Alhamdulillah dapat juga
aku sambung tajuk ini ke bahagian II seperti yang aku janjikan
dulu dalam post
Kedudukan dan kepentingan solat dalam
Islam.
Solat adalah suatu
penghormatan yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada kita di mana
kita diizinkan mengadap-Nya dengan rasmi sebanyak lima kali
sehari semalam.
Sedangkan dalam hidup
kita seharian pun belum tentu kita dapat membuat perjumpaan
rasmi dengan bos kita sebanyak lima kali, siap dengan dibolehkan
pula untuk mengemukakan pelbagai permohonan dan rayuan.
Solat juga merupakan
satu kunjungan mahabbah bagi menziarahi Rasulullah s.a.w di mana
kita memberi salam dan mempersembahkan ibadah dan doa restu
kepada Baginda semasa membaca tahiyyat.
Selain itu, melalui
kewajipan berjemaah dan fardhu Jumaat solat adalah suatu ibadah
yang mempunyai hubungan dua hala iaitu hubungan dengan Allah dan
hubungan dengan manusia.
Kerana tinggi dan
mulianya kedudukan solat itu, maka perintah kewajipannya
disampaikan sendiri oleh Allah s.w.t kepada Rasul-Nya pada malam
Israk dan Mikraj.
Bukan setakat itu sahaja,
Allah s.w.t juga telah memperkukuhkan lagi perintah-Nya itu
dengan mengulangi suruhan menunaikan kewajipan solat itu
berulang kali di dalam Al-Quran.
Sehinggakan di saat-saat
kewafatan Rasulullah s.a.w pun, Baginda tetap berpesan lagi
kepada umatnya dengan sabda yang bermaksud,
“Peliharakanlah solat!
Peliharakanlah solat! Dan peliharakanlah hamba-hamba sahaya kamu!”
(Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).
Justeru teramat penting
dan mulianya solat, Allah dan Rasul-Nya telah
mempertanggungjawabkan ke atas bahu ketua keluarga untuk
melaksanakan kewajipan munyuruh keluarganya bersolat.
Firman Allah yang
bermaksud,
“Dan perintahkanlah
keluargamu mengerjakan solat, dan bersabarlah kamu dalam
mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, (bahkan)
Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah), akibat
(yang baik itu adalah) bagi (orang-orang yang bersifat dengan)
taqwa.” (Toha: 132)
Tanggungjawab ibu bapa
mendidik dan memerintah anak-anak mereka bersembahyang sudah
bermula semenjak si anak berumur tujuh tahun. Hal ini dinyatakan
oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya yang bermaksud,
“Suruhlah anak-anak kamu
mengerjakan solat semasa mereka berumur tujuh tahun, dan
pukullah mereka (jika mereka meninggalkan solat) semasa mereka
berumur sepuluh tahun, dan juga (dalam peringkat umur tersebut)
hendaklah dipisahkan tempat tidur mereka (jauh) antara satu
dengan yang lain,” (Hadith riwayat Abu Daud).
Demikianlah kedudukan
solat. Betapa pentingnya solat dalam Islam. Sama-samalah kita
tingkatkan usaha memeliharanya. Wallahu a’lam.
Himpunan dari
http://soleh.net/