|
Tazkirah
Kewajipan Bukan Pada Menyayangi Mereka
“Beruntunglah si anak yatim,” saya berbual dengan
seorang
apprentice yangberkunjung
ke rumah.
“Kenapa pula untung ustaz?” beliau nampak sedikit
terkejut dengan kenyataan saya.
“Masakantidak beruntung, derita hidup tidak beribu
dan bapa, terlalu kecil berbanding hukuman Allah ke atas anak
durhaka!” saya menjawab.
Beliau diam seketika.
“Maksud ustaz, lebih beruntung hidup tanpa ibu bapa?”
tanyanya.
“Anak-anak beruntung ada ibu bapa. Tetapi ibu bapa
belum tentu beruntung dikurniakan anak-anak.
Hari ini ramai anak benci dengan ibu bapa sendiri,”
saya menyambung perbualan.

Memang benar.
Saya sudah jadi mangli
dengan fenomena anak durhaka. Anak yang memusuhi ibu bapa. Anak yang
mengkritik ibu bapa. Anak yang menyakiti ibu bapa.
Tanda-tanda kiamat barangkali.

“Apabila seorang perempuan melahirkan tuannya sendiri”
(Petikan Hadith ‘Jibril’)
BIBIT
KEMARAHAN
Pengamatan saya, memperlihatkan bahawa anak-anak mula
menimbulkan bibit benci atau sekurang-kurangnya tidak berpuas hati
dengan ibu bapa sendiri, semasa mereka menempuh beberapa fasa
kehidupan.
Seorang bapa, mungkin garangnya hingga tampar dan
jentik menjadi makanan harian seorang anak. Di sepanjang masa, anak
menerima hakikat bahawa bapanya adalah seorang yang garang. Lalu dia
sentiasa berusaha untuk mengelak daripada ‘buat masalah’ dengan bapa
yang garang itu.
Tetapi untuk membenci bapa, tidak terlintas di hati
dan kepala.
Fasa pertama yang sering menimbulkan rasa benci serta
marah anak kepada ibu bapa ialah apabila anak-anak mula meningkat
usia, bersekolah dan memulakan tabiat berkunjung ke rumah
kawan-kawan malah bermalam di sana. Pada usia inilah anak mula
terdedah kepada contoh-contoh lain tentang bagaimana ’sepatutnya’
seorang yang bergelar ibu juga bapa. Anak-anak mula membandingkan
ibu bapanya sendiri, dengan ibu bapa kawan.
Rasa takut terhadap kegarangan bapa dan ibu, mula
berubah menjadi benci.
Fasa kedua pula ialah apabila berumahtangga.
Dalam sesetengah keadaan, ada ibu atau bapa yang
melebihkan anak mereka sendiri berbanding menantu. Tetapi ramai juga
menantu yang ‘bertuah’ mendapat mertua yang baik-baik, namun mereka
mula secara tidak sedar menyemai suatu fikiran yang jelek bahawa ibu
bapaku tidak sebaik mertua.
Perbandingan-perbandingan inilah yang menyemai bibit
benci dan rasa tidak puas hati si anak kepada ibu bapa mereka
sendiri.
SEBURUK MANA PUN MEREKA
Seburuk mana pun ibu bapa kita, janganlah sekali-kali
kita lupa pada kebaikan mereka semasa kita belum ada upaya menyimpan
ingatan.
Kita menumpang duduk 9 bulan di perut seorang
perempuan.
Alam itu digelar Alam Rahim. Alam kasih sayang dan
alam belas kasihan. Jika tiada sekelumit sayang di naluri seorang
ibu, nescaya dibuang sahaja isi perut itu di tandas, di longkang, di
tong sampah atau di mana sahaja.
Kerana secebis belas dan ihsan itulah, kita lahir ke
dunia.
Lupakah (memang tidak ingat), semasa kita kecil, kita
menjerit sesuka hati, memalukan ibu bapa di tengah kenduri? Kita
pecahkan pinggan orang, kita curi barang orang, kita kencing dan
berak sesuka hati, kita demam tidak bermusim. Bukan kita seorang,
malah adik beradik yang lain.
Jika seorang ibu dan seorang bapa, tiada naluri kasih
sayang, patah riuk tulang kita dikerjakan mereka. Penat bekerja,
tidur entah di mana, bergolok gadai mencari bekal, apakah semuanya
semata-mata untuk membesarkan seorang pembenci?
Kita ada ramai kawan, tetapi kita hanya ada seorang
ibu dan seorang bapa. Busuk wangi, buruk dan baik, itulah ibu dan
itulah bapa.
Pernah suatu ketika, seorang lelaki datang kepada Abu
Darda’ radhiyallahu ‘anhu, memberitahunya bahawa ibu lelaki itu
menyuruhnya mentalakkan sang isteri. Lalu Abu Darda’ berkata, aku
telah mendengar bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam
pernah bersabda:

“Ibu bapa adalah pintu Syurga yang paling tengah.
Terserahlah kepada kamu sama ada mahu mensesia-siakan pintu itu atau
memeliharanya” (Hadith sahih riwayat Ahmad, al-Tirmidhi dan Ibn
Majah)
Biar pun sandaran dalil Abu Darda’ terhadap soalan
lelaki tersebut kepada hadith ini ada perbahasan ulama’ mengenainya,
namun persoalan yang terus kekal, Allah menyediakan pintu syurga
bukan di tangan kawan yang paling kamceng, atau kekasih yang sejati
itu.
Pintu masuk ke syurga yang paling utama, adalah pada
memenuhi hubungan kita dengan ibu, juga dengan bapa.
SALAH IBU
BAPA
Saya tidak nafikan, bahawa fenomena anak durhaka
adalah produk dosa ibu bapa. Kesalahan ibu bapa merupakan faktor
terbesar kepada keberhasilan anak durhaka. Malah sejak sekian lama,
kita kaum Melayu sudah disedarkan bahawa Sazali adalah produk
kesalahan si bapa menterjemahkan kasih sayang sebagai ‘beri semua
yang anak inginkan’.
Memang malang di dunia ini bukan malang kerana tidak
disayangi. Tetapi malang kerana gagal menyayangi. Sama ada tidak
sayang kepada anak-anak, atau menyayangi mereka dengan cara yang
salah.
Sudah terlalu biasa, ceramah saya tentang ibu bapa
terpaksa diubah suai. Menekan-nekan akan kepentingan anak
menghormati dan menjaga ibu bapa, menjadi sebuah sesi yang penuh
penyeksaan, kepada si anak yang membenci ibu bapa. Kebanyakannya,
adalah akibat sikap ibu bapa sendiri.
DI
PIHAK ANAK-ANAK
Tetapi anak-anak perlu sedar.
Allah SWT tidak mewajibkan seorang anak untuk
menyayangi ibu dan bapa!
Kasih sayang itu adalah perasaan yang mustahil boleh
dipaksa tanpa asasnya. Mana mungkin seorang anak yang dibuang,
diabai, disisih, dipinggir malah didera oleh ibu bapa, mampu untuk
membuta tuli memaksa diri menyayangi orang yang tidak menyayangi
mereka.
Sebaliknya Allah SWT meletakkan kewajipan kita
sebagai anak-anak, adalah pada berlaku ihsan, berbuat baik dan
menghormati ibu bapa. Ia bukan balasan kebaikan ibu bapa kepada
kita, tetapi ia adalah tanggungjawab dan kewajipan kita sebagai
anak, biar bagaimana sekali pun si ibu dan si bapa.
Baik kejam seorang bapa.
Biar cuai seorang ibu.
Mahu pun busuk seorang bapa.
Biar kafir atau sundal sekali pun seorang ibu.
Bukan anak yang bertindak menghukum mereka.
Segala dosa ibu bapa, kecuaian mereka, dan serba
serbi kesalahan dan kekurangan mereka, ibu bapa itulah yang akan
bersoal jawab dengan Allah tentang tanggungjawab dan peranan mereka
terhadap kita.
Namun bagi seorang anak, tugas kita adalah untuk
tetap menghormati, menjaga kebajikan, memelihara dan memenuhi
keperluan mereka tatkala mereka dalam hajat yang diwajarkan Syariat.
ANDAI TIADA
KASIH DAN SAYANG
Kewajipan si anak adalah pada mengekalkan perlakuan
baik terhadap ibu bapanya. Bukan bergantung kepada layanan ibu
bapanya dahulu, tetapi ialah adalah tanggungjawab anak sebagai
seorang anak yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.
Untuk menyayangi ibu bapa, terpulang kepada anda.
Namun…
Melaksanakan kewajipan tanpa nilai dan kasih sayang
adalah suatu beban. Berat tanggungjawab tanpa kasih sayang, adalah
maksud malangnya diri yang gagal menyayangi.
Suatu ketika Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu dan
beberapa orang sahabat melihat seorang perempuan mendukung seorang
lelaki tua. Lalu beliau bertanya kepada perempuan itu, “apakah
perihalnya kamu ini?”
Perempuan itu menjawab, “yang kudukung ini adalah
ayahku. Dia sudah tua (nyanyuk) dan mahu bermain denganku”
Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu teruja dengan
kejadian itu lalu berkata, “wahai sahabat, lihatlah perempuan ini.
Beliau telah menunaikan hak bapanya ke atas dirinya”
Perempuan itu membalas, “tidak ya Amir al-Mu’minin.
Aku belum menunaikan hak bapaku ke atas diriku. Semasa dia menjagaku
ketika aku kecil, dia mendoakan panjang umurku. Tetapi semasa aku
menjaganya ketika dia tua, aku tertanya-tanya bilakah orang tua ini
akan mati!”
Binasalah si anak yang lupakan peringatan ini! |