Poligami Adalah Hukum Allah
Dr. Mohd Asri Zainal Abidin
Poligami adalah peruntukan yang
diberikan oleh syarak kepada lelaki. Dengan peruntukan
tersebut lelaki boleh mengahwini wanita lebih daripada
seorang dan tidak melebihi empat orang. Ianya bukan satu
kewajipan, tetapi satu keizinan. Menjadi kewajipan bagi
setiap muslim beriktikad bahawa hukum-hakam syarak yang
diturunkan Allah S.W.T bukan untuk kepentingan zatNya yang
agung, kerana Dia Maha Suci daripada bergantung kepada
makhluk. Segala apa yang diturunkanNya adalah li maslahah
al-`Ibad iaitu untuk kemaslahatan atau kepentingan
hamba-hambaNya. Malangnya pada mutakhir ini wajah serangan
terhadap Islam dan peraturannya bertopengkan agama untuk
menghancurkan agama. Inilah hasil kelompok yang ingin
memahami Islam daripada golongan orientalis dan
musuh-musuhnya, malangnya mereka tidak dapat memahami Islam
daripada karya-karya asli para ulama Islam.
Kata al-Imam `Izz al-Din `Abd al-Salam
(meninggal 660H): dalam Qawa`id al-Ahkam fi Masalih al-Anam:
“Kita telah ketahui daripada sumber-sumber syarak bahawa
tujuan (hukum-hakam) syarak ialah untuk kemaslahatan
hamba-hambaNya di sudut agama dan akhirat mereka. Bukannya
masaqqah (kesusahan dalam mengamalkan syariat) itu yang
dimaksudkan dengan kemaslahatan, tetapi maksudnya ialah apa
yang diperolehi hasil dari masaqqah tersebut. Ini sama
seperti seseorang doktor yang menyuruh pesakitnya meminum
ubat yang sangat pahit. Tujuannya hanyalah untuk mengubati”.
(1/29, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut).
Namun golongan yang tidak faham
atau yang ingin mencari kesalahan untuk ditempelkan kepada
agama sengaja melihat dari mata musuhnya. Hasrat mereka
untuk menonjolkan kehebatan pemikiran Dunia Barat dan
meperlekehkan Islam. Dalam masyarakat yang umatnya berpegang
kepada Islam, golongan ini cuba memutar belitkan nas-nas
agama untuk kepentingan pemikiran Barat. Mereka mengambil
kesempatan dari kesalahan sikap sebahagian pengamal poligami
untuk memukul sistem tersebut. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi
dalam bukunya Markaz al-Mar’ah fi al-Hayat al-Islamiyyah:
“Sesuatu yang amat mendukacitakan apabila sebahagian
daripada penyeru-penyeru kepada sistem Barat yang ada di
tanahair Arab dan umat Islam mengambil kesempatan apa yang
berlaku pada sesetengah muslimin yang menyeleweng. Lalu
mereka ini bangkit menyuarakan agar ditutup pintu poligami
sama sekali. Mereka ini pagi dan petangnya hanya
membicarakan mengenai keburukan poligami. Padahal dalam masa
yang sama mereka mendiamkan diri seperti diamnya orang di
dalam kubur mengenai keburukan zina, yang dengan dukacitanya
diharuskan oleh sistem perundangan manusia yang menghukum
negara-negara umat Islam hari ini."(m.s 31 cetakan Maktabah
Wahbah, Mesir).
Inilah hakikat yang berlaku pada
hari ini, di mana berlakunya perzinaan yang berleluasa yang
membabit sebahagiannya lelaki yang mempunyai isteri yang
memangsa wanita yang bersedia dimangsa dirinya, yang
keburukannya akan menimpa isterinya yang sah dan keluarga.
Begitu juga hubungan seks yang begitu yang bebas yang
dicerminkan oleh masyarakat yang sedang parah, di samping
adanya media massa yang bersedia menjadikan kisah-kisah
tersebut sebagai bahan paparan yang menguntungkan. Malangnya
golongan ini hanya diam, tiada isu yang hendak dimainkan
mereka. Namun jika mereka melihat adanya peluang yang
membolehkan mereka memukul agama dengan senjata yang meracun
akidah maka mereka jadikan ianya perbahasan yang boleh
membantu mereka menimbul keraguan golongan awam yang tidak
faham terhadap Islam.
Katanya Dr. Yusuf al-Qaradawi
lagi “Adapun pendapat yang menyatakan bahawa berpoligami
membawa keburukan kepada keluarga dan masyarakat ianya
adalah pendapat yang mengandungi kekeliruan yang nyata. Kita
katakan kepada mereka yang keliru ini: Sesungguhnya syariat
Islam tidak mungkin menghalalkan untuk manusia sesuatu yang
memudaratkan mereka, seperti mana ianya tidak mungkin
mengharamkan manusia sesuatu yang memberi manfaat kepada
mereka. Bahkan telah dipastikan menerusi nas (al-Quran dan
al-Sunnah) dan kajian bahawa syariat Islam tidak
menghalalkan melainkan perkara yang baik lagi manfaat. Juga
ianya tidak mengharamkan melainkan yang keji lagi mudarat.
Inilah yang digambarkan oleh al-Quran dengan ungkapan yang
indah lagi padat ketika menyifatkan Rasulullah S.A.W,
seperti yang dikhabarkan oleh buku ahli kitab, iaitu: (maksudnya)
" (sifat-sifatnya di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi
mereka) Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik,
dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang
keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik,
dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan
ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan
belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka." (Surah
al-`Araf :157).
Sambung al-Qaradawi: “Inilah apa
yang diraikan oleh Syariat Islam dalam persoalan poligami,
ianya telah menimbang antara segala kebaikan dan keburukan,
segala manfaat dan mudarat, kemudianya ia mengizinkannya
kepada sesiapa yang perlu dan dikawal dengan syarat bahawa
pengamalnya percaya terhadap dirinya bahawa dia dapat
menjaga keadilan dan tidak takut berlakunya kezaliman dan
berat sebelah. Firman Allah dalam Surah al-Nisa ayat 30:
(maksudnya):“Jika kamu takut tidak berlakua adil maka hanya
seorang isteri. (m.s 133-134)
Persoalan seperti poligami ini
sebenar tidak boleh dibincangkan dengan nada emosi
kewanitaan yang tidak terbimbing semata, atau pandangan
sekumpulan lelaki yang takutkan isteri mereka. Hukum-hakam
syarak memenuhi tuntutan akal yang waras dan logik yang
kukuh sekalipun mungkin emosi membantahnya. Jika kita
melihat kepada seseorang doktor yang menyuntik seorang bayi
dengan jarumnya sehingga menyebabkan bayi tersebut menangis,
andainya fikiran kita tidak dipenuhi pengetahuan tentang
kebaikan tindakan doctor tersebut, kita tentu akan membantah
dan menganggap doktor seorang yang zalim, menginayai bayi
tersebut sehingga dia kesakiatan dan menangis. Namun apabila
pengetahuan kita cukup kita tidak lagi melihat kepada
tangisan bayi tetapi kepada kebaikan yang akan
diperolehinya. Demikian juga poligami. Sesiapa yang ingin
melihat keindahan hikmah poligami maka baca karya Dr.
Mustafa al-Siba`I r.h, iaitu Al-Marah: Bain al-Fiqh wa
Al-Qanun.
Sebenarnya bukanlah Islam sahaja
yang memulakan keizinan berpoligami. Agama-agama lagi juga
telah mengizinkannya. Bahkan pihak gereja seperti yang
dinyatakan oleh Waster Mark, telah mengiktiraf poligami
sehingga ke kurun yang ke tujuh belas, di mana
perlaksanaanya ketika itu begitu meluas.
Kata Dr Zaki Abdul Karim Naik
dalam bukunya Most Common Questions About Islam: Tiada dalam
mana-mana buku agama (selain Islam) samada Vedas, Ramayanan,
Mahabharat, Geetha, Talmud dan Bible had bilangan isteri.
Berdasarkan buku-buku tersebut seseorang boleh mengahwini
sebanyak mana yang dia suka. Katanya juga: Pada peringkat
awal, seseorang lelaki Kristian diizinkan berkahwin sebanyak
mana bilangan isteri yang dia suka, kerana Bible tidak
menghadkan bilangan isteri. Hanya beberapa kurun
kebalakangan ini gereja menghadkan bilangan isteri hanya
satu. Poligami juga diizinkan dalam Yahudi. Ini berdasarkan
undang-undang Talmud., di mana Nabi Ibrahim isterinya tiga,
Nabi Sulaiman isterinya seratus. Perlaksanaan poligami
berterusan dalam Yahudi sehinggalah Rabai Gersom Ben Yehudah
(960-1030M) mengeluarkan perintah menentangnya. Namun
masyarakat Yahudi Sephardic yang hidup di kalangan umat
Islam terus mengamalkannya sehingga tahun 1950..(m.s.3 ,
published by Saba Islamic Media)
Bezanya Islam apabila
mengizinkannya menyertainya dengan peraturan dan disiplin
yang mesti dipatuhi. Jika disiplin itu tidak dipatuhi hanya
diizinkan satu. Maka Al-Quran satu-satu kitab agama di atas
muka bumi ini yang menentu satu isteri bagi yang tidak dapat
berlaku adil. Ini sama seperti semua perkara di dalam Islam
ada peraturannya. Sehingga yang berkahwin seorang (monogami)
juga ada disiplin dan peraturan yang mesti diikuti.
Persoalan keadilan untuk isteri, bukan sahaja bagi yang
berpoligami, yang bermonogami juga mesti adil terhadap
isterinya yang seorang tersebut, cumanya konteks
pengendaliannya sahaja yang berbeza. Bahkan setiap bapa yang
memiliki lebih dari seorang anak juga mesti adil terhadap
anak-anaknya.
Dalam banyak kes kecuaian dan
kezaliman rumah tangga tidak berfaktor pologami. Bahkan
ianya berfaktorkan sikap suami itu sendiri, atau hubungannya
dengan wanita luar tanpa keizinan syarak, atau
tekanan-tekanan luar. Malangnya hal ini tidal difahami
dengan baik oleh sesetengah pengulas poligami. Apatah lagi
sebahagian pengulas tersebut adalah wanita yang tidak
memiliki rumah tangga. Kata Dr. Wahbah al-Zuhaili: “Bukanlah
poligami yang menyebabkan anak-anak terbiar seperti yang
didakwa mereka. Sebaliknya berpunca dari pengabaian bapa
terhadap pendidikan anak-anak, mabuk arak, ketagihan dadah,
tenggelam dalam nafsu, berjudi, berulang-alik ke kedai kopi,
pengabaian keluarga dan lain-lain”. (Wahbah al-Zuhaili,
Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 7/173, cetakan Dar al-Fikr,
Beirut)
Islam tidak memaksa lelaki
berpoligami, tetapi mengizinkannya sebagai keharusan yang
dapat menyelesaikan banyak masalah. Namun pemikiran barat
telah menghantui sebahagian pengulas poligami ini. Apabila
ada kes ketidakadilan yang dilakukan oleh sebahagian
pengamal poligami maka system itu disalahkan. Adalah tidak
pelik untuk mereka ini mengikut jejak langkah barat suatu
hari nanti mengizinkan hubungan tanpa nikah atas alasan
perkahwinan mengongkong wanita dan menzalimi mereka. Bila
mereka melihat ada suami yang tidak adil maka perkahwinan
akan dianggap menginayai wanita dan patut dicegah.
Allah SWT mengizinkan poligami
dengan nas al-Quran dan praktikalnya oleh Nabi S.A.W dan
para sahabah. Malangnya di kebelakangan ini ada
kecenderungan golongan yang mendakwa muslim meminggirkan
al-Sunnah dan ingin hanya berhujah dengan al-Quran dengan
tafsiran secara ‘sendiri berhad’ tanpa melihat apa yang
menjadi tuntutan untuk seseorang menafsirkan kitab Allah.
Sabda Nabi s.a.w: “Sesungguhnya sebelum kedatangan
dajjal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya
tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan
orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap
khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang
khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat
bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang
lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).”
Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la,
al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim
menyatakan isnadnya sahih.dan ini disetujui oleh Al-Zahabi.
Demikian juga Ibn Hajar al-`Asqalani menyebut di dalam Fath
al-Bari :sanadnya baik.
Ada di kalangan yang menentang
poligami ini cuba menyalah tafsirkan ayat Allah dalam Surah
al-Nisa’ ayat 129: (maksudnya) Dan kamu tidak akan dapat
berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu
bersungguh-sungguh (hendak melakukannya).
Kata mereka ayat ini membatalkan
apa yang disebut dalam ayat 30 dalam surah yang sama :
(maksudnya): “Jika kamu takut tidak berlaku adil maka hanya
seorang isteri”.
Sebenarnya dakwaan mereka secara
tidak langsung adalah tohmahan terhadap Nabi S.A.W., para
sahabah dan generasi para ulama Islam sejak dahulu
seakan-akan mereka semua tidak memahami al-Quran sehingga
mengharuskan poligami untuk diri mereka dan umat.
Ayat 129 Surah al-Nisa’ itu
sebenarnya membicarakan tentang keadilan mutlak yang tidak
mungkin dapat diberikan oleh insan. Keadilan mutlak
membabitkan semua aspek; perasaan kasih sayang yang ada di
dalam hati, cara hubungan seks dan segalanya. Ini semua
bukan dalam batas kemampuan insan. Sehinggakan insan tidak
mampu menjadikan kadar kasih sayangnya terhadap anak-anaknya
sama, demikian jugalah terhadap isteri-isterinya. Bagi anak
yang lebih manja dan pandai mengambil hatinya tentu perasaan
cintanya lebih. Demikian juga isteri. Namun apa yang
dituntut ialah agar persoalan akhlak pergaulan dan sikap,
persoalan kebendaan hendaklah dalam timbangan keadilan dan
kesaksamaan kerana itu dalam batas kemampuan insan. Tidak
boleh dijadi perasaan cinta di dalam hati membawa kepada
ketidakadilan dalam tindakan. Oleh itu sambungan ayat itu
menyebut: (maksudnya) oleh itu janganlah kamu cenderung
dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu
sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti
benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu
memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri
(daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Baginda S.A.W menyebut dalam
hadith: Daripada `Aisyah R.A: Bahawa Nabi S.A.W membahagikan
hak di antara isteri baginda dengan adil. Baginda bersabda:
Ya Allah inilah pembahagianku apa yang miliki, jangan Engkau
salahku dalam apa yang aku tidak miliki. (Riwayat al-Nasai,
Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Al-Hakim (meninggal
405H) mensahihkannya dalam Al-Mustadrak 2/554, cetakan Dar
al-Ma’rifah, Beirut dan disetujui oleh al-Zahabi (meninggal
748H).
Kata Abu Daud ketika meriwayat
hadith ini maksud apa yang aku tidak miliki ialah hati,
iaitu cinta yang lebih dan kecenderungan hati. (lihat
Al-`Azim al-Abadi, `Aun al-Ma’bud, 6/121, cetakan Dar
al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut).
Maka kecenderungan hati yang
menyebabkan tidak sama dalam kasih sayang tidak dianggap
salah di sisi Allah selagi mana tidak berlakunya ketidak
adilan dalam tindakan. Inilah maksudnya ayat tersebut.
Malangnya mereka ini hanya ingin menjadikan agama menurut
fikiran mereka lalu mereka tidak merujuk apa yang
ditafsirkan oleh para muhaddithin (ulama hadith), mufassirin
(ulama tafsir) yang muktabar. Antaranya apa yang disebut
oleh al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H) dalam tafsirnya
Al-Jami li Ahkam al-Quran: “Dalam ayat tersebut Allah
memberitahu ketidakmampuan melakukan keadilan di antara
isteri dalam kecenderungan tabii seperti cinta dan hubungan
seks dan perasaan dalam hati. Maka Allah mensifatkan hal
manusia bahawa mereka dengan sifat semulajadinya tidak dapat
mengawal kecenderungan hati mereka kepada sesuatu perkara
atau sebaliknya...kemudian Allah melarang manusia dengan
firmanNya: (maksudnya) “janganlah kamu cenderung dengan
melampau” yakni jangan kamu sengaja menyakiti, sebaliknya
hendak sama rata dalam pembagian dan nafkah, kerana ini
perkara yang seseorang mampu melakukannya." (5/407, cetakan
Dar al-Fikr, Beirut)
Demikian jika mereka merujuk
kepada tafsir muktabar yang lain yang menjadikan panduan
tafsiran mereka al-Quran itu sendiri, sunnah Nabi dan
perjalanan para salaf soleh (generasi awal Islam yang
beriltizam). Kata al-Syeikh `Abd Allah Nasih `Ulwan r.h:
Musuh-musuh Islam daripada kalangan atheis dan orientalis
cuba menentang peraturan Islam dengan menimbulkan
tohmahan-tohmahan palsu, keraguan-keraguan dan
serangan-serangan yang hasad terhadap Islam demi menimbulkan
syak orang ramai terhadap kebaikan peraturan Islam,
kesesuaiannya sepanjang zaman dan masa. Maka ada orang Islam
yang menyambut pandangan-pandangan mereka serta beriman
dengan akidah dan pemikiran mereka dan jatuh ke dalam
perangkap syak dan tohmahan mereka. Di antara tohmahan dan
serangan yang mereka timbulkan ialah keharusan Islam bagi
peraturan poligami. (`Abd Allah Nasih `Ulwan, Ta`addud
al-Zaujat fi Islam, m.s: 9, Dar al-Salam, Kaherah)
Adapun pandangan yang
mensyaratkan keizinan isteri pertama atau kadi atau mahkamah
syariah bagi sesiapa yang ingin berpoligami adalah sesuatu
yang ditolak. Para ulama kontemporari telah menjelaskan
alasan penolakan ini dalam tulisan-tulisan mereka. Masalah
keadilan suami adalah sesuatu yang tidak dapat dinilai
sebelum perkahwinan berlaku. Bagaimanakah mungkin seseorang
kadi atau sesuatu pihak dapat mendakwa bahawa si pulan jika
beristeri dua tidak akan adil? Bagaimana pula seseorang
dapat memutuskan si pulan yang lain jika beristeri dua adil?
Bahkan ada orang yang disangka adil tetapi ternyata
sebaliknya. Ada yang dianggap pendapatannya kurang tapi bila
berkahwin dua, pendapatannya bertambah.
Sikap adil atau bertanggungjawab
terhadap isteri bukan hanya kepada yang beristeri lebih
daripada satu tetapi juga kepada yang beristeri satu. Kalau
hak ini diberikan kepada kadi maka nanti yang ingin
berkahwin satu juga akan dinilai oleh kadi sama dia boleh
bertanggungjawab atau tidak. Kemudian nanti yang ingin
menambah anak atau memperolehi anak juga akan dinilai dia
mampu atau tidak? Apakah kita lupa, ramai yang sikapnya
berubah menjadi lebih cemerlang selepas perkahwinan, atau
rezeki semakin bertambah selepas bertambah bilangan anak.
Sebab itulah Perhimpunan Kajian
Islam (Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah) pada muktamarnya yang
kedua di Kaherah tahun 1975 membuat keputusan seperti
berikut: “Adapun berhubung dengan poligami, maka pihak
muktamar memutuskan bahawa ianya adalah harus dengan
jelasnya berdasarkan nas-nas al-Quran al-Karim juga dengan
syarat-syarat yang berkaitan dengannya. Adapun penggunaan
hak ini adalah terpulang kepada pihak suami, ianya tidak
memerlukan keizinan kadi”.
Dr. Abd al-Karim Zaidan menyebut
di dalam bukunya Al-Mufassal fi Ahkam al-Marah: “Aku melihat
tidak harus dari segi syarak memberikan kelayakan
berpoligami ditentukan kadi, atau mengaitkan keharusan
berpoligami dengan izin kadi.” Kata beliau juga: “Antara
bukti yang menyokong keputusan Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah
di atas ialah tidak pernah disebutkan kepada kita pada
mana-mana zaman Islam, sejak Rasulullah S.A.W sehingga ke
zaman selepasnya bahawa sesiapa daripada kalangan fuqaha (ulama
feqah) mensyaratkan keizinan kadi untuk sesiapa yang ingin
berpoligami. Kalaulah syarat ini disyariatkan maka sudah
tentu kitab-kitab fekah dan kehakiman (qadha`) menyebut
berlakunya atau cadangan mengenainya. Apabila ianya tidak
menyebut hal ini sedikit pun, maka inilah dalil yang putus
terhadap ijma’ sukuti (ijmak secara diam) mengenai tidak
dikaitkan keharusan berpoligami dengan keizinan kadi. Maka
cadangan untuk itu sekarang ini adalah memecahkan ijmak. (`Abd
al-Karim Zaidan, Al-Mufassal fi Ahkam al-Marah, 6/294,
cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut)
Juga Dr Wahbah al-Zuhaili
membantah pandangan ini dengan memberikan beberapa hujahnya
di dalam al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh. Sila yang ingin
pendetilan rujuk di bawah tajuk al-Dakwah ila Ja’l ta`addud
al-Zaujat bi Izn al-Qadi. Antara tokoh lain ialah
Dr.Muhammad `Uqlah dalam bukunya Nizam al-Usrah fi Al-Islam
yang menganggap syarat keizinan kadi sebagai pemikiran yang
bid`ah dan boleh membawa kepada hubungan zina. (m.s: 324,
cetakan Maktabah al-Rasalah al-Hadithah, Jordan).
Sesungguhnya Islam boleh
diumpamakan sebuah kedai yang menyediakan berbagai jenis
ubat untuk semua jenis penyakit. Jangan kerana ada ubat yang
dijual itu tidak bersesuaian dengan penyakit kita maka kita
menganggap ubat tersebut mesti dihapuskan. Poligami adalah
salah satu ubat bagi penyakit yang bersesuaian dengannya.
Menghalang zina dan membantu wanita. Bagi yang tidak
memerlukan ubat ini dia tidak disuruh meminumnya.
Janganlah kerana sikap atau
penyakit seseorang yang teracun dengan racun Barat lalu dia
ingin membakar kedai ubat yang menjual poligami. Bagi racun
yang dimakan itu ubatnya adalah memahami akidah dan takutkan
hukum-hakam Allah. Kembali kepada Islam, membacanya bahan
tanpa prajudis dan kebencian. Baiki akidah dan kepercayaan
terhadap al-Din ini.