|
Tazkirah
Nasihat Rasul Kepada Para
Remaja
عَنِ
ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِىَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: كُنْتُ خَلْفَ النَّبِيِّ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فَقَالَ: يَـا غُلاَمٌ ،
اِحْفَظِ اللهَ يَحْفَظْكَ ، اِحْفَظِ اللهَ تَجِدْهُ تِجَـاهَكَ ،
وَإِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللهَ ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ
بِااللهِ ، وَاعْلَمْ أَنّ اْلأُمَّـةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ
يَنْفَعُوْكَ بِشَيْئٍ لَمْ يَنْفَعُوْكَ إِلاَّ بِشَيْئٍ قَدْ كَتَبَهُ
اللهُ لَكَ ، وَإِنِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْئٍ لَمْ
يَضُرُّوْكَ إِلاَّ بِشَيْئٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ عَلَيْكَ ، جَفَّتِ
اْلأَقْـلاَمُ وَطَوِيَتِ الصُّحُفُ .
(رَوَا
هُ التُّرْمُذِى وَقاَلَ: حَسَنٌ صَحِيْحٌ)
Dari Ibnu
Abbas RA, katanya: Pada suatu hari aku berada dibelakang Rasulullah
SAW (boncengan), lalu baginda bersabda: Wahai anak, peliharalah
Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya
(Dia) akan berada dihadapan kamu, dan jika engkau memohon maka
memohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka
mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya
umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu,
nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan
sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah, dan
sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan bencana
keatas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian
melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh
Allah. Dan telah diangkat segala pena dan telah kering segala buku.
(Hadis
Hasan Sahih Riwayat Iman Tarmidzi)
SYARAH AL HADIS :
Peliharalah
Allah, nescaya (Dia) akan memelihara kamu.
Maksudnya: Kita hendaklah
sentiasa memelihara hukum hakam Allah, hak Allah, perintah Allah dan
larangan Allah. Iaitu dengan mengerjakan suruhan-Nya dan menjauhi
larangan-Nya.
Amalan wajib yang paling
utama agar dipelihara ialah ibadah solat. Dan juga termasuk kedalam
makna pemeliharaan ini ialah kita mesti memelihara anggota badan
kita daripada melakukan perkara perkara haram. Dan diantara hadis
yang menyebut tentang pemeliharaan ini, ialah:
Ertinya: Barangsiapa
yang memelihara apa yang terdapat diantara dua janggutnya (iaitu
mulutnya) dan apa yang terdapat diantara dua kakinya (iaitu
kemaluannya) maka dia masuk syurga. (Hadis dari Abi Hurairah).
Ringkasnya, ada dua makna
yang dimaksudkan dengan memelihara Allah iaitu:
- Memelihara hukum hakam
yang berhubungan dengan amalan-amalan hati seperti keimanan (akidah),
keikhlasan, rasa takut, cinta, harap dan sebagainya. Begitu juga
seperti memelihara hati dari daripada segala jenis penyakitnya.
Maka memelihara amalan hati ini adalah lebih penting dari
memelihara amalan yang tidak bersangkutan dengan hati.
- Memelihara hukum hakam
yang bersangkutan dengan amalan anggota yanq zahir. Apakah
amalan itu membawa kepada kebaikan agamanya seperti solat,
menutup aurat dan sebagainya atau yang dapat membawa kepada
kebaikan dunianya iaitu muamalat atau aktibiti yang mendatangkan
faedah.
Peliharalah
Allah, nescaya kamu dapati Dia dihadapanmu:
Maksudnya: Jika kita
memelihara Allah sebagaimana maksud diatas maka dia bukan saja akan
mendapat pemeliharaan daripada Allah, malahan Allah akan berada
dihadapannya iaitu bersamanya dimana saja dia pergi. Allah akan
menolongnya, mengawalnya, memperkuatkan hatinya serta menunjukinya
ke jalan yang lurus. Orang yang mendapati Allah besertanya akan
selalu merasa tenang, gembira, kuat, dan tidak ada yang perlu
ditakuti.
Bukankah Allah telah
menguatkan semangat Musa dan Harun AS ketika mereka merasa takut
berhadapan dengan Firaun? Allah berfirman:
قَالَ لا تَخَافَا إِنَّنِي مَعَكُمَا أَسْمَعُ وَأَرَى (46)
Janganlah
kamu berdua takut, sesunqguhnya Aku bersama kamu berdoa Aku
Mendengan dan Melihat (Thaha: 46).
Bukankah Nabi Muhammad SAW
pernah menguatkan semangat Abu Bakar As Siddiq ketika beliau berdua
berada dalam gua Tsur? Firman Allah:
إِذْ
أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي
الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا
Ketika
orang orang kafir (mushrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah),
sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam
gua, di waktu ia berkata kepada temannya: " Jangan kamu berduka cita,
sesungguhnya Allah beserta kita. (At Taubah / 9 : 40).
Dan jika kamu
memohon maka memohonlah kepada Allah:
Maksudnya: Setelah kita
meyakini bahawa jika kita memelihara hukum hakam Allah nescaya Allah
akan sentiasa berada bersama kita dengan ilmunya, hidayahnya dan
pertolongannya. Maka sudah sewajarnyalah jika kita memohon sesuatu
hendaklah kita memohon kepada Allah yang Maha Dekat (Qarib) lagi
Maha Pemberi (Wahhab), bukan kepada yang lain.
Permohonan manusia kepada
Allah ada dua cara:
- Melalui lisan.
Mengungkapkan isi kandungan hati melalui lidah dengan penuh
khusyuk dan merendah diri (tawadhu') dihadapan Allah yang Maha
Kaya lagi Maha Berkuasa.
- Melalui amalan. Apa
saja amalan yang dilakukan, apakah sebagai pedagang, dokter,
pekerja kilang, menuntut ilmu, hendaklah mereka sentiasa ingat
kepada hukum hakam Allah ketika melaksanakan tugas masing masing
sambil mengharap kiranya pekerjaan tersebut dapat membawa
kebaikan baginya pada masa hadapan.
Dan jika kamu
meminta pertolongan maka mintalah kepada Allah.
Kandungan nasihat ini
mengandungi dua pengajaran:
- Mengingatkan umat
manusia bahawa mereka adalah makhluk yang lemah, kuasa mereka
sangat terbatas, mereka tidak akan dapat mencapai apa yang
mereka hajatkan tanpa bantuan pihak yang lain.
- Mengingatkan umat
manusia betapa kuasa Allah yang tiada tara dan batasannya.
Segala penghuni langit dan bumi tunduk kepada ketentuan-Nya.
Jadi atas dasar inilah maka manusia mestilah memohon sesuatu
hanya kepada Allah. Kecuali dalam hal-hal biasa yang termampu
dikerjakan oleh manusia, seperti mengangkat suatu barang,
meminjam sesuatu dan lain-lain. Namun demikian kita juga mesti
memohon kepada Allah agar dipermudah jalan untuk mendapatkannya.
Selain itu juga wajib
diketahui bahawa memohon pertolongan kepada Allah atau berdoa
kepada-Nya mestilah secara langsung secara terus menerus kepada-Nya,
tidak melalui sembarang perantaraan atau wasitah dari manusia atau
lainnya.
Tidak ada orang
yang dapat memberi manfaat dan mudarat tanpa izin Allah:
Rasul saw. menerangkan
kepada Ibnu Abbas RA bahawa sekiranya sekalian umat atau makhluk
berkumpulan dan bersatu untuk memberi manfaat kepadanya ataupun
sebaliknya mereka bersatu dan berkumpul untuk mendatangkan mudarat
kepadanya, namun semua itu tidak mungkin akan terjadi kecuali apa
yang telah dituliskan untuknya di Luh Mahfudz sejak azali.
Oleh sebab itu kita tidak
seharusnya terlalu gembira atau berduka terhadap sesuatu yang
dilakukan oleh orang lain terhadap diri kita. Kerana kita yakin
bahawa segala-galanya adalah di dalam ketentuan Allah. Kalau di
dalam ketentuannya tidak ada keputusan untuk memberikan sesuatu
kepadanya, nescaya dia pasti tidak akan dapat memperolehinya
walaupun seluruh makhluk bersatu berusaha untuk menolongnya.
Demikian sebaliknya kalau ditentukan bahawa ia akan mendapatkannya,
walaupun seribu halangan, pasti ia akan memperolehinya juga.
Allah berfirman:
وَإِنْ يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلاَّ هُوَ
وَإِنْ يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلاَ رَادَّ لِفَضْلِهِ يُصِيبُ بِهِ مَنْ
يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ (107)
Dan jika
Allah kenakan bahaya kepada engkau maka tidak ada yang dapat
melepaskannya melainkan Dia. Dan jika dia mahukan kebaikan kepada
engkau maka tidak ada yang dapat menolak kurnianya itu. (Yunus: 107)
KESIMPULAN:
Walaupun pada asalnya
nasihat ini untuk Ibnu Abbas yang ketika itu masih muda remaja,
namun prinsip pengajaran yang dikandung hadis ini adalah umum yang
juga berguna untuk orang yang telah dewasa atau tua.
Memelihara Allah bererti
memelihara agamanya. Memelihara agama bererti menjadi orang yang
menuruti hukumnya dan mengikuti peraturannya. Dan itu tidak mungkin
dapat dilakukan tanpa amal bakti, usaha dan ikhtiar. Melaksanakan
suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya.
Para remaja hari ini
terdedah dengan bermacaam pengaruh negatif. Sungguh banyak
dikalangan mereka yang jatuh kelembah kehinaan. Mereka sebenarnya
boleh mendapat pemeliharaan Allah. Tetapi bagaimana mereka akan
mendapat pemeliharaan Allah kalau mereka sendiri tidak berusaha
memelihara Allah?
Setiap orang tua mesti
berusaha untuk memberi kefahaman tentang konsep yang terkandung
dalam hadis ini kepada anak-anak mereka. Jika mereka dapat memahami
dan mengamalkan konsep ini, selain tugas orang tua akan menjadi
lebih ringan dan juga insya Allah para remaja mereka akan selamat di
dunia dan di akhirat.
|