|
 |
|
Tazkirah
Kasihnya Allah Pada Wanita
"Keistimewaan yang Tuhan
berikan kepada wanita terlalu
banyaknya". "Kasihnya Tuhan kepada wanita!" Itulah kata-kata yang
paling mudah digunakan untuk menggambarkan 'layanan' istimewa
terhadap wanita dalam Islam. Sesungguhnya, tidak akan ada mana-mana
ajaran, ideologi, isme atau agama lain yang dapat melayan wanita
dengan sebegitu baik sepertimana Islam melayan wanitanya. Malah,
kalau bergabung pun kesemua wanita yang cerdik pandai, berharta dan
berkuasa di seluruh dunia ini untuk menambah hak dan pengiktirafan
buat mereka, mereka pasti tidak akan mencapai taraf kemuliaan serta
layanan baik yang Allah SWT tawarkan buat seorang wanita di dalam
Islam.
Namun, ramai wanita yang tidak memahami hal ini. Lantaran itu
kebanyakan mereka tertipu oleh nafsu sendiri dan merasa terkongkong
dengan amalan atau larangan tertentu yang digunakan ke atas wanita
Islam seperti amalan menutup aurat, larangan bergaul bebas, poligami,
larangan wanita menjadi pemimpin dan lain-lain lagi. Mereka cukup
takut dan gerun dengan kesemua amalan atau larangan yang dianggap
sangat menindas wanita. Walhal kalau dikaji setiap satu amalan atau
larangan itu, mudah sahaja untuk melihat hikmah dan kebaikannya
kepada kaum wanita itu sendiri.
Lalu kita melihat apa yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang hak
wanita ialah mereka kalau boleh tidak mahu sebarang sekatan
dikenakan ke atas mereka. Tentulah ini tidak munasabah. Sedangkan
manusia sendiri banyak membuat peraturan-peraturan serta larangan
itu dan ini, atas alasan hendak menjaga keselamatan diri atau
masyarakat awam. Contohnya, dalam soal lalu-lintas, terlalu banyak
peraturan dan larangan yang manusia buat seperti jangan memandu
melebihi had laju, tidak boleh letak kereta di garisan kuning, mesti
berhenti apabila ada isyarat lampu merah, mesti hidupkan lampu
selepas pukul 7 malam dan berbagai-bagai lagi. Kalau dalam bidang
sekecil ini pun perlu banyak peraturan dan larangan, sudah tentulah
dalam bidang kehidupan lebih memerlukan lagi, dan lebih-lebih
lagilah kalau skopnya itu jauh lebih luas iaitu untuk keselamatan
dunia dan Akhirat.
Tuhan sebenarnya sangat kasih dan memuliakan kaum wanita. Segala
suruhan dan larangan yang Tuhan kenakan ke atas kaum wanita tidak
lain dan tidak bukan ialah untuk memastikan keselamatan dirinya dan
masyarakat dan sekali-kali bukan untuk menyusahkan mereka. Tetapi,
atas hujah dan alasan apa dakwaan ini dibuat? Mari kita lihat satu
persatu pengiktirafan yang diberikan olehTuhan kepada wanita, sama
ada setara langsung atau pun tidak.
i) Gelaran bagi `isteri' di dalam Al Quran
Perkataan yang Allah SWT gunakan di dalam Al Quran untuk menunjukkan
suami atau isteri adalah perkataan yang sama, sedangkan dalam bahasa-
bahasa lain, perkataan untuk suami dan perkataan untuk isteri
menggunakan dua perkataan yang berbeza. Misalnya, dalam bahasa
Inggeris, perkataan untuk suami ialah `husband' manakala perkataan
untuk isteri ialah `wife'. Sementara dalam bahasa Perancis pula,
perkataan untuk suami ialah `mari' manakala perkataan `femme' untuk
isteri.
Tetapi di dalam Al Quran, suami dan isteri tidak disebut dua
perkataan yang berbeza `zaujuh' dan `zaujati'. Hanya satu perkataan
yang digunakan untuk kedua-duanya iaitu `zaujuh' yang bermakna `pasangan'.
Islam melihat suami dan isteri adalah pasangan, penutup dan juga
pelindung buat yang lain. Mereka dilihat sebagai sepasang, bukan
berasingan. Sudah tentulah ini bermakna yang kaum lelaki di dalam
Islam tidak dianggap lebih mulia daripada kaum wanitanya. Apabila
kita mengatakan sepasang kaca mata, sepasang stokin atau sepasang
baju, tentulah kita menganggap mereka setara dan tidak dapat
dipisahkan di antara satu sama lain. Dan sudah tentulah kita tidak
menganggap yang stokin kanan lebih hebat daripada stokin kiri atau
kaca mata kanan lebih baik daripada kaca mata kiri. Begitulah
tamsilannya sepasang suami isteri di dalam Islam seperti yang
tercatat di dalam Al Quran.
Namun, gelaran zaujuh ini hanya diberikan kepada isteri yang sama
beriman. Bagi isteri yang tidak beriman, mereka tidak disebut zaujuh.
Contohnya, isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh. Di dalam Al Quran,
mereka disebut 'imraah', kerana isteri sebegini tidak dianggap
pelengkap, pelindung atau penutup kepada suaminya.
ii) Pembelaan Rasulullah SAW Terhadap Wanita
Rasulullah SAW ada banyak menyatakan Hadis-Hadis yang menunjukkan
betapa wanita itu dimuliakan di dalam Islam. Antaranya:
a. "Syurga di bawah telapak kaki ibu." Apakah wanita tidak rasa
mulia dengan Hadis ini? Mengapa Rasulullah SAW memilih perkataan "di
bawah telapak kaki" dan bukan "di dalam tangan" atau "di sisi"
seorang ibu? Sudah tentu ini sangat menggambarkan mulianya seorang
wanita di dalam Islam. Seorang yang faham tentu akan sangat
memandang mulia, menghormati, membela serta berlumba-lumba untuk
berkhidmat dan meng'hamba'kan diri kepada ibunya (dengan syarat
segala yang dibuat itu tidak melanggar syariat). Tidakkah beruntung
menjadi seorang ibu di dalam Islam? Dia tidak akan terbiar dan
dipinggirkan, malah akan sentiasa dibela, dihormati dan dimuliakan
oleh anak-anaknya.
b. "Orang yang paling baik dari antara kamu itu ialah yang paling
baik kepada isi rumahnya, dan aku ini orang yang paling baik dari
antara kamu kepada isi rumahku."
c. "Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang
mulia, dan tidak menghina akan perempuan-perempuan melainkan orang
yang hina."(Hadis riwayat Ibnu `Asakir)
d. "Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang sopan.
Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana
mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan
padanya kebaikan yang banyak."
e. "Janganlah seorang mukmin lelaki membenci kepada seorang
(isterinya yang) mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya yang
lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang is
suka."(Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)
Demikianlah hak-hak istimewa seorang wanita yang diberi oleh Islam.
Dalam satu masyarakat yang bertaqwa, kaum wanita tidak perlu bimbang
yang mereka akan diperleceh, dipermain atau diperkotak-katikkan oleh
kaum lelaki, sebaliknya mereka boleh yakin bahawa pihak lelaki akan
sentiasa melindungi, menasihati, menegur dan membimbing mereka
dengan ikhlas.
iii) Bahagian Tubuh Wanita Dianugerahkan Nama yang Mulia
Dalam tubuh wanita, ada satu bahagian yang diberi nana yang begitu
mulia iaitu rahim. Perkataan ini diambil dari nama Tuhan, yang
bermaksud `Maha Penyayang'. Sudah tentulah Tuhan tidak akan
memberikan nama yang semulia ini kepada sesuatu yang hina di sisi-
Nya. Sudah tentuTuhan akan memilih sesuatu yang mulia juga untuk
dianugerahkan nama yang begitu mulia. Tuhan tidak berikan nama yang
semulia ini kepada bahagian tubuh lelaki tetapi Dia memberikannya
kepada bahagian tubuh wanita. Rahim inilah yang merupakan penghubung
kepada makhluk. Di dalam rahimlah, wanita menjaga ciptaanTuhan dan
memberi makan kepada apa yang Tuhan ciptakan.
Kaum wanita sepatutnya merasa sangat malu kepada Tuhan kerana
memberi penghargaan yang begitu tinggi kepada mereka. Siapa boleh
nafikan kepentingan rahim untuk kewujudan manusia? Anugerah rahim
kepada wanita sebenarnya sudah cukup untuk membuktikan akan mulianya
wanita di sisi Tuhan.
iv) Diberi Pahala yang Berterusan
Wanita disebut `kurang dari sudut agama', tetapi ini bukan bermaksud
yang wanita itu kurang dari sudut iman dan taqwanya. Mereka cuma
kurang bersolat ketika datang haid dan nifas. Namun, oleh kerana di
waktu-waktu lain mereka sentiasa bersolat, maka sepanjang waktu haid
dan nifas itu, Tuhan tetap memberikan juga pahala solat sekiranya
mereka dapat bersabar dengan keadaannya yang tidak selesa itu.
Bayangkan seorang wanita yang baru melahirkan anak. Sudahlah
digugurkan dosa-dosanya seperti seorang bayi yang baru lahir,
diberikan pula pahala solat percuma sepanjang dia dalam keadaan
nifas. Dan kalau dia sabar menyusu, memelihara dan melayan kerenah
anaknya pula, makin banyaknya pahala yang Tuhan sediakan untuknya.
Aduh! Maha Pemurahnya Tuhan kepada wanita. Maha Baiknya Tuhan kepada
golongan yang sering dianggap lemah dan terpinggir ini! Kalaulah
wanita-wanita pejuang hak asasi itu tahu begini sekali ganjaran-
ganjaran yang Tuhan berikan kepada seorang wanita mukminah, pastilah
mereka akan meninggalkan perjuangan mereka. Tidak ada apa-apa lagi
hak yang perlu diperjuangkan oleh seorang wanita mukminah. Yang
Tuhan tawarkan itu pun sudah terlampau banyaknya.
|
BACK
Segala komentar boleh dihantar
terus kepada alamat e-mail di bawah
Rekabentuk dan Isi Kandungan oleh
webmaster@eonbank.com.my
|

Muka Depan
AJK Surau
Waktu Solat
Tazkirah
Soal Jawab Agama
Pautan Internet
IslamOnline
IslamQ&A
al-Ahkam.net
Darul Kauthar
Read The Al-Quran
Panduan
Solat
Laman 'Arab
al-Qaradhawi
al-albani.net
Binbaz.org
|