|
Tazkirah

Mendidik Anak Untuk Hari Tua Atau Untuk
Tuhan?
Bagi
kebanyakan manusia, termasuk orang
Melayu,anak-anak yang masih kecil
dianggap sebagai cahaya mata,
belahan hati, penawar jiwa, intan
payung dan macam-macam lagi. Sangat
disayang dan dimanjakan.Apabila
besar sikit, disediakan anak-anak
itu untuk menghadapi tuntutan hidup.
Diberi pelajaran dan kemahiran
setinggi-tingginya supaya apabila
besar nanti dapat kerja, dapat
jawatan dan dapat gaji lumayan.
Mereka rasakan itulah tanggungjawab
mereka terhadap anak-anak. Mereka
mahukan anak-anak mereka berjaya dan
senang dalam hidup.
Kadang-kadang terselit juga di hati
ibu ayah, kalau-kalau anak-anak
sudah besar dan berjaya, maka akan
senanglah hidup ibu ayah. Anak-anak
akan membantu dan membela mereka.
Anak-anaklah menjadi tempat mereka
bergantung apabila tua kelak.
Anak-anaklah yang menjamin masa
depan mereka. Mereka bersandar
kepada anak-anak mereka untuk hari
tua.
Memang anak-anak patut membela dan
berkhidmat kepada ibu ayah setelah
mereka tua. Ini tuntutan fitrah. Ini
juga tuntutan agama. Tuhan pun
memang hendak begitu. Tetapi
patutkah ibu ayah mendidik anak-anak
untuk tujuan ini semata-mata.
Patutkah ibu ayah mendidik anak-anak
untuk kepentingan diri mereka
sendiri? Patutkah anak-anak itu
dianggap sebagai satu pelaburan
untuk kebaikan dan kesenangan masa
depan ibu ayah? Kalau begitu,
anak-anak tidak ubah sebagai haiwan
ternakan. Dibela, diternak supaya
akan dapat merasakan untung dan
hasilnya satu hari nanti. Kalau
begitu mendidik anak tak ubah
seperti satu usaha komersial atau
satu penanaman modal atau satu
kegiatan ekonomi.
Konsep ini perlu dikikis dan dibuang
jauh-jauh. Ia tersimpang dari
kehendak agama dan kehendak Tuhan.
Anak-anak itu adalah amanah Tuhan.
Mereka perlu dididik untuk Tuhan.
Mereka perlu dididik untuk mengenal,
mencintai dan takutkan Tuhan.Mereka
perlu dididik supaya menjadi hamba
Tuhan selepas itu menjadi khalifah
Tuhan dimuka bumi. Mereka perlu
dididik untuk mengabdi diri kepada
Tuhan dan menjadikan cinta agung
mereka. Mereka perlu dididik supaya
menjadi orang yang beriman dan
bertaqwa yang hidup mati mereka
hanyalah untuk Tuhan. Anak-anak itu
anugerah Tuhan. Oleh itu, kenalah
didik mereka untuk Tuhan.
Kalau ini dilakukan, barulah
anak-anak itu akan menjadi
orang-orang soleh yang berakhlak dan
berjasa. Orang yang beriman dan
bertaqwa sudah tentu akan berkhidmat
kepada Tuhannya dan sesama manusia,
lebih-lebih lagilah kepada kedua-dua
ibu dan ayah mereka. Soal anak-anak
menjaga dan membela ibu ayah mereka
akan terjadi dengan sendiri setelah
anak-anak itu menjadi hamba-hamba
yang beriman dan bertaqwa.
Apabila anak-anak dididik hanya
untuk mengejar dunia dan tidak untuk
mengenal, mencintai dan takut dengan
Tuhan, maka dunialah yang akan
menjadi matlamat hidup mereka.
Keinsanan mereka tidak akan terbina,
nafsu mereka akan menjadi rakus dan
segala sifat-sifat mazmumah yang
keji seperti tamak, haloba, hasad,
dengki, bakhil, pemarah dan
lain-lain yang bersarang dihati
mereka.
Mereka tidak akan mempedulikan halal
atau haram, hak atau batil, benar
atau salah, adil atau zalim, manusia
ataupun Tuhan. Kalau Tuhan pun
mereka tidak pedulikan, apakah
harapan mereka memperdulikan ibu
ayah mereka, jauh sekali untuk
membela dan berkhidmat kepada mereka.
Ibu ayah akan menjadi penghalang
untuk mereka mengejar dunia mereka.
Mereka akhirnya derhaka kepada ibu
dan ayah. Di Akhirat nanti anak-anak
ini akan menjadi orang yang muflis.
Mereka akan menentang dan menjadi
seteru kepada ibu ayah mereka.Mereka
akan menuntut hak yang tidak
diberikan kepada mereka. Mereka akan
menyalahkan ibu ayah mereka kerana
tidak mendidik mereka untuk Tuhan.
Ibu dan ayah yang tidak mendidik
anak-anak mereka untuk Tuhan pasti
akan rugi di dunia dan lebih-lebih
lagi di Akhirat. Di Akhirat nanti
anak yang mereka sayang itu akan
bertukar menjadi musuh.
Kalau anak-anak dididik untuk Tuhan
hingga mereka menjadi orang-orang
yang beriman dan bertaqwa mereka
akan menjadi aset kepada kedua ibu
ayah mereka. Mereka akan menjadi
aset di dunia dan aset di Akhirat.
Di dunia mereka akan berkhidmat dan
membela kedua ibu ayah mereka.
Apabila mati kedua ibu dan ayah,
anak seperti ini akan mendoakan
mereka. Doa mereka tidak terhijab.
Ibu dan ayah juga kan terus mendapat
pahala yang mengalir ke dalam kubur
hasil dari amalan soleh yang dibuat
oleh anak mereka di dunia berkat
dididkan dan ilmu yang telah mereka
curahkan kepada anak mereka itu.
Hadis ada menyebut:
" Bila mati anak Adam, akan
terputuslah segala amalannya kecuali
tiga perkara iaitu sedekah jariah
yang dibuatnya, ilmu yang
bermenafaat yang diajarnya dan
anaknya yang soleh."
Kita harus ingat bahawa anak kita
itu adalah hamba Tuhan. Tuhan lebih
berhak ke atasnya daripada kita.
Hanya Tuhan mengamanahkan dia kepada
kita. Oleh itu, kita perlu didik dia
untuk Tuhan, bukan untuk kita.
Anak kita hanya anak kita sementara
di dunia. Di Akhirat, dia bukan anak
kita lagi. Di Akhirat, anak tak
peduli ayah, anak tak peduli ibu.
Ibu ayah juga tak pedulikan anak.
Masing-masing sibuk dengan urusan
masing-masing. Setakat mana kita
mampu mendidik anak-anak kita untuk
Tuhan, setakat itulah manfaatnya
untuk diri kita.
Wallahualam
|