|
Tazkirah
Apa Punca Anak Derhaka?
Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Berguraulah dengan anak
kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka,
bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek,
kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14
tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai
pengajaran)”
Dimana yang nak dipukul tu?
Tapak kakinya, bukan muka, punggung, telinga dan ditempat-tempat
yang sensitif, itu salah.
Jika dia bijak dan menang dalam sebarang pertandingan sekolah,
ucapkan tahniah. Tidak salah kita cium atau peluk mereka sebagai
tanda penghargaan. Kala umur mereka 14 hingga 21 tahun jadikan kawan.
Tetapi selalunya usia beginilah ibu bapa mula merenggangkan hubungan
dan ini menyebabkan anak derhaka.
Yang penting anak-anak harus
dilatih sembahyang jemaah bersama, latih cium tangan dan peluk penuh
kasih dan sayang, maka mereka tidak akan tergamak menderhaka.
Saya pernah tinjau,
anak-anak yang lari daripada rumah, berpunca daripada rasa bosan.
Belum sempat letak beg sekolah, ibu dah suruh macam-macam. Si anak
rasa tertekan dan menyampah dengan persekitaran dan rumahnya. Boleh
disuruh tetapi berikan hak mereka di rumah. Yang penting dia balik
ke rumah suka, dan pergi sekolah pun seronok.
Mungkin ibu bapa punya
alasan tidak rapat dengan anak-anak kerana sibuk. Kita boleh cuba
cara lain, balik di tengah malam, anak-anak sudah tidur, pergi bilik
dan cium dahinya. Hubungan rohani tetap subur, walaupun anak tidur
tetapi jiwanya sentiasa hidup.
Jangan kita tunjuk sikap
kita yang panas baran, pemarah dan ada kuasa veto kepada mereka,
jangan suka mengherdik mereka dengan perkataan bodoh, kurang ajar,
sumpah seranah dan sebagainya yang merupakan doa kepada mereka.
Inilah yang menyebabkan mereka derhaka kepada kita.
Doa anak-anak
termakbul
Lazim orang tua, pantang anak menegur walaupun tahu mereka bersalah.
Jangan rasa tercabar kerana pesan orang tua-tua, bisa ular tidak
hilang walau menyusur di bawah akar. Sayyidina Umar berkata,
kanak-kanak tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima.
Begitu juga dengan
Rasulullah, kalau berjumpa anak-anak kecil, Baginda cukup hormat dan
sayang sebab anak-anak tidak berdosa. Lagipun kanak-kanak kalau
menegur memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah. Perasaan
anak juga mesti dihargai, sesetengah orang tua kurang bercakap
dengan anak-anak. Kalau menegur pun dengan ekor mata dan herdikan.
Si anak rasa tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan tempat mereka
mengadu, bila jumpa kawan baik tidak mengapa, tetapi jumpa yang
samseng, sudah tentu membawa padah.
Bertaubat sebelum
melarat
Jika Tuhan menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat. Tetapi
apa caranya jika orang tua telah meninggal sedangkan sewaktu
hidupnya kita derhaka dan melawan mereka? Bila insaf, selalulah
ziarah kubur emak ayah kita dan bacakan ayat-ayat suci untuknya.
Jumpa semula kawan-kawan baik ibu atau jiran-jiran yang masih hidup
dan buat baik dengan mereka. Sedekah ke masjid atas nama ibu ayah.
Walaupun ibu ayah sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga
ibu redha dan Allah ampunkan dosa.
Allah maha pengampun dan
luas rahmatnya. Tetapi jangan ambil kesempatan buat jahat kemudian
bertaubat. Hidup tidak tenteram atau bala turun. Cuba kita
perhatikan kemalangan yang berlaku setiap hari. Misalnya tayar
kereta pecah, jangan lihat dengan mata kasar, selidik apa salah yang
telah kita buat hari ini.
Pertama bagaimana hubungan
kita dengan Tuhan, jika semuanya baik, turun ke peringkat kedua,
bagaimana pula hubungan dengan ibu?
Pastikan hubungan dengannya
sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi menjalinkan hubungan yang
baik kerana hayat mereka bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita.
Hubungan dengan bapa
Lazim ibu yang dilebihkan, sedangkan bapa menjeruk perasaan kerana
tidak dipedulikan anak-anak.
Hubungan dengan bapa
sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku
pertembungan, nabi suruh utamakan ibu dahulu. Tiga kali ibu barulah
sekali kepada bapa.
Bagaimanapun sebaik-baiknya,
kasih sayang dan perhatian biar sama agar kedua-duanya tidak
berkecil hati.
Begitu juga dengan nenek,
walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan di
depan mereka. Sebenarnya golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran
kita. Walaupun Allah tidak ambil kira kata-kata mereka tetapi kita
wajib mentaati dan menghormati golongan tua.
Usah derhaka kepada
mentua
Mentua mesti dimuliakan seperti kita menghormati orang tua sendiri.
Kalau mereka kecil hati, samalah seperti tersinggungnya hati emak.
Kita sayang anaknya kenapa tidak sayang orang yang melahirkannya
juga?
Ada menantu kecil hati dan
pendam perasaan terhadap mentua yang terlalu ambil berat tentang
anaknya. Bersabarlah dan jalin hubungan baik kerana taraf mereka
sama seperti ibu bapa kandung.
Kewajipan anak lelaki,
pertama kepada Allah, kedua rasul, ketiga emak dan emak mentua,
keempat bapa dan bapa mentua dan kelima baru isteri. Isteri kena
faham, kalau suami sayang dan melebihkan ibu bapa, itu memang wajar.
Sebaliknya anak perempuan,
yang pertama Allah, kedua rasul dan ketiga suami. Jalan pintas ke
syurga bagi anak-anak selain Allah adalah emak dan ayahnya.
Perasaan mentua perlu
dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu. Seperti kisah Nabi
Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail.
Suatu hari, Nabi Ibrahim ke
rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di rumah.
Isterinya pun tidak kenal dengan mentuanya. Menantu berkasar
menyebabkan Nabi Ibrahim kecil hati. Dan sebelum balik dia berpesan
kepada menantunya suruh suaminya tukar alang rumah kepada yang baru.
Bila Nabi Ismail balik,
isterinya pun menggambarkan rupa lelaki tersebut menyampaikan pesan.
Nabi Ismail sedar itu adalah ayahnya. Nabi Ismail insaf di sebalik
simbol kata-kata ayahnya, bahawa isterinya bukan daripada kalangan
wanita yang berakhlak, lalu diceraikan.
Nabi Ismal berkahwin kali
kedua dan bapanya masih tidak mengenali menantu. Sekali lagi Nabi
Ibrahim melawat dan menantunya melayan dengan bersopan santun
walaupun tidak kenal siapa Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim tertarik hati
dan sebelum balik berpesan lagi, katakan alang rumah anaknya sudah
cukup baik dan jangan ditukar kepada yang lain.
Ada 501 tips yang diberikan
oleh penulis iaitu Robert D. Ramsey untuk mempertingkatkan potensi
anak-anak kita dan seterusnya menempatkan anak-anak kita dikalangan
winners.
Tips ini juga jika diamalkan
mampu menjadikan anak-anak kita sebagai winners. Penulis berpendapat
apa yang membezakan antara winners dan losers adalah mudah iaitu:-
Winners percayakan diri
mereka dan boleh membayangkan diri mereka di kalangan orang yang
berjaya sementara losers merasakan diri mereka tidak boleh.
Tips:
-
Mulakanlah hidup anak kita dengan nama panggilan yang baik. Nama
panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak malu dan merasa
rendah diri. Dalam Islam sendiri nama panggilan yang baik adalah
digalakkan.
-
Berikan anak kita pelukan setiap hari. Kajian menunjukkan anak
yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yang lebih
kuat daripada anak yang jarang dipeluk.
-
Pandanglah anak kita dengan pandangan kasih sayang. Pandangan
ini akan membuatkan anak kita lebih yakin diri apabila
berhadapan dengan persekitaran.
-
Berikan peneguhan setiap kali anak kita berbuat kebaikan.
Berilah pujian, pelukan, ciuman, hadiah ataupun
sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang
dilakukannya.
-
Janganlah mengharapkan anak kita yang belum matang itu melakukan
sesuatu perbuatan baik secara berterusan, mereka hanya
kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka
membuatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuklah
berbuat silap.
-
Apabila kita berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga,
pilihlah keluarga. Seorang penulis menyatakan bahawa anak-anak
akan terus membesar, tetapi masalah kerja itu selalunya akan
terus berlalu dan tak akan kembali.
- Di
dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, janganlah kita
mengeluh. Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri
mereka beban.
-
Dengarlah cerita anak kita. Cerita itu tak akan dapat kita
dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran kita untuk
bercakap. Ini akan mengajar anak kita tentang giliran untuk
bercakap.
-
Tenangkan anak kita setiap kali mereka memerlukan ketenangan.
-
Tunjukkan kepada anak kita bagaimana cara untuk menenangkan diri.
Mereka akan menirunya.
-
Buatkan sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut hari
lahirnya. Sediakanlah hadiah hari lahir yang unik walaupun
harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak kita belajar
menghargai. Anak-anak yang datang daripada persekitaran yang
menghargai akan belajar menghargai orang lain.
-
Kemungkinan anak kita menerima pengajaran bukan pada kali
pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan kita mengajar mereka
lebih daripada sekali.
-
Luangkanlah masa bersama anak kita di luar rumah, peganglah
tangan anak-anak apabila kita berjalan dengan mereka. Mereka
tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan
kita suami isteri.
-
Dengarlah mimpi ngeri anak-anak kita. Mimpi ngeri mereka adalah
begitu real dalam dunia mereka.
-
Hargailah permainan kesayangan anak kita. Mereka juga dalam masa
yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan kita. Elakkan
daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak.
Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.
-
Janganlah membiarkan anak-anak kita tidur tanpa ciuman selamat
malam .
-
Terimalah yang kadang kala kita bukanlah ibu bapa yang sempurna.
Ini akan mengurangkan stress menjadi kita sebagai ibu bapa.
-
Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak
akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting
daripada keluarga.
- Anak
menangis untuk melegakan keresahan mereka tetapi kadangkala cuma
untuk sound effect sahaja. Bagaimanapun dengarilah mereka, dua
puluh tahun dari sekarang kita pula yang akan menangis apabila
rumah mula terasa sunyi. Anak-anak kita pula mula sibuk
mendengar tangisan anak mereka sendiri.
-
Ingatlah, anak-anak juga mempunyai perasaan seperti kita.
|