Apabila seseorang
itu bermusafir lebih dari dua marhalah, maka ia harus melakukan solat qasar
dan jamak sekali. Ertinya ia boleh menjamakkan di antara dua solat serta
mengqasarkan sekali. Walau bagaimanapun, ia boleh melakukan di antara satu
yang berikut:
-
Menjamakkan dua solat fardhu
tanpa qasar.
-
Menjamakkan dua solat fardhu
dan qasar.
-
Mengqasarkan solat tanpa jamak
iaitu mengerjakan solat Zohor, Asar , Isya’ dengan dua rakaat yang berasingan.
Solat jamak dan qasar ini adalah
suatu keringanan yang diberi oleh Allah kepada hamba-Nya dalam segenap
masa bagi orang musafir atau dalam keadaan yang sukar.
Permulaan musafir ini dikira
setelah kita keluar kawasan, sama ada melalui sungai, parit, kota sempadan
atau kawasan yang sudah tidak ada bangunan lagi.
Akhir musafir ialah apabila
kita memasuki kawasan permulaan musafir tadi.
Solat jamak dan qasar boleh
dilakukan apabila perjalanan seorang musafir tidak kurang dari 60 batu
atau 100 km walaupun ada khilaf ulama dalam penentuan jarak jauhnya.
Jadi, untuk berhati-hati, eloklah dikira dari 60 batu.
Solat bagi orang yang musafir
ini ada tiga cara:
-
Jamak dengan qasar sekali.
-
Jamak sahaja tanpa qasar.
-
Qasar sahaja tanpa jamak.
Di antara dua solat jamak tidak
boleh dipisahkan dengan jarak yang sangat lama. Oleh itu, selepas sahaja
salam, teruskan sahaja solat yang kedua dengan hanya diselangi oleh iqamat
sahaja. Solat Jamak dengan satu kali azan dan dua kali iqamat.
Orang yang melakukan solat
qasar tidak boleh berimamkan orang yang solat sempurna ( tamam ). Apabila
seseorang itu sudah sampai ke kawasan permulaan ia bertolak tadi, maka
selesailah solat jamak dan qasarnya. Ia tidak boleh lagi mengerjakan solat
secara jamak dan qasar.
Apabila seseorang itu bermusafir
dan berhenti pada satu tempat selama 4 hari atau lebih, maka putuslah safarnya.
Tapi, sekiranya ia hendak berhenti di situ selama tiga hari, maka bolehlah
solat jamak dan qasar. Tiga hari itu tidak termasuk hari sampai dan hari
keluar.
Apabila seseorang itu berhenti
di suatu tempat dengan niat akan berada di situ selama tiga hari, tapi
kerana urusan tidak selesai dari sehari ke sehari, maka ia diharuskan jamak
dan qasar sehingga 18 hari.
Apabila seseorang itu bermusafir
kerana sesuatu maksiat, maka ia tidak diharuskan solat jamak dan qasar.
Bagi mereka yang hendak mengerjakan solat Jamak Takkhir hendaklah berniat
lebih awal; jangan sampai waktu hendak baru berniat.
Perjalanan seseorang musafir
hendaklah tentu dan ia tahu ke mana arah tujuannya. Jika ia tidak tahu
ke mana hendak diarahkan perjalanannya itu, maka tidak boleh jamak/qasar.
Orang yang musafir kurang
dari tiga marhalah (90 batu) maka afdal solat sebagaimana biasa. Jika perjalanannya
melebihi 90 batu, maka baginya lebih afdal mengerjakan solat jamak dan
qasar.
Kemudahan solat jamak ( jamak
sahaja ) juga diberikan kepada ahli karyah yang ingin mengerjakan solat
berjemaah apabila hujan lebat dan kampung itu merupakan satu kawasan yang
biasa lecah dan becak dengan syarat ada hujan pada awal kedua-dua solat
dan di antara keduanya dan pada salam solat pertama. Tidak mengapa kalau
sekiranya hujan itu berhenti di pertengahan solat pertama atau di pertengahan
solat kedua.
|