|
SETIAP penyakit yang didatangkan Allah
kepada kita umat Islam semuanya adalah ujian terhadap
keimanan kita kepada-Nya. Ujian itu sama ada besar atau
kecil bertujuan menghapuskan dosa jika kita bersabar.
Semua penyakit yang didatangkan Allah mempunyai ubat
kecuali penyakit tua dan mati atau sampai ajal seseorang.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mereka bertanya:
Ya Rasulullah, apakah kami berubat? Baginda menjawab; Ya
Wahai hamba Allah, sesungguhnya Allah meletakkan
penyakit dan diletakkan pula penyembuhannya, kecuali
satu penyakit iaitu penyakit ketuaan." (Riwayat Abu
Sunnah)
Sementara itu, Allah juga memberi ganjaran kepada orang
yang menziarahi orang sakit. Daripada Thauban, Nabi SAW
bersabda yang bermaksud: "Orang yang menziarahi orang
sakit sentiasa berpeluang 'memungut' ganjaran dari
syurga sehinggalah ia pulang." (Hadis riwayat Muslim)
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: "Barang siapa mengunjungi orang sakit atau
menziarahi saudaranya yang seagama, maka memanggil akan
dia oleh malaikat: Baik engkau dan baik perjalanan
engkau dan sesungguhnya engkau telah menempatkan dalam
syurga suatu tempat yang baik."
Dalam keadaan pesakit terlantar di katil hospital atau
rumah, mereka akan rasa dihormati jika ada saudaranya,
kaum kerabatnya dan kawan serta kenalannya datang
menziarah. Kunjungan itu akan mengurangkan bebanan
perasaan serta mengurangkan rasa sakitnya.
Tetapi seandainya tidak ada keluarga dan kawan
menziarahi, dia akan berasa terasing, sedih dan pilu.
Ini akan menambahkan lagi bebanan rasa sakitnya. Oleh
itu, menziarahi orang sakit sangat digalakkan oleh
Islam.
Cegahlah segala penyakit, sebab itu lebih utama daripada
mengubatinya. Dalam kehidupan umat Islam, sesudah nikmat
iman, tidak ada pemberian Allah yang lebih baik daripada
nikmat kesihatan.
Oleh itu, jika menghidap penyakit segeralah diubati
supaya tidak melarat dan mendatangkan lebih banyak
mudarat.
Jangan sesekali meminta kepada orang biasa atau dukun
pengamal mistik yang mengaku mempunyai ilmu ghaib.
Barang siapa mendatangi mereka maka Allah tidak akan
menerima sembahyangnya selama 40 hari.
Sementara itu, jangan berubat dengan benda haram,
misalnya alkohol, binatang atau benda lain yang
diharamkan Allah kerana Allah yang menciptakan penyakit
tidak menjadikan yang haram sebagai penyembuh.
Uthman bin Abu al-Ass mengadu kepada Rasulullah SAW akan
kesakitan dirasai pada jasadnya sejak ia memeluk Islam,
lalu Rasulullah SAW bersabda kepadanya: "Letakkan tangan
engkau pada bahagian jasad yang engkau merasai sakit dan
katakanlah: Dengan nama Allah, sebanyak tiga kali,
kemudian katakanlah sebanyak tujuh kali: Aku mohon
berlindung dengan Allah dan kekuasaan-Nya daripada
keburukan yang aku dapat dan aku berwaspada." (Hadis
riwayat Muslim)
Sementara itu, Rasulullah SAW juga mengajar doa
menziarahi orang sakit. Daripada Ibnu Abbas, Nabi SAW
bersabda yang bermaksud: "Orang yang menziarahi pesakit
yang belum tiba saat kematiannya, lalu ia berkata di
sisinya, sebanyak tujuh kali: Aku bermohon kepada Allah
Yang Maha Besar, Tuhan 'Arasy yang Agung, agar
menyembuhkan engkau. Nescaya Allah akan menyelamatkannya
daripada penyakit itu." (Hadis riwayat Abu Daud)
Jelaslah sakit dan penyakit adalah ujian Tuhan kepada
hambanya. Setiap orang akan merasa sakit sama ada sakit
berat atau ringan. Setiap penyakit ada ubatnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah tidak
menurunkan suatu penyakit melainkan Allah menurunkan
penyembuhan untuknya." (Hadis riwayat al-Bukhari)
Apabila anda sedang sakit, bersabar dan bertawakal
sambil berikhtiar untuk berubat. Penyakit datang dengan
tiba-tiba, sedangkan penyembuhannya memerlukan waktu
yang lama. Harus diingat, doktor hanya mampu mengubati
sedangkan yang menyembuhkan adalah Allah.
Bagi mengelakkan penyakit, selalu bersenam, jangan makan
terlalu kenyang ini kerana terlalu banyak makan
mengakibatkan timbulnya penyakit jantung, darah tinggi,
hati dan paras kolesterol tinggi.
Umat Islam juga diingatkan mengelakkan penyakit yang
mengaibkan dan berbahaya. Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada
penyakit sopak, gila, kusta dan segala penyakit yang
berbahaya."
Dan dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada
mati sebab jatuh ke dalam telaga, mati akibat runtuhan,
tenggelam, kebakaran dan aku berlindung daripada
dibinasakan oleh syaitan ketika hendak mati, aku
berlindung kepada-Mu, dan aku berlindung daripada mati
kerana sengatan binatang yang bisa." (Hadis riwayat al-Nasai
dan al-Hakim)
Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW sebagai seorang rasul
memang dipelihara Allah daripada sebarang penyakit jelik.
Bahkan Baginda mengingatkan kepada umatnya supaya
berusaha mengelakkan dan menjauhi penyakit yang
mengaibkan dan perkara buruk lain.
Sakit adalah takdir Allah yang menimpa kepada sesiapa
dikehendakinya. Tidak ada orang yang meminta untuk
mendapat penyakit. Tetapi apabila penyakit menimpa, maka
hendaklah kita bersabar menerima takdir Allah dan
berusaha supaya disembuhkan daripada penyakit itu. |