|
Tazkirah
Hukum Meninggalkan Solat
Beberapa ketika yang lalu,
kita telah pun membicarakan tentang pengenalan ibadah solat.
Dalam topik tersebut, kita
telah mengupas tentang
pengertian dan kefardhuan solat, kedudukan dan kepentingan solat
dalam Islam.
Jadi pada kali ini eloklah
kita bincang serba sedikit tentang hukum meninggalkan solat.
Orang yang meninggalkan
solat fardhu adalah amat buruk dan sangat keji sekali,
malahan ianya terlebih keji daripada iblis.
Ini kerana si iblis hanya
enggan sujud kepada nabi Adam a.s. yang merupakan makhluk, tetapi
orang yang meninggalkan solat adalah seorang yang enggan bersujud
kepada Allah s.w.t yang merupakan Khaliq (pencipta).
Justeru itu, dosa
meninggalkan solat itu amat besar sekali. Di Akhirat nanti seseorang
yang meninggalkan solat itu akan dimasukkan ke dalam neraka.
Allah s.w.t telah
menceritakan di dalam al-Quran, bahawa ahli syurga (Ashabul Yamiin)
telah bertanya kepada penghuni neraka, yang bermaksud:
Apakah yang menyebabkan kamu
masuk ke dalam neraka? Mereka menjawab, kami dahulu bukan daripada
golongan orang-orang yang bersolat.
Daripada Abdullah bin Umar
r.a. daripada Nabi s.a.w. bahawa pada suatu hari baginda menyebut
tentang solat lalu baginda bersabda, yang bermaksud:
Sesiapa yang memelihara
solat, nescaya solatnya menjadi nur untuknya, ketandaan (iman) dan
kelepasan (dari neraka) pada hari kiamat.
Sebaliknya sesiapa yang
tidak memeliharanya nescaya tiada nur baginya, ketandaan dan
kelepasan.
Malahan dia adalah (dikumpulkan
dalam neraka yang paling panas sekali) bersama Qarun, Fir’aun, Haman
dan Ubai bin Khalaf.
(Hadis riwayat Ahmad, at-Tabrani
dan Ibnu Hibban).
Daripada Jabir r.a.
meriwayatkan beliau telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, yang
bermaksud:
Sesungguhnya meninggalkan
solat ialah (perkara yang menghubungkan) seseorang dengan kufur.
(Hadis riwayat Ahmad dan
lain-lainnya).
Ijma’ para ulama mengatakan
bahawa hukum orang yang meninggalkan solat kerana ingkar terhadap
kewajipannya, adalah jatuh kafir.
Namun, sekiranya seseorang
itu meninggalkan solat atas sebab malas, tetapi dia tahu dia wajib
solat, maka terdapat tiga pendapat ulama tentang hukumnya, iaitu:
- Orang
itu tidak menjadi kafir, tetapi dia menjadi fasik. Maka wajib
atas pihak yang berkuasa bertindak menyuruhnya bertaubat kembali
mengerjakan solat. Sekiranya dia enggan bertaubat maka
dijalankan ke atasnya hukuman hudud, iaitu dibunuh dengan pedang.
Ini pendapat Imam Malik, Syafi’e dan jumhur ulama salaf dan
khalaf.
- Orang
itu menjadi kafir. Hukumnya sama seperti orang yang ingkar
terhadap kewajipannya tadi.
Ini adalah pendapat satu jemaah daripada para salaf yang diambil
riwayatnya daripada Saidina Ali bin Abu Talib dan salah satu
pandangan Imam Ahmad bin Hambal serta pendapat Abdullah bin al-Mubarak
dan Ishak bin Rahawaih.
- Orang
itu tidak menjadi kafir dan tidak pula dibunuh, sebaliknya
ditakzirkan dengan dipenjarakan sehingga dia mengerjakan solat.
Ini pula adalah pendapat Imam Abu Hanifah dan satu jemaah
daripada para fuqahak Kufah dan juga pendapat al-Muzani seorang
pendokong dan pengikut Imam asy-Syafi’e.
Lihat betapa besarnya solat,
dan betapa besar hukum bagi seseorang meninggalkan solat.
Orang yang mahu agamanya
selamat dan dirinya bahagia di dunia dan akhirat, sudah tentu dia
wajib menghindarkan dirinya dari terletak di antara hukum menjadi
murtad dan berdosa besar.
Wallahu a’lam.
P/s: Solatlah anda sebelum
anda disolatkan.
Himpunan dari
http://soleh.net/
|