Keluarga Pendukung Dakwah
Islam mewajibkan setiap Muslim, baik lelaki mahupun perempuan,
untuk menjadikan akidah Islam sebagai landasan kehidupan,
termasuk dalam kehidupan berumah-tangga. Menjadikan akidah Islam
sebagai asas rumah tangga bererti meletakkan akidah sebagai
paksi tujuan hidup dalam berumah tangga. Akidah Islam menetapkan
bahawa tujuan hidup setiap manusia adalah untuk meraih keredhaan
Allah Subhanahu wa Taala. melalui ketaatan, ketundukan, dan
kepatuhan kepada-Nya seperti firmanNya: “Dan
tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk
menyembahKu”.
[TQS adz-Dzariyat 51: 56].
Berdasarkan hal ini, maka mereka yang berpegang
teguh kepada akidah Islam akan sentiasa terikat dengan
hukum-hukum Islam, termasuk dalam aspek mendirikan dan menjalani
kehidupan rumah tangga. Motivasi dalam berkeluarga adalah
semata-mata untuk mendapatkan keredhaan-Nya dan bukannya kerana
mementingkan kebendaan atau kemewahan..
Setiap perintah Allah akan dilaksanakan walaupun berat, penuh
rintangan dan halangan, dengan tidak mengambilkira faedah dari
segi kebendaan.. Sebaliknya, semua yang dilarang-Nya akan
sentiasa dihindari walaupun menarik hati, menyenangkan, dan
menjanjikan kesenangan duniawi.
Salah satu perintah Allah
Subhanahu wa Taala
ke atas. pasangan suami dan isteri adalah
kewajipan berdakwah. Ini dapat diperhatikan dari firman Allah
Subhanahu wa Taala:
“Orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan,
sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain.
Mereka melakukan amar makruf nahi mungkar. “[TQS
at-Taubah [9]: 71].
Dalam ayat ini Allah
Subhanahu wa Taala.
menyatakan bahawa berdakwah merupakan aktiviti yang bersangkutan
dengan keimanan seseorang, baik laki-laki mahupun wanita.
Allah
Subhanahu wa Taala.
juga berfirman:
“Hendaklah
ada di antara kalian segolongan umat yang menyerukan kebajikan
(Islam) dan melakukan amar makruf , mencegah kemungkaran;
merekalah orang-orang yang beruntung.”
[TQS Ali Imran [3]: 104].
Ayat ini menerangkan bahawa dakwah bukanlah tanggungjawab
individu sahaja, tetapi wajib dilakukan secara berjemaah;
perlunya ada kumpulan yang dianggotai lelaki mahupun perempuan
yang mampu menegakkan tujuan dakwah.
Dengan demikian, amatlah jelas bahawa dakwah memang wajib
dilakukan oleh setiap lelaki mahupun perempuan muslim, suami
mahupun isteri. Pada masa kini, separuh dari jumlah penduduk
dunia adalah terdiri dari kaum wanita. Sememangnya orang yang
paling layak berdakwah di kalangan perempuan adalah kaum wanita
sendiri iaitu para ibu dan calon-calon ibu. Apatah lagi pada
saat ini kaum wanita telah dijadikan sasaran utama dalam rangka
meruntuhkan sesuatu bangsa.
.
Oleh kerana itu, suami dan isteri sepatutnya sama-sama meyakini
bahawa dakwah merupakan satu kewajipan bagi mereka. Suami tidak
akan menghalangi isterinya berdakwah. Ini kerana, menghalangi
isteri berdakwah bererti menghalanginya menunaikan kewajipan dan
seterusnya menjerumuskan isteri ke dalam dosa. Sebaliknya,
isteri juga akan meredhai suaminya berdakwah. Apabila suaminya
lesu dan tidak bersemangat dalam dakwah, isteri akan bersegera
menaikkan semangat suaminya. Suami dan isteri masing-masing
sepatutnya berbangga memiliki pasangan sebagai pendukung dakwah,
dan hati serta perasaan mereka mengatakan:. “Keluarga
kami adalah keluarga pendukung dakwah,”
Inilah kebahagiaan ikatan mabda.
Mengatasi Masalah Keluarga
Kehidupan berumah tangga bukanlah satu perjalanan tanpa onak
ranjau dan tiada halangan. Berbagai ujian dan dugaan pasti
datang silih berganti. Hal ini penting untuk selalu diwaspadai
oleh setiap pasangan suami-isteri.Sepasang suami-isteri akan
beringat bahawa ketika mereka bernikah bererti mereka telah
menjawab satu pertanyaan penting dalam kehidupannya iaitu “Dengan
siapa Anda akan berjuang bersama-sama mengharungi kehidupan demi
mencapai redha Allah dan masuk syurga bersama-sama?”
Dengan mengingati persoalan ini, maka suami dan isteri adalah
bersahabat antara satu sama lain. Perkahwinan bukan sekadar
bertujuan mencapai kebahagiaan seksual atau meningkatkan status
sosial melainkan keinginan untuk dimasukkan ke syurga
bersama-sama seperti firman Allah:
”
Masuklah kamu ke dalam syurga, kamu dan
isteri-isteri kamu digembirakan. Dihidangkan kepada mereka
piring-piring dari emas, dan piala-piala dan di dalam syurga itu
terdapat segala apa yang diinginkan oleh hati dan sedap
dipandang mata dan kamu kekal didalamnya.”
[TQS az-Zukhruf [43]: 70-71]
Rumah tangga yang dibentuk bukan sebarangan rumah tangga,
melainkan rumah tangga yang akan membawa ke syurga. Inilah
perkara yang sentiasa diingati ketika berhadapan dengan sebarang
masalah. Dengan demikian, seandainya dilanda ujian didalam
sebuah rumah tangga, pasangan itu akan saling berganding bahu
mencari jalan penyelesaian dan tidak hanya mementingkan
kemaslahatan diri sendiri.. Penyelesaian dan hukum yang diambil
dalam menyelesaikan masalah pula sentiasa disandarkan kepada
akidah dan syariat Islam.
Di antara permasalahan yang muncul dalam rumah
tangga adalah:
1.Perbezaan tahap pemahaman Islam antara
suami-isteri.
Adanya jurang pemahaman Islam antara suami-isteri akan
menyebabkan permasalahan dalam rumah tangga. Kerja-kerja dakwah
juga akan terganggu. Masalah ini perlu diselesaikan dengan cara
menyamakan tahap pemahaman. Caranya adalah berbincang; bukan
seperti seorang pemimpin dengan rakyat, tetapi perbincangan
antara dua sahabat yang dilandasi cinta dan kasih sayang. Jika
ia sukar untuk dilakukan, maka suami akan meminta dan mendorong
isterinya mengikuti proses pembinaan. Hal yang sama dilakukan
juga oleh isteri kepada suaminya. Rasulullah Sallallahu alaihi
wa Sallam. sering berbincang dengan isteri-isterinya.
2.Beban hidup berkeluarga.
Kezaliman penguasa seperti menaikkan harga barang telah
membebani segenap lapisan masyarakat termasuk keluarga pendukung
dakwah. Masalah ini akan dihadapi dengan penuh kesabaran oleh
sebuah keluarga Muslim. Mereka meyakini bahawasanya Allah Maha
Pemberi rezeki; Dialah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa sahaja
yang Dia kehendaki; Dia pula yang menyempitkan rezeki atas
sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Keluarga Muslim memandang
kaya atau miskin hanyalah sebagai satu dugaan dari Allah, Zat
Yang Maha Besar. Dengan pemikiran sebegini akan mendorong mereka
untuk semakin taat kepada Allah
Subhanahu wa Taala
sebagaimana firman Allah:
”Dan
Kami bahagi-bahagi mereka di dunia ini menjadi beberapa
golongan; diantaranya ada orang-orang yang soleh dan di
antaranya ada yang tidak demikian. Dan Kami uji mereka dengan
nikmat yang baik-baik dan bencana yang buruk-buruk, agar mereka
kembali kepada kebenaran.”[TQS
al-A‘raf [7]:168].
Demikian itu,suami akan terus berusaha mencari nafkah manakala
isteri juga tidak banyak menuntut. Janganlah kita beranggapan
Rasulullah hidup dipenuhi kesenangan. Sudah dimaklumi,
Rasulullah
Sallallahu Alaihi wa Sallam.
hidup dalam kemiskinan. Baginda dan keluarganya sering tidak
kenyang makan selama tiga hari berturut-turut. Keadaan ini di
alami sehingga baginda kembali ke rahmatullah [HR al-Bukhari dan
Muslim]. Namun, Baginda
Sallallahu Alaihi wa Sallam
dan isteri-isterinya tetap teguh dalam dakwah Islam.
3.Masalah dalam menentukan perkara atau kegiatan
yang menjadi keutamaan suami-isteri.
Sebagai contoh, adakala suami menghendaki supaya isterinya
mengasuh anak yang sakit, sementara isterinya lebih mengutamakan
untuk mendekati tokoh masyarakat atas tujuan dakwah. Ini akan
menyebabkan perselisihan terjadi. Sebenarnya, penentuan
keutamaan (al-awlawiyât)
mesti berpandukan kepada hukum syarak. Oleh sebab itu, penting
bagi suami dan isteri memahami tanggungjawab masing-masing
berdasarkan hukum syarak. Suami wajib memperlakukan isteri
dengan baik (maarûf),
memberi nafkah, mendidik isteri, menjaga kehormatan isteri dan
keluarga. Isteri berkewajipan untuk mentaati suami, menjaga
amanat sebagai
umm[un]
wa rabbah al-bayt(pengurus
rumah tangga), menjaga kehormatan dan harta suami, meminta izin
dari suami untuk keluar rumah bagi sebarang tujuan. Sementara
itu, kewajipan bersama suami-isteri adalah menjaga keimanan dan
ketakwaan ,memelihara ketaatan kepada Allah
Subhanahu wa Taala.,
menghindari maksiat, dan saling menasihati.
Pasangan suami-isteri perlu berusaha untuk saling bertolak-ansur
dalam menjalankan tanggung jawab masing-masing. Namun begitu,
seandainya terdapat suatu situasi dan keadaan tertentu di mana
berlaku pertindihan kepentingan antara peranan sebagai
umm[un] wa rabbah al-bayt
dan tugas dakwah, sedangkan kedua-duanya memang mustahil untuk
dilakukan serentak pada ketika itu, maka mengikut syarak
keutamaan yang mesti dilakukan adalah tanggungjawab sebagai
umm[un] wa rabbah al-bayt.
Prinsip Dakwah Sinergi
Terdapat beberapa permasalahan lain yang kadangkala muncul.
Namun, bagi setiap permasalahan yang dihadapi, inti pemecahan
penyelesaiannya adalah seperti berikut:
1.Mengetahui hak dan kewajipan masing-masing
serta hak dan kewajipan bersama,
serta berusaha untuk bertolak-ansur. Seandainya mustahil untuk
berkompromi, wajiblah kembali kepada penentuan keutamaan (awlawiyât)
berdasarkan hukum syarak.
2.Membina dan meningkatkan komunikasi serta
saling memahami.
Rasulullah
Sallallahu Alaihi wa Sallam
sentiasa berkomunikasi dengan Saidatina Khadijah
radhiallahu anha.
Baginda bersama isterinya berusaha bersama membincangkan masalah
dakwah. Bahkan, baginda meluangkan masa berkomunikasi dan
bersenda-gurau dengan isteri-isterinya setiap kali selepas solat
isyak. Setelah itu, barulah beliau menginap di tempat isteri
yang mendapat giliran. Nabi
Sallallahu Alaihi wa Sallam
menjadi teladan bahawa komunikasi merupakan satu persoalan
penting dalam rumah tangga. Berkomunikasi dalam rumah tangga
bukanlah semestinya tentang perkara yang serius sahaja tetapi
juga perkara-perkara urusan harian seperti melihat gambar
keluarga bersama, perihal makanan dan minuman dan sebagainya.
3.Saling memberi sokongan seperti kumpulan dakwah
kecil.
Sokongan keluarga terdekat; suami dan isteri, anak-anak,
ibubapa, dan orang-orang yang berada di sekitarnya; secara
langsung atau tidak, akan memberi pengaruh terhadap kejayaan
kumpulan dakwah keluarga. Beban rumah tangga, nafkah, dan dakwah
jelas sangat berat. Malahan akan menjadi lebih berat jika
suami/isteri atau keluarga tidak memahami kewajipan ini.
Sebaliknya, semua tugas akan terasa ringan dan menyenangkan,
perasaan penat akan segera hilang jika suami/isteri dan keluarga
memahami aktivitinya; menyokong apatah lagi sekiranya turut
sama-sama membantu. Suami dan isteri sama-sama memahami bahawa
aktiviti tersebut bukanlah untuk kepentingan diri, kerjaya,
ataupun untuk persaingan antara suami-isteri. Keduanya akan
saling tolong-menolong dalam beribadah kepada Allah dan
berlumba-lumba dalam kebaikan. Dengan begitu, akan tercipta
sebuah keluarga yang harmoni,
sakinah, mawaddah wa rahmah.
Bagi Muslimah solehah, seberat mana pun beban yang mesti
ditunaikan terasa ringan jika sokongan dan redha suami sentiasa
bersama. Begitu juga, seorang suami soleh akan tetap tersenyum
bahagia jika isterinya solehah dan menyokong dakwahnya. Di
sinilah pentingnya suami-isteri saling memberi sokongan dalam
menunaikan kewajipan dakwah Allah
Azza wa Jalla.
Adalah perlu bagi
para suami menjadi seperti Nabi
Sallallahu alaihi wa Sallam.
dan para sahabat. Begitu juga perlunya para isteri menjadi
laksana ummul mukminin dan para sahabiyyah yang secara harmoni
berjuang bersama pasangan mereka dalam memperjuangkan Islam.
4.Pentingnya ukhwah sesama pendukung dakwah.
Dakwah tidak mungkin dilakukan secara individu. Dakwah berjemaah
adalah suatu kemestian. Ukhwah di antara pembawa dakwah akan
terus terpelihara selama mana mereka berinteraksi antara satu
sama lain. Dengan begitu, mereka akan saling mengenali, saling
memahami, dan saling membantu. Masing-masing memahami karakter,
kemampuan, permasalahan, kekurangan, serta apa yang diperlukan.
Tidak akan ada tugas yang diberikan di luar kemampuan seseorang
atau membuat dia lalai terhadap kewajipannya yang lain.
Seandainya terdapat kekurangan pada individu pengembang dakwah
mereka tidak terus dipersalahkan, tetapi akan diteliti penyebab
permasalahannya dan dicari penyelesaiannya. Sebuah jemaah dakwah
ibarat roda yang berputar. Masing-masing bertanggungjawab
memainkan peranan diri; adakala berada di bawah adakala pula di
atas.Demikian halnya dengan seorang pembawa dakwah. Ketika dia
sedang menghadapi masalah, keadaannya ibarat berada di bahagian
bawah roda. Saudaranya cepat bertindak untuk membantunya. Jika
ini terjadi maka sebuah keluarga pengembang dakwah yang sedang
menghadapi masalah akan diringankan oleh saudaranya dari
keluarga lain.
Riwayat Keluarga Teladan
Keluarga Nabi
Sallallahu Alaihi wa Sallam.
adalah keluarga sakinah penegak syariah. Baginda sebagai seorang
suami sering bergurau, berbuat makruf, dan lembut terhadap
isterinya. Baginda merupakan seorang Rasul yang memperjuangkan
Islam dan. salah seorang isterinya, Saidatina Khadijah
radhiallahu anha,
adalah penyokong utama dakwah baginda. Beliau(Khadijah), adalah
orang yang pertama beriman dengan ajarannya (Sallallahu
Alaihi wa Sallam)
serta membiayai hampir seluruh dakwahnya. Namun demikian,
Khadijah
radiallahu anha
tetap merendah diri, berakhlak mulia, dan menjaga kesuciannya.
Beliau juga menjadi ibu yang baik bagi anak-anaknya serta tetap
menghormati dan mentaati Rasulullah
Sallallahu Alaihi wa
Sallam.
sebagai suaminya. Dari ibu mulia inilah lahirnya perempuan
mulia; Fatimah az-Zahra. Hidup beliau dilalui dengan penuh
kesetiaan dan kebajikan sebagaimana yang semestinya dilakukan
oleh seorang isteri kepada suaminya. Beliau mendampingi
Rasulullah dalam suka dan duka perjuangan (Lihat: Akhmad Khalil
Jam’ah, Perempuan Yang Dijamin Syurga, Darul Falah, Jakarta,
2002, hlm. 16). Saidatina Khadijah sentiasa menenangkan
ketakutan Nabi
Sallallahu Alaihi wa Sallam.
Begitu jelas, keluarga beliau adalah keluarga sakinah yang
berjuang, atau keluarga pejuang yang sakinah.
.
Riwayat seperti ini juga dapat dilihat pada keluarga Yasir bin
Amir bin Malik. Dia bersama isterinya Sumayyah binti Khubath
radhiallahu anha
dan anaknya Amar bin Yasir, termasuk tujuh orang pertama yang
memeluk Islam. Pasangan suami-isteri tersebut berhasil mendidik
anaknya menjadi soleh. Sang suami amat sayang kepada isteri dan
anaknya. Semasa hayatnya, Sumayyah dikenali sebagai seorang
isteri yang baik, berbakti, dan mengabdi kepada suaminya. Beliau
sentiasa disisi suaminya dalam suka dan duka. Mereka bukan hanya
sebagai keluarga sakinah, malahan juga mempertaruhkan nyawanya
demi melawan musuh-musuh Islam. Jelas, mereka adalah keluarga
sakinah penegak Islam.
.
Contoh lain adalah keluarga Abu Thalhah. Beliau adalah seorang
pejuang dan sahabat karib Nabi
Sallallahu
Alaihi wa Sallam.
Isterinya bernama Ummu Sulaim binti Milhan
radiallahu anha.
Dia adalah seorang perempuan Anshar dan tergolong sebagai
sahabiyah yang utama. Ilmu, pemahaman, keberanian, kemurahan
hati, kesucian, dan keikhlasan hanya untuk Allah dan Rasul
terkumpul dalam dirinya. Mereka menjadi ayah dan ibu tauladan
dengan mendidik anak yang hebat seperti Anas bin Malik yang
banyak meriwayatkan hadis. Hubungan mereka sebagai suami-isteri
juga mesra. Ummu Sulaim sentiasa menyediakan makanan dan
minuman, berdandan cantik, bercakap dan bersenda gurau dengan
suaminya. Sememangnya keluarga mereka bukan hanya pembela
Rasullullah bahkan juga sebuah keluarga sakinah.
Terdapat banyak lagi contoh-contoh riwayat keluarga sahabat yang
dapat dijadikan teladan. Kesimpulannya, mereka menyatukan
peranan ayah/ibu dan anak, peranan suami-isteri, dan keluarga
sakinah, mawaddah wa rahmah, dengan perjuangan Islam. .
Wallâhu a‘lam bi ash-shawâb.