Mengapa Perlu Sangka Buruk ?
Hidup
kita tidak lekang dari disangka buruk dan menyangka buruk. Jika
diri terlibat, kunci menanganinya adalah beristighfar dan
taubat. Nabi s.a.w bersabda :-
كُلُّ
بن آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Ertinya : "Setiap anak
Adam itu ada kesilapan ( dosa) dan orang berdosa yang terbaik
adalah mereka yang bertaubat" (Riwayat At-Tirmidzi, no 2499,
4/659)
Sangka buruk ini sering berkait rapat dengan rasa hasad, dengki
atau cemburu. Ia amat-amat sukar dibuang namun wajiblah ia
dimasukkan dalam senarai utama yang perlu kita usaha hindarinya
sedaya upaya. Saya sendiri tidak bebas darinya. Namun atas dasar
nasihat menasihati saya tuliskan artikel ini agar kita sama-sama
mampu berusaha menjauhinya agar kehidupan kita akan lebih
diredhai oleh Allah.
Ia
bertepatan dengan apa yang disebut di dalam sebuah hadis
ثلاث
لازمات لأمتي : الطيرة ، والحسد ، وسوء الظن " . فقال رجل : ما
يذهبهن يا رسول الله ! ممن هو فيه ؟ قال : " إذا حسدت فاستغفر الله
، وإذا ظننت فلا تحقق ، وإذا تطيرت فامضه
Ertinya : Tiga perkara
lazim yang sukar dibuang oleh umatku : mengganggap sial, hasad
dengki dan bersangka buruk" lalu seorang lelaki bertanya : "apakah
yang boleh menghilangkannya wahai Rasulullah ?"
Jawab Nabi : Jika kamu
datang perasaan hasad dengki beristighfar lah kamu kepada Allah,
apabila kamu bersangka buruk, janganlah kamu membenarkan
sangkaan itu, dan apabila kamu menganggap sial belaku, abaikan
dan jangan endahkannya" ( At-Tabrani, no 3227, 3/228 ; Al-Haithami
: Dhoif kerana perawi bernama Ismail Bin Qais)
Terdapat sebuah lagi hadis yang mempunyai erti yang sama
dengannya iaitu :-
ثلاثة
لا يسلم منهن أحد : الطيرة ، والظن ، والحسد ، فإذا تطيرت فلا ترجع
، وإذا حسدت فلا تبغ ، وإذا ظننت فلا تحقق
Ertinya : Tiga perkara
yang tidak seorang Muslim pun dapat melepaskan diri darinya;
sial menyial, sangka buruk, hasad dengki; maka apabila kamu
berasa ada sial, jangan kamu pulang dan mengendahkannya, bila
kamu hasad, jangan melampau (hingga bertindak) , dan bila kamu
bersangka jangan kamu membenarkannya" ( Musannaf Abd Razzak :
Ibn Hajar : hadis mursal, Albani : Dhoif)
Al-Qaradawi
menerangkan maksud jangan kamu membenarkan sangkaan buruk itu
adalah dengan tidak berubahnya sikap dan pandangan kamu terhadap
orang yang disangka buruk itu. Jika itu tidak dikawal, bermakna
kamu sudah membenarkannya
SANGKA BURUK YANG
HARUS
Tidak
dinafikan ada beberapa jenis sangka buruk yang diperlukan demi
keselamatan diri. Ia juga dinamakan berhati-hati atau ‘hazar'.
Mudahnya, seperti pemandu kereta dikehendaki ‘bersangka buruk'
apabila melihat sebuah bas dan teksi di depan mereka akan
bersangka buruk ada kemungkinan kenderaan itu berhenti mengejut
kerana ingin mengambil penumpang atau menurunkan penumpang. Ia
jelas sangka buruk yang tidak berdosa.
Demikian juga dalam proses majikan ingin mengambil kakitangan
baru. Biasanya pihak majikan akan membuat survey rambang
dengan menghubungi beberapa orang yang yang mengenali calon,
bagi mendapatkan pandangan mereka berkenaan kemampuan dan
lain-lain informasi berguna berkaitan calon. Saya masih ingat,
saya pernah menerima Curriculum Vitae (CV) sewaktu
bertugas di institusi kewangan dahulu, CV calon ini cukup
menarik sekali.
Namun
mengikut prosedur, sebelum pihak kami memanggil interview, saya
perlu menghubungi seseorang yang diyakini mengenali si calon
untuk mendapatkan komen beliau, akhirnya kami tidak jadi
memanggilnya interview kerana rupanya calon tersebut mempunyai
masalah mental. Kami daptkan komen beberapa orang lagi demi
memastikan info yang diberi benar serta tidak berniat jahat.
Namun info yang sam a diperolehi.
SANGKA BURUK YANG
HARAM
Sangka buruk jenis haram dan berdosa ini biasanya didasari oleh
perasaan cemburu, hasad, dengki dan berniat ingin menjatuhkan
individu yang dijadikan sasarannya.
Sangka buruk jenis ini juga hakikatnya lahir dari jiwa dan minda
seseorang yang kotor. Ia adalah refleski dirinya yang kerap
bergelumang dengan kejahatan dan dosa. Atau dari jiwa yang tiada
ikhlas dalam membuat sesuatu perkara.
Justeru, dalam mindanya kerap tergambar mustahil ada seseorang
boleh berbuat atau bercakap baik kecuali mesti ada helah, agenda
kepentingan diri dan muslihat di sebalik. Ia berfikiran
demikian kerana demikianlah dirinya. Ia melihat orang lain
sepertinya.
JENIS PERTAMA : KERANA
ALIRAN POLITIK
Sangka buruk jenis pertama ini didasari oleh permusuhan politik
kepartian. Sangka buruk ini juga sangat popular di masa ini
terutamanya di zaman isu politik sentiasa hangat.
Memang benar, setiap orang politik kerap mempunyai agenda
disebalik segala tindakannya, biasanya adalah untuk kepentingan
masa depan politiknya. Namun tidak wajar dinafikan ada antara
mereka yang benar-benar berniat membantu dalam sesuatu
tindakannya.
Hasilnya, apabila ada saja seorang ahli politik PAS melakukan
satu tindakan yang patut dipuji pada zahirnya, akan wujud
sebahagian kumpulan dalam UMNO yang mentakwil apa yang tersirat
dan tujuan sebenar dari setiap tindakan baik yang dibuat,
sehinggalah ia AKAN dilihat jahat dan tidak layak mendapat
pujian, penghargaan dan terima kasih.
Demikian juga sebaliknya, apa sahaja tindakan politik yang baik
dibuat oleh pemimpin UMNO, akan sentiasa dilihat jahat oleh
sebahagian pihak pembangkang. Saya tidak kata semua, namun
saya kata ada sebahagian mereka.
Sebagai contoh apabila kerajaan Pak Lah mengumumkan pembayaran
Ex-Gratia kepada bekas-bekas hakim yang terlibat dalam kes 20
tahun lepas, maka ada yang tetap tidak mahu menghargai tindakan
itu lantas berkata :-
"Mengapa
baru sekarang? Nampak sangat ia dibuat dengan agenda tertentu"
Individu dalam kategori ini biasanya akan merasakan diri mereka
bijak, sukar diperdaya serta mampu melihat dari dimensi yang
luar biasa (kononnya).
Namun
jika ada pimpinan mereka atau rakan mereka yang melakukan
kesilapan yang terang-terang tersalah dan tidak boleh ditakwil
lagi, mereka akan bersangka baik pula demi membela segala
tindakan tersebut atas dasar maslahat katanya. Bagus, ia memang
satu sifat yang baik, tetapi boleh menjadi buruk jika tidak
betul cara kendaliannya.
Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia seolah-olah menjadikan
sangka buruk sebagai satu keperluan politik. Tatkala itu, dosa
menjadi mainan diri. Sangka baik pula adakalanya digunakan bukan
pada tempat yang sepatutnya sehingga menjadikan diri taksub
kepada team mereka.
JENIS KEDUA : KERANA
ALIRAN PEMIKIRAN DAN ANUTAN
Kali
ini ia didasari oleh aliran pemikiran pula. Manusia tidak boleh
lari dari perbezaan aliran pemikiran. Tidak perlulah dikesali
hal ini kerana ia satu hal yang normal. Namun yang dikesali
adalah permusuhan dahsyat antara satu kumpulan dengan yang lain.
Sebagai contohnya aliran Salafi, Wahabi, Khalafi, Pondok, Sufi,
Syiah Malaysia, Hizb Tahrir, Ahbash, Liberal, Hadari dan
lain-lain. Masing-masing kelihatan suka kalau pihak yang lain
dibenci sehabis mungkin, malah mungkin wujud mereka yang akan
sujud syukur jika pimpinan kumpulan sebelah sana meninggal dunia.
Tatkala itu sangka buruk sentiasa menjadi idaman dan ruh
perjuangan masing-masing. Jika ada sahaja tindakan yang baik
dilakukan oleh pimpinan atau ahli aliran yang bertentangan
dengan mereka. Akan ditakwilkan sejahatnya.
Sebagai contoh yang saya kira paling nyata adalah apa yang
berlaku kepada Mufti Perlis. Tiba-tiba Mufti Perlis semakin
berterus terang mengkritik beberapa dasar kerajaan yang kurang
tepat sebagai contohnya ISA. Akhirnya, pelbagai sangka buruk
timbul antaranya,
-
Kononnya ia bersifat demikian hanya selepas pilihanraya
8 Mac, iaitu setelah dilihat kerajaan lemah dan pakatan
rakyat kuat, lalu barulah dia bersuara untuk ‘membodek'
kerajaan pakatan rakyat untuk melantiknya pula.
-
Kononnya beliau berani kerana ingin memenangi hati
pemimpin pakatan rakyat kerana tempoh sebagai mufti di
Perlis sudah di penghujung.
-
"Mengapa sekarang baru nak kritik, mengapa tidak dari
dulu lagi, nampak sangat ada udang di sebalik batu.?!!"
Tempelak mereka.
Dan
macam-macam lagi.
Saya
kerap dengar komen "mengapa baru sekarang!!?" sebagai hujjah
untuk membidas segala kebaikan orang lain. Wajarkah komen
sebegini?
Saya
dan rakan-rakan pembaca juga tentu ada penglaman masing-masing
dalam hal ini.
Bila
saya sebut masalah hukum di dalam ASB, syubhat dan keraguan aqad
dalam MLM, pelaburan haram cepat kaya.. muncul orang marah lalu
berkata:-
"Mengapa
baru sekarang ustaz sibuk-sibuk, mengapa tak beritahu awal-awal
dulu, ni kami dah join lama dan untung ribu-ribu baru nak sibuk
kata haram, jangan dengki la ustaz. Mesti sebab ustaz ni ada
join skim lain dan sekarang dah rugi kot" Katanya.
Saya
menjadi pelik pula. Apa yang perlu dipertikaikan dengan sekarang
atau dulu, bukankah kekuatan, hidayah, ilmu dan kemampuan itu
baru tiba kini dan bukan dahulu. Justeru apa yang perlu
dipertikaikan.?
Bersyukur sahajalah jika ia membawa kebaikan. Sama juga dengan
keadaan kesihatan, dulu sihat, sekarang sakit, dulu kanak-kanak
sekarang dewasa dan lain-lain. Jadi apakah wajar kita beteriak
memarahi virus yang menghinggapi kita lalu berkata
"hei
virus, mengapa sekarang mahu kacau, mengapa tidak dulu!!. Lucu
juga memikirkannya.
Jawapan mengapa sekarang itu mudah saja, mungkin dahulu belum
cukup kajian dan ilmu, sekarang sudah..kerana itu baru bersuara
sekarang.
Mungkin dahulu ada gangguan, sekarang sudah berjaya diketepikan
lalu kerana itu baru bersuara sekarang.
Dulu,
mungkin belum terperasan kesilapan itu, sekarang baru sedar,
kerana itu baru tegur.
Justeru, mengapa masih ada juga ingin sangka buruk dalam hal
seperti ini?.
JENIS KETIGA :
PERTIKAI KEBAIKAN & KEIKHLASAN ORANG LAIN
Jenis
yang ketiga adalah hasil dari kesemua jenis di atas. Akibat
sudah mendarah dagingnya perangai dan tabiat itu menyebabkan
kehidupan seharian akan dipenuhi dengan sangka buruk dosa ini.
Saya
masih ingat di waktu heboh isu pelaburan internet skim cepat
kaya dahulu (Ketika itu, Majlis Fatwa Kebangsaan masih belum
memfatwakan haramnya skim ini). Ada individu menghantar link
satu forum kepada saya, forum itu membicarakan artikel saya yang
menyebut hukum skim haram.
Tiba-tiba mucul seorang former yang berkata :"puas aku fikir dan
cari di web zaharuddin ini, apakah niat sebenar si zaharuddin
ini sibuk-sibuk menulis isu ini dan menyusahkan kitorang, apa
yang dia hendak sebenarnya?"
"akhirnya
aku jumpa, rupanya dia nak jual vcd dia!!, hem tak respeklah aku
ust nak jual barang dia ni"
Begitulah lebih kurang ayatnya, demikian dahsyatnya manusia di
zaman ini. Otak dan mindanya sentiasa memikirkan kejahatan dan
muslihat di sebalik segala jenis kebaikan, baginya mustahil ada
orang sanggup bersusah payah tanpa ganjaran dan agenda DUNIA.
Ini
bolehlah saya kelaskan sebagai kumpulan orang sangka buruk jenis
ketiga yang wujud di dalam masyarakat kita.
Sebagai contoh lain.
Ada
yang menghantar sms, email atau melalui system sms 33221 (sistem
ini telah ditutup sementara waktu) bertanya sambil bersangka
buruk berkenaan orang di sekitarnya:-
a- "Ustaz
ada dengar tak slot Dr ..xxxxx pengasas ayam organik di radio
ikim. Cara cakapnya macam dia sorang yang halal, dan semua yang
tanda halal JAKIM tidak boleh pakai. Apa pandangan ustaz tentang
dakwaan Dr ini dan perjuangannya memartabatkan makanan yang
betul-betul halal kononnya tu?.. boleh caya ke. Nampak macam nak
perkayakan diri sendiri jer"
b- "PPIM
ni sebenarnya ustaz bukan nak perjuang isu kepenggunaan Islam,
mereka nak jual nama persatuan mereka, lepas ni senang nak dapat
budjet"
c- "Ustaz
ni dah buat tebiat apa? Dalam banyak-banyak urusan umat yang
begitu kritikal, sempat pula dia menulis buku cinta(n)!", simpul
seorang pemerhati jarak jauh. (petikan dari web saifulislam.com)
d- "eleh
ustaz-ustaz TV ni, hanya layak mendapat gelaran ‘pelawak' dari
penceramah, asyik buat lawak aja. Depa ni sebenarnya sedang jual
agamanya untuk popular di televisyen"
e- "Saya
benci dengan ustaz yang tak jelas parti apa ni, bagi saya mereka
ni munafiq dan hanya pentingkan perut mereka saja, kerana itu
tidak berani berterus terang"
f- "Kecewa
dengan ustaz. Mengapa ustaz tak aktif lagi dalam perjuangan
jemaah Islam, ustaz dah futur dan tergelincir dari
perjuangan dakwah ke?" Tanya seorang bersangka buruk kepada saya
melalui ruang komentar.
g-
Seorang isteri dinasihatkan oleh seorang penulis artikel bahawa
: "jika suami anda tiba-tiba baik, spoting, romantik, ketahuilah
sebenarnya ia ada benda jahat yang sedang disorokkan"
Banyak lagi contoh-contoh yang tidak larat saya kumpulkan, ia
cuma beberapa contoh betapa budaya sangka buruk berbaur dengki
dan hasad begitu meriah dalam masyarakat kita hari ini. Tidak
bolehkah kita bersangka baik terlebih dahulu. Semua punyai
peranannya, samada seseorang itu ikhlas atau tidak, itu bukan
urusan kita untuk bersangka buruuk mereka tidak ikhlas atau
punyai agenda lain.
Malah
jika mereka memang punyai agenda tetapi agenda yang halal, maka
TIADA salahnya. Selagi mana zahir tindakan mereka tadi adalah
baik SERTA menghasilkan kesan yang baik kepada masyarakat umum.
Kita wajar bersangka baik dan menyokongnya tanpa perlu
menghentam sambil menambah dosa dan menyubur kebencian di hati.
Allah swt mengingatkan :-
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ
إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ
Ertinya : Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan
dari sangkaan (supaya kamu tidak tergelincir ke dalam sangkaan
yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu
adalah dosa..." [Surah al-Hujurat, ayat 12]
Imam
Fakhruddin Ar-Razi menghuraikan :
الظن
ينبغي بعد اجتهاد تام ووثوق بالغ
Ertinya : "Sangkaan ini mestilah disokong oleh ijtihad ( usaha
bersungguh memastikan kebenarannya, dan penyelidikan yang dalam"
( Tafsir Ar-Razi, 28/115 )
Justeru, dalam hal mencari keikhlasan seseorang dalam sesuatu
teguran dan usaha baikknya, Islam tidak menyuruh kita menyelidik
hati seseorang. Hanya hal berkaitan zahir seperti jenayah,
kesalahan fizikal dan yang sepertinya sahaja memerlukan
penyelidikan yang disebutkan oleh imam Ar-Razi tadi.
Namun
begitu, kepada para pendakwah, teruskan usaha anda dengan cara
anda yang tersendiri.
Jangan dipedulikan hasad dan sangka buruk manusia lain yang
berhati busuk. Malah Nabi s.a.w sendiri juga pernah terkena
sangka buruk seorang lelaki sebagaimana dicatatkan dalam hadis
sohih berikut :-
قال
فَقَامَ رَجُلٌ غَائِرُ الْعَيْنَيْنِ مُشْرِفُ الْوَجْنَتَيْنِ
نَاشِزُ الْجَبْهَةِ كَثُّ اللِّحْيَةِ مَحْلُوقُ الرَّأْسِ
مُشَمَّرُ الْإِزَارِ فقال يا رَسُولَ اللَّهِ اتَّقِ اللَّهَ
قال وَيْلَكَ أو لست أَحَقَّ أَهْلِ الأرض أَنْ يَتَّقِيَ
اللَّهَ قال ثُمَّ وَلَّى الرَّجُلُ قال خَالِدُ بن الْوَلِيدِ
يا رَسُولَ اللَّهِ ألا أَضْرِبُ عُنُقَهُ قال لَا لَعَلَّهُ
أَنْ يَكُونَ يُصَلِّي فقال خَالِدٌ وَكَمْ من مُصَلٍّ يقول
بِلِسَانِهِ ما ليس في قَلْبِهِ قال رسول اللَّهِ إني لم
أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ
Ertinya : Berdiri
seorang lelaki yang matanya ke dalam, lebat janggutnya,
kepalanya tercukur lalu berkata :
"Wahai Rasulullah
bersikap takutlah kepada Allah" ( Sebagai tanda tidak puas hati
terhadap pembahagian yang dilakukan oleh Nabi),
Baginda menjawab : "Bukankah
aku sepatutnya ( sebagai Rasulullah ) orang yang paling takut
kepada Allah."
Lelaki itu terus
beredar dan Khalid Ibn Walid berkata
"Adakah perlu aku
memenggal kepalanya (kerana tidak taat kepada pembahagian yang
dilakukan oleh Nabi dan seolah-olah telah murtad) :
Baginda menjawab : "Tidak,
mungkin ia orang yang masih menunaikan solat".
Khalid berkata : "Berapa ramaikah yang menunaikan solat dan
lidahnya berkata sesuatu yang tidak sama dengan apa yang di
dalam hatinya (merujuk kepada orang munafiq)"
Baginda membalas :-
إني لم
أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ
Ertinya : "Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati
manusia (menjangkakan niat manusia lain) dan mengorek perut
mereka" ( Riwayat Al-Bukhari, no 4094, 4/1581 : Muslim, 2/742 )
Imam
An-Nawawi dan Ibn Hajar mentafsirkan kata-kata baginda ini
sebagai :-
إنما
أمرت أن آخذ بظواهر أمورهم والله يتولى السرائر
Ertinya : Aku hanya diperintahkan untuk mengambil kira luaran
urusan mereka sahaja manakala niat dan apa yang terselindung
adalah urusannya dengan Allah) (Syarah Sohih Muslim, 7/163; Fath
Al-Bari, 8/69 )
KESIMPULANNYA
Akhirnya, jauhilah sangka buruk yang sebahagiannya membawa dosa.
Dahulukan sangka baik di kalangan umat Islam selaras dengan
arahan Allah.
لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ
وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَذَا إِفْكٌ
مُّبِينٌ
Ertinya : Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu
orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik
terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: ""Ini
adalah suatu berita bohong yang nyata. ( An-Nur : 12 )
Banyakkanlah bersangka baik. Sebenarnya masih ada ramai orang
baik yang berbuat baik hanya kerana agenda akhirat semata-mata.
Janganlah dirasakan dunia ini sudah tiada yang ikhlas kerana
Allah. Mulakan dengan diri sendiri lalu anda akan mampu mencari
orang sepertinya.
Namun,
apa yang menyedihkan mereka yang kerap bersangka buruk kepada
kebaikkan ini suka pula bersangka baik kepada penganjur
skim-skim cepat kaya yang tumbuh dengan pelbagai nama dan lesen
hari ini. Sepatutnya anda perlu bersangka buruk lebih sedikit
dengan skim-skim sebegini. Ia dinamakan berhati-hati yang
sebenar.
Sekian