|
Tazkirah
Ketahui hikmah solat untuk tingkat khusyuk,
kerajinan
Ibadah
solat mengandungi pelbagai jenis hikmah dan rahsia. Hikmah dan
rahsia ini termasuklah didikan, asuhan, faedah, dan tujuan. Amat
tinggi nilainya terhadap orang yang melaksakannya.
Dengan mengetahui hikmah
yang terdapat dalam solat, kita akan berasa begitu bertuah dan
bahagia sekali kerana dapat menerima kurniaan anugerah solat
daripada Allah s.w.t, yang merupakan ibadah yang cukup berharga.
Dengan itu kita akan
mencintai ibadah ini dengan sepenuh rela hati dan bukanlah dengan
perasaan berat atau merasakannya sebagai suatu bebanan.
Hikmah-hikmah yang
dimaksudkan ialah:
-
Mengingati Tuhan, pencipta alam;
-
Menghalang perbuatan keji dan mungkar;
-
Melahirkan ketenangan jiwa;
-
Mendidik akhlak mulia;
-
Menyucikan zahir dan batin;
-
Mengekalkan kesihatan tubuh badan;
-
Melatih disiplin diri;
-
Melahirkan semangat bersatu padu;
-
Meningkatkan taraf ekonomi;
-
Mendapat ilmu politik Islam; dan
-
Menjadi tanda kesyukuran dan keimanan.
Mengingati Tuhan,
pencipta alam
Ibadah solat akan mengingatkan seorang hamba kepada penciptanya,
Allah. Firman Allah s.w.t dalam surah Toha ayat 14 yang bermaksud,
Dan dirikanlah solat untuk
mengingati-Ku.
…
Ingatan kepada Allah ini
akan menimbulkan perasaan takut dan tunduk taat kepada-Nya dan juga
akan menimbulkan perasaan mengagung dan membesarkan-Nya dengan
sepenuh hati tanpa ada tandingan lagi.
Menghalang perbuatan
keji dan mungkar
Solat juga menjadi penghalang kepada perlakuan-perlakuan buruk dan
keji. Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud,
Dan dirikanlah solat.
Sesungguhnya solat itu mencegah dari angara keji dan perbuatan
durjana, dan sesungguhnya mengingati Allah itu adalah lebih besar (faedah
dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahi apa yang kamu kerjakan.
Dengan mengadap Allah
sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam akan menimbulkan rasa
kehebatan, kebesaran dan keagungan Allah serta merasa gerun dan
takut terhadap kemurkaan-Nya. Hal ini sudah cukup untuk menjadi
pengawal kepada segala kejahatan dan pencegah semua jenis
kemungkaran.
Melahirkan
ketenangan jiwa
Selain itu, ibadah ini mampu melahirkan ketenangan jiwa,
ketenteraman fikiran, hati yang tabah, damai lagi pemurah. Firman
Allah dalam surah Al-Maarij ayat 19 hingga 23 yang bermaksud,
Sesungguhnya manusia itu
diciptakan bertabiat keluh kesah (lagi kikir). Apabila dia ditimpa
kesusahan, dia sangat berkeluh kesah, dan apabila dia beroleh
kesenangan, dia amat kikir, kecuali orang-orang yang bersolat, yang
adalah mereka itu terus berkekalan melaksanakan solat mereka itu.
Sabda Nabi s.a.w yang
bermaksud,
Dijadikan penyenang mata (hati)ku
dalam solat
(Hadith Riwayat Ahmad, an-Nasai, al-Hakim dan al-Baihaqi daripada
Anas bin Malik).
Mendidik akhlak
mulia
Perbuatan dan bacaan dalam solat mampu mendidik dan mengasuh
seseorang untuk berakhlak mulia seperti ikhlas, bersopan santun,
baik tutur kata, dan menjaga maruah diri.
Akhlak sebegini secara tidak
langsung memberi rasa malu kepada seseorang itu untuk mendedah aurat
di khalayak ramai.
Dengan demikian akan
menghasilkan insan yang berperibadi lurus, merendah diri, tidak
angkuh, tidak sombong, mesra, harmoni, taat dan mempunyai
sifat-sifat mulia yang lain.
Menyucikan zahir dan
batin
Solat melatih diri seseorang supaya sentiasa besih zahir dan batin.
Suci dari kekotoran luaran dan suci dari kekotoran dalaman seperti
khianat, riak, ujub (sombong) dan lain-lain lagi.
Kemurnian jiwa raga itu
adalah diperolehi daripada pembersihan hati dari syirik khafi dan
jali serta kewajipan bersuci dari hadas dan najis.
Mengekalkan
kesihatan tubuh badan
Ibadah solat mementingkan penjagaan kebersihan. Ibadah ini juga
menghasilkan pergerakan tubuh badan.
Gabungan kebersihan dan
pergerakan boleh membantu mengekalkan kesihatan, melancarkan
perjalanan darah, dan juga menggerakkan serta menyegarkan urat saraf.
Hal ini dapat memberi kecergasan kepada tubuh badan.
Melatih disiplin
diri
Ibadah solat melatih kehidupan yang berdisiplin dan mengikut
peraturan melalui penjagaan waktu solat, berbaris dalam saf dan
kewajipan mengikut imam;
Melahirkan semangat
bersatu padu
Melalui solat berjemaah dan solat Jumaat, semangat perpaduan,
bekerjasama dan mahabbah dapat ditanam dan dipupuk.
Semangat sebegini menjadi
pemangkin kepada kelahiran sesebuah masyarakat yang kuat, maju,
bahagia dan damai.
Meningkatkan taraf
ekonomi
Secara tidak langsung, solat juga akan mengheret umat Islam supaya
berkecimpung dalam kegiatan-kegiatan ekonomi.
Dalam mendirikan ibadah
solat, kita diwajibkan menutup aurat. Kita menutup aurat dengan
menggunakan pakaian.
Penghasilan pakaian
memerlukan kepada penanaman kapas, penyediaan peralatan-peralatan
pertanian, kilang-kilang memproses kapas, dan sebagainya untuk
dijadikan kain.
Untuk meningkatkan
penghasilan pakaian misalnya, memerlukan emahiran, ilmu pengetahuan,
sains dan teknologi.
Begitu juga akan halnya
dengan peluang pekerjaan, peluang usahawan, yang mana sama-sama
menjadi aset kepada kemakmuran rakyat, kestabilan ekonomi umat
Islam, serta keutuhan negara.
Mendapat ilmu
politik Islam
Melalui kewajipan berjemaah dalam solat, umat Islam telah diajar
sistem politik pemerintahan Islam.
Dalam solat berjemaah,
makmum diwajibkan mengikut imam serta menegurnya apabila terlupa
atau tersalah.
Dalam sebuah negara pula
rakyat diwajibkan mentaati pemerintah tanpa boleh menderhakainya
selagi tidak melanggar perintah Allah.
Menurut didikan berjemaah
rakyat hendaklah menegur dan mengkritik secara membina terhadap
pemerintah apabila terdapat penyelewengan atau kesilapan di dalam
pemerintahannya.
Sementara di pihak
pemerintah pula wajib menerima teguran dengan bijaksana daripada
rakyat, tidak boleh bersifat diktator dan kuku besi.
Sekiranya hikmah solat
diamalkan oleh kedua-dua belah pihak, saya percaya tidak akan timbul
sebarang tentangan, pemberontakan dan huru hara.
Dengan demikian barulah akan
tercapailah hasrat untuk mewujudkan sebuah negara yang disebut oleh
Allah dalam surah Saba’ ayat 15 yang bermaksud,
Negara yang baik dan (direstui
oleh) Tuhan yang Maha Pengampun.
…
Menjadi tanda
kesyukuran dan keimanan
Solat adalah tanda kesyukuran dan tanda keimanan kepada Allah. Sabda
Nabi s.a.w yang bermaksud,
Setiap sesuatu itu ada
tandanya, dan tanda iman itu ialah solat.
…
Kesimpulan
Banyak lagi hikmah-hikmah yang terkandung dalam ibadah solat, sama
ada yang dapat kita ketahui atau pun tidak.
Cukuplah dengan apa yang
telah disebutkan itu untuk menjadi rangsangan kepada kita agar
mencintai ibadah solat.
Penutup
Matlamat hikmah solat tersebut tidak akan terhasil sekiranya
seseorang yang mengerjakan solat itu tidak mengerti, tidak memahami
dan tidak berusaha berusaha bersungguh-sungguh untuk menghayati dan
merealisasikan hikmah ini dalam kehidupan.
Akibatnya jadilah solat
sebagaimana yang telah disabdakan oleh Nabi s.a.w yang bermaksud,
Betapa ramai orang yang
mendirikan solat (tetapi) habuan dari solatnya hanyalah penat lelah
dan letih lesu jua
(Hadith riwayat an-Nasai).
Sabdanya lagi yang bermaksud,
Sesiapa yang solatnya tidak
dapat menghalangnya dari mengerjakan perbuatan keji dan mungkar, (bererti)
dia bukan bertambah (dekat) dengan Allah melainkan dia semakin
bertambah jauh (daripada Allah)
(Hadith riwayat Ali bin Mabad dan juga at-Tabrani).
Itulah di antara
hikmah-hikmah dan rahsia-rahsia solat. Semoga dengan mengetahui dan
mengerti hikmah dan rahsia solat, akan membuatkan kita bertambah
cinta terhadap ibadah ini dengan taufiq, hidayah dan inayah Allah
s.w.t, dan seterusnya akan menjadikan kita khusyuk dalam
menunaikannya.
Dengan itu insya-Allah kita
akan termasuk dalam golongan yang telah disebutkan oleh Allah s.w.t
dalam firman-Nya yang bermaksud,
Sesungguhnya beruntunglah
orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam
solat mereka
(Surah Al-Mukminun ayat 1 dan 2).
Dan juga satu lagi
firman-Nya yang bermaksud,
Maka dirikanlah solat (yang
menjadi tiang agama), sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan
yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu
waktunya
(Surah An-Nisa’ ayat 103).
Rujukan: Kitab Fiqh Solah
Wallahu a’lam.
Himpunan dari
http://soleh.net/ |