi manfaat kepada orang
beriman.” (Al-‘Adhim al-Abadi, ‘Aun al-Ma’bud, 11/330).
Sabda Nabi: Sebaik-baik jihad ialah perkataan yang adil – dalam
riwayat yang lain: Yang benar – di sisi pemerintah yang zalim, atau
ketua yang zalim. (Riwayat al-Nasai 7/161 Abu Daud 4/124, al-Tirmidzi
4/ 471 dan Ibn Majah 2/1329. Al-Diya al-Maqdisi menyatakan sanadnya
sahih (Al-Diya al-Maqdisi, Al- Ahadith al-Mukhtarah, 8/110).
Hadis ini selalu disalah fahami untuk membolehkan cercaan terbuka.
Jika diteliti hadis ini jelas menunjukkan perkataan yang adil atau
benar itu hendaklah dilakukan di hadapan pemerintah yang zalim,
bukan di belakangnya. Ini membawa risiko yang paling tinggi dalam
berdakwah. Adapun menyatakan kalimat yang benar atau adil di
belakang pemerintah, ramai yang mampu melakukannya. Begitu juga
mencercanya di belakang.
Kata al-Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abd Allah bin Baz: “Bukan dari
Manhaj al-Salaf (jalan salafussoleh) menghebohkan dan menyebut
keburukan pemerintah di atas mimbar. Hal ini kerana ia boleh membawa
kepada porak-peranda dan hilang ketaatan dalam perkara makruf. Ia
membawa kekecohan yang memberi mudarat dan tidak bermanfaat.
Sebaliknya jalan yang ikuti di sisi golongan salaf: Nasihat antara
mereka dengan pemerintah, menulis kepada mereka, atau berhubung
dengan ulama yang mempunyai hubungan dengan mereka.” (Al-Qahtani,
Fatawa al-Aimmah fi Nawazil al-Mudlihammah, hlm 98).
Kata Dr. Salih bin Fauzan: “Mereka yang paling utama untuk melakukan
nasihat kepada para pemerintah ialah ulama, cerdik pandai dan ahli
mesyuarat pemerintahan. Firman Allah: (maksudnya) Dan apabila datang
kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan,
mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja
hal itu kepada Rasulullah dan kepada uli al-Amr di antara mereka,
tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak
mengambil keputusan). (al- Nisa: 83).
Bukan setiap individu layak untuk urusan ini. Bukanlah sama sekali
menghebah dan menghebohkan kesalahan itu suatu nasihat. Ia bukan
Manhaj al-Salaf al- Salih. Sekalipun maksud pelakunya itu baik iaitu
untuk membantah mungkar seperti yang mereka dakwa.
Namun apa yang dia buat lebih mungkar dibandingkan apa yang dia
bantah. Sebabnya, boleh jadi membantah mungkar itu juga suatu
kemungkaran. Ini sekiranya tidak di atas jalan yang disyariatkan
Allah dan Rasul-Nya, maka ia adalah mungkar... (Ibid, hlm 124).
Jika Firaun yang melampaui batas tetap Allah perintahkan Musa dan
Harun agar datang menasihatinya dengan cara yang baik, apatah lagi
para pemerintah semasa. Firman Allah: (maksudnya) Pergilah kamu
berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas.
Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang
lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut. (Taha: 43-44).
Aliran seperti inilah yang dipelopori oleh para ulama muktabar sejak
zaman dahulu. Dengan itu, kita akan dapati mereka menyatakan
kebenaran di hadapan pemerintah dengan tegas, dalam masa yang sama
mereka juga taat tidak menentang secara terbuka, tidak mencerca
secara berleluasa dan bekerjasama dalam perkara yang baik.
Sejarah merakamkan watak tegas mereka di hadapan pemerintah, sabar
mereka dengan kerenah pemerintah dan kerjasama mereka dalam urusan
kebaikan. Walaupun mereka mempunyai kekuatan mengumpulkan rakyat,
namun para imam ahli sunah tidak keluar menentang pemerintah secara
terbuka. Sekalipun di kalangan mereka ada yang diperlakukan seperti
apa yang berlaku kepada al-Imam Ahmad bin Hanbal.
Demikian juga dalam hal para pemerintah. Makian hanya mengundang
keburukan, bukan faedah kepada Islam. Jika mereka dinasihati dengan
baik, jelas, tegas dan tidak menggadaikan prinsip agama, pemerintah
mungkin akan memikir dan menerimanya. Saya percaya ramai pemerintah
dalam banyak keadaan belum mendengar nasihat yang ikhlas, lunak,
tegas dan bernas.
Nasihat itu pula disampaikan secara langsung tanpa sebarang
kepentingan diri penasihat. Mungkin apa yang banyak pemerintah
dengar adalah ucapan para pengampu yang mengampu bukan-bukan. Atau
para pencerca yang kegiatan adalah mencerca pemerintah. Atau mungkin
juga ada nasihat yang baik, namun apabila ia datang atas nama seteru
politik menyebabkan para pemerintah salah sangka dengan nasihat
tersebut.
Pemerintah umat ini masih tandus dan gersang nasihat-nasihat yang
hebat seperti yang pernah diberikan oleh para ulama terbilang di
hadapan para pemerintah yang lampau sehingga menitiskan air mata
mereka..
|
|

Muka Depan
AJK Surau
Waktu Solat
Himpunan Artikel
Pautan Internet
IslamOnline
IslamQ&A
al-Ahkam.net
Darul Kauthar
Laman 'Arab
al-Qaradhawi.net
al-albani.net
Binbaz.org
e-Book di Internet
Islam House
Sunni Path
Azlin's Library
Audio di Internet
Kuliah Sunnah
Azlin's Audio Lib
|