عَنْ
عَبْدِ اللهِ بْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُوْلَ
اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ كَثُرَ هَمُّهُ
فَلْيَقُلْ: " اَللَّهُمَّ إِنِّى عَبْدُكَ وَابْنُ عَبْدِكَ
وَابْنُ أَمَتِكَ ، وَفِى قَبْضَتِكَ ، نَـاصِيَتِى بِيَدِكَ ،
ماَضٍ فِيَّ حُكْمُكَ ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ ، أَسْأَلُكَ
بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ ، سَمَّيْتَ بِـهِ نَفْسَكَ ، أَوْ
أَنْزَلْتَـهُ فِى كِتَابِكَ ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِـهِ فِى
مَكْنُوْنِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ
رَبِيْعَ قَلْبِى ، وَجَـلاَءَ هَمِّى وَغَمِّى " – مَا قَالَهَا
عَبْدٌ قَطْ إِلاَّ أَذْهَبَ اللهُ غَمَّـهَ وَ أَبْدَلَـهُ بِـهِ
فَرْحًـا .
(صَحِيْحٌ – رَوَاهُ أَحْمَدُ وَابْنُ حِبَّانٍ)
Dari Abdullah Bin
Mas'ud RA, bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa yanny selalu ditimpa kesedihan/kegundahan maka
hendaklah dia membaca: "Ya Allah, sesungguhnya aku adalah
hamba-mu, dan anak abdi-Mu, dan anak-anak-Mu, dan (berada)
didalam genggaman-mu, ubun-ubunku ditangan-Mu, dan berlaku
keatas (diri)ku hukum-Mu, dan adil padaku ketentuan-Mu, aku
memohon kepadaMu dengan semua nama milik-Mu, (samada) yang
Engkau namakan diri-Mu dengannya, atau yang Engkau turunkan dia
di dalam kitab-Mu, atau yang Engkau simpan tersembunyi di alam
ghaib disisi-Mu; kiranya Engkau jadikanlah Al Quran sebagai
penghibur hatiku, dan sebagai penawar kesedihanku dan kedukaanku".
Tidak seorang hambapun yang membaca doa tersebut melainkan Allah
hilangkan kedukaannya dan diganti-Nya (kesedihan itu) dengan
kegembiraan.
(Hadis Sahih Riwayat
Imam Ahmad dan Ibnu Hibban)
SYARAH AL HADIS:
Rasulullah SAW. telah
mengajar umatnya supaya berdoa dan memohon kepada Allah apabila
mereka sedang ditimpa oleh kesedihan. Sesuatu kesedihan lazimnya
adalah timbul setelah seseorang ditimpa suatu musibah.
Tidak seorangpun boleh
mengatasi kesedihan atau kedukaan yang menimpanya secara
sempurna melainkan jika ia berhubungan dengan Dzat Yang
Menentukan Segala-galanya (Qadha dan Qadar).
Berhubung dengan Allah
SWT dalam keadaan merendah diri, mengakui (i'tiraf) terhadap
segara dosa yang pernah dilakukan sambil mengetuk pintu-Nya,
memohon pertolongan dengan penuh yakin bahawa hanya Dia sajalah
yang sanggup menghilangkan rasa sedih dan duka yang menimpa.
Tidak seorangpun selain Dia yang mampu melakukannya. Selain Dia
hanyalah sekadar sebab-sebab yang Dia telah tentukan bagi
hamba-hamba-Nya.
Atas sebab inilah maka
Rasulullah SAW mengajar kita supaya membaca doa diatas jika kita
ditimpa oleh rasa gundah dan sedih yang bersangatan di dalam
menjalani kehidupan ini, semoga Allah akan gantikan kesedihan
dengan kegembiraan.
Dan supaya doa ini
benar-benar dapat memberi kesan positif kepada jiwa orang yang
membacanya, maka berikut ini akan dijelaskan falsafah atau
hikmah atau rahsia dibalik setiap ungkapan dalam doa yang diajar
oleh Nabi SAW itu.
اَللَّهُمَّ إِنِّى عَبْدُكَ وَابْنُ عَبْدِكَ وَابْنُ أَمَتِكَ ،
"Ya Allah, sesungguhnya
aku adalah hamba-Mu, dan anak abdi-Mu, dan anak amah-Mu".
Ungkapan diatas
mengandungi makna " ubudiyah " iaitu penghambaan diri. Ibadah
mencakupi segala yang disukai dan diredai oleh Allah, apakah
dalam bentuk perbuatah atau ucapan, yang zahir atau yang batin.
Jadi segala yanq disuruh dan yang ditegah oleh agama adalah
termasuk ibadah. Sedangkan ibadah dan agama iaitu al-din
mempunyai makna yang sama iaitu " rendah diri ".
مَا
أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ وَمَنْ يُؤْمِنْ
بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ(11)
Ertinya: Tidak ada
sesuatu musibahpun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin
Allah; Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia
akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui
segala sesuatu.
(At Taghaabun: 11)
Imam Ibnu Katsir
menafsirkan ayat diatas: Barangsiapa yang ditimpa suatu musibah,
lalu dia menyedari bahawa musibah tersebut adalah qadha dan
qadar Allah, oleh itu dia dapat sabar menghadapinya dan reda
menerimanya, niscaya Allah akan memberi hidayah (petunjuk)
kepada hatinya dan mengganti apa yang luput itu dengan hidayah
kepada hatinya serta keyakinan yang benar. Malahan terkadang
gantian dari Allah itu lebih baik daripada apa yang luput. (Tafsir
Al Quran Al 'Azim 4/375).
Jadi perkatannya:
mengandungi makna itu semua. Dan makna yang paling menonjol
dalam ungkapan itu ialah ILMU (mengetahui) bahawa yang
menentukan segala-galanya ialah Allah. Dan kita sebagai seorang
HAMBA tidak mempunyai hak untuk menentang kehendak Tuhannya
malahan tidak berhak untuk bertanya mengapa Allah berbuat
demikian terhadap kita. Sikap kita semestinya tidak lain
hanyalah sabar dan reda dengan ketentuan Allah tanpa
bersungut-sungut. Bahkan keredaan tersebut mestilah disertakan
dengan RASA KASIH YANG SEMPURNA kepada ALLAh dan PENUH YAKIN
bahawa apa saja yang ditakdirkan oleh Allah adalah lebih baik
bagi kita, walaupun pada zahirnya bertolak belakang (sebaliknya).
Imam Ibnul Qayyim
berkata: "Hendaknya kita menyedari bahawa musibah yang menimpa
kita bukanlah untuk memusnahkan kita, sesungguhnya kehadiran
musibah tersebut hanyalah untuk menguji sampai dimana kesabaran
kita, dengan demikian barulah jelas apakah kita layak menjadi
WALI ALLAH ataupun tidak".
Kesedihan yang menimpa
seseorang sebenarnya adalah suatu pertanda baik yang membuktikan
kecintaan Allah kepadanya. Atas sebab itulah maka para Rasul dan
para Nabi adalah orang-orang Jang paling banyak mendapat ujian
Allah.
Ka'ab Al Ahbar RA
berkata: "Tidaklah semakin mulia seorang hamba disisi Allah
melainkan semakin ditambah dugaan keatasnya".
Jadi atas sebab itu
semualah maka seorang hamba yang benar-benar ikhlas akan segera
mengisytiharkan sejak awal kesedihan lagi: Ya Allah,
sesungguhnya aku adalah hamba-Mu dan anak abdi-Mu dan anak amah-Mu.
وَفِى
قَبْضَتِكَ ،
Didalam genggaman-Mu.
Maksudnya: Orang yang
berada didalam genggaman lazimnya tidak dapat bergerak kerana
dirinya dikuasai sepenuhnya oleh orang yang menggenggam. Dia
tidak dapat bergerak kecuali jika yang menggenggam meringani
atau melonggari genggamannya.
Jadi ungkapan mengandung
makna pengakuan akan hakikat ubudiyah, seolah-olah dia berkata:
Aku adalah hamba-Mu dan tawanan-Mu. Aku berada dibawah
penguasaan-Mu, Engkau boleh berbuat sesuka hati-Mu terhadap
diriku. Aku tidak punya daya dan kekuatan. Engkaulah Yang Maha
Kuat dan aku makhluk yang sangat lemah. Engkau Maha Kaya dan
Kami sangat fakir dan sangat berhajat kepada-Mu.
Dan sebagaimana orang
yang sihat memaksa saudaranya yang sakit agar makan ubat semata
untuk kemaslahatan dan manfaatnya, demikianlah Allah berbuat
terhadap hamba-Nya adalah semata mata demi kebaikan hamba-Nya.
Kadangkala lenyap dari
ingatan kita tentang hikmah dibalik bencana yang menimpa. Tetapi
jika perasaan kita begitu yakin bahawa diri kita ini sebenarnya
berada di dalam genggaman Yang Maha Pencipta, nescaya perasaan
itu akan membuat kita tidak lekas putus asa, dan selanjutnya
sedikitpun tidak akan menolak ketentuan-Nya.
Oleh sebab itu ketika
kita membaca maka kita mestilah hadirkan makna: iaitu tiada daya
dan tiada kekuatan melainkan dengan izin Allah.
Al Imam Ibnu Hajar
berkata: maksudnya tiada penyimpangan bagi hamba dari melakukan
maksiat melainkan dengan pemeliharaan Allah, dan maksudnya tiada
kekuatan bagi hamba untuk mentaati perintah Allah melainkan
dengan taufiq (izin) Allah.
نَـاصِيَتِى بِيَدِكَ ،
Ubun-ubunku ditangan-Mu.
Ungkapan ini juga
mengandungi pengiktirafan (pengakuan) kita akan kesempurnaan
kudrat Allah keatas kita iaitu dengan menerima segala
kebijaksanaan Allah dalam semua urusan kita. Allah boleh
memperlakukan apa saja terhadap sedikitpun adanya bangkangan dan
sungutan.
ماَضٍ
فِيَّ حُكْمُكَ ،
Berlaku padaku hukum-Mu.
Ungkapan ini pula
menyatakan bahawa tiada ada satu kuasa pun yang boleh menghalang
kehendak Allah berlaku keatas diri kita. Kita sebagai
makhiuk-Nya walau apapun yang kita miliki samada kekuasaan,
harta dan senjata, namun kita tidak akan mampu merubah takdir
yang telah ditetapkan oleh Allah. Perasaan seumpama ini akan
mendorong seseorang untuk tidak kembali kepada siapapun jika
ditimpa kesusahan melainkan hanya kepada Allah, kerana makhluk
tidak kira bagaimanapun martabatnya tetap tidak memiliki diri
mereka sendiri sedikitpun yakni tidak mampu menolong diri
sendiri dan orang lain.
Allah berfirman dalam
surah Fathi Maksudnya: Apa saja yang Allah anugerahkan kepada
manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorangpun yang dapat
menahannya; dan apa saja yang ditahan oleh Allah maka tidak
seorangpun yang sanggup untuk melepaskannya sesudah itu. Dan
Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Said Qutub menafsirkan
ayat diatas: "Sekiranya gambaran dalam ayat ini benar-benar
tersemat di dalam hati seorang manusia nescaya akan luruslah
semua aspek dalam kehidupannya".
Inilah akidah yang wajib
dimiliki oleh setiap muslim. Gambaran akidah seperti inilah yang
telah ditanam oleh Rasulullah SAW kedalam dada para sahabatnya.
Sungguh banyak ayat-ayat Al Quran yang menekankan maksud ini.
Baginda Rasul SAW. memantapkan keyakinan ke dalam dada para
sahabatnya dalam kehidupan sehari-hari malahan sejak peringkat
kanak-kanak lagi.
Ibnu Abbas RA
menceritakan kepada kita bagaimana kisah baginda Rasul SAW.
menanamkan makna akidah diatas kepadanya.
Ertinya: Pada suatu hari
aku berada dibelakang Rasulullah SAW. lalu beliu bersabda
kepadaku: Wahai anak sesungguhnya aku akan mengajar engkau
beberapa kalimat iaitu: Peliharalah Allah nescaya Allah akan
memelihara kamu peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia
di hadapanmu jika engkau meminta maka mintalah kepada Allah dan
jika engkau memohon pertolongan maka pohonkanlah pertolongan
kepada Allah dan ketahuilah bahawa umat sekiranya mereka
bersepakat untuk memberi engkau sesuatu yang bermanfaat nescaya
mereka tidak akan dapat berbuat demikian melainkan sesuatu yang
telah ditetapkan oleh Allah untukmu, (demikian sebaliknya) jika
mereka bersepakat untuk mencelakakan engkau dengan suatu bencana
nescaya mereka tidak akan dapat mencelakakan engkau melainkan
sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah ke atas kamu kalam
diangkat dan lembaranpun kering.
عَدْلٌ
فِيَّ قَضَاؤُكَ ،
Ertinya: Adil padaku
ketentuan-Mu.
Allah SWT tidak pernah
bersikap zalim terhadap hamba Nya. Bahkan Dia Maha Adil dalam
segala sesuatu. Bijaksana (Hikmah) dalam ketentuan-Nya dan
saksama (Adil) adalah dua sifat yang sangat ketara di dalam
dialog antara Nabi Musa AS dengan Nabi Khaidir AS. Nabi Musa AS
menentang keras perbuatan Nabi Khaidir AS yang merosak sampan
nelayan miskin dan membunuh anak kecil yang tidak berdosa dan
menegakkan dinding rumah yang condong. Lalu Nabi Khaidir AS
kemudian menerangkan kepada Nabi Musa bahawa perbuatan itu semua
dia lakukan bukanlah berdasarkan kehendaknya tetapi adalah
semata-mata kerana melaksanakan arahan dari Allah (Al Kahfi:
82). Jelaslah dari itu betapa keadilan Allah walaupun pada
zahirnya kelihatan seperti tidak adil. (Sila lihat Al Kahfi ayat
79 - 82).
Sebaliknya manusialah
yang mempunyai sifat gopoh atau Isti’jaal. Mereka selalu
menghadapi Qadha Allah dengan rasa kesal dan tidak reda,
lebih-lebih lagi kalau yang menimpanya itu sesuatu yang pahit.
Dia mengira kalau dia mendapat kesenangan itu membuktikan bahawa
Allah reda kepadanya. Sebagaimana dia mengira bahawa Allah benci
kepadanya jika ia mendapat bencana.
Inilah gambaran akal
manusia yang sangat terbatas. Sedangkan Allah menafikan sekeras
kerasnya anggapan yang salah dan keliru tersebut di dalam
firman-Nya:
فَأَمَّا
الْإِنْسَانُ إِذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ
وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ[15] وَأَمَّا إِذَا مَا
ابْتَلَاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ
[16] كَلَّا بَل لَا تُكْرِمُونَ الْيَتِيمَ [17]
"Adapun manusia apabila
Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberikan-Nya
kesenangan, maka dia berkata: Tuhanku telah memuliakanku. Adapun
apabila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia
berkata: Tuhanku menghinakanku. Sekali-kali tidak (demikian).
(Surah Al Fajr: 15-17)
Anggapan manusia pada
kedua-dua keadaan diatas adalah keliru. Sebenarnya kelapangan
atau kesempitan rezeki adalah ujian Allah terhadap hamba-Nya.
Apakah mereka akan bersyukur atau kufur nikmat, apakah boleh
sabar menghadapi cubaan atau panik. Balasan untuk seseorang yang
kelak akan diterimanya adalah sesuai dengan sikapnya menghadapi
ujian-ujian diatas. Balasan bukan terletak pada apa yang
diperolehi seseorang di dunia ini samada senang atau susah.
أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ ، سَمَّيْتَ بِـهِ نَفْسَكَ ،
أَوْ أَنْزَلْتَـهُ فِى كِتَابِكَ ،
أَوِ
اسْتَأْثَرْتَ بِـهِ فِى مَكْنُوْنِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ ،
Ertinya: Aku memohon
dengan semua nama milik-Mu, yang Engkau namakan diri-Mu
dengannya, atau yang Engkau turunkan di dalam kitab-Mu atau yang
Engkau simpan tersembunyi di alam ghaib disisi-Mu.
Disini kita diajar oleh
Rasulullah SAW agar bertawassul dengan semua nama dan sifat
Allah sebelum kita memohon apa yang kita hajati. Malahan diawali
juga dengan amal solih lainnya seperti puji-pujian, sanjungan,
kerendahaan diri, pengakuan, penyerahan diri kepada Allah.
Lalu setelah itu barulah
kita memohon kiranya: Allah hilangkan dari kita rasa sedih dan
gundah sambil berdoa:
أَنْ
تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِى ، وَجَـلاَءَ هَمِّى
وَغَمِّى
Ertinya: Kiranya Engkau
jadikanlah Al Quran sebagai penghibur hatiku dan penawar rasa
sedih dan gundahku.
Dan selanjutnya apabila
rasa sedih dan gundah telah lenyap maka akan menjelmalah
kegembiraan dan ketenangan jiwa.
Oleh sebab itulah maka
Rasulullah SAW. menjanjikan:
مَا
قَالَهَا عَبْدٌ قَطْ إِلاَّ أَذْهَبَ اللهُ غَمَّـهَ وَ
أَبْدَلَـهُ بِـهِ فَرْحًـا
Ertinya: Tidaklah
seorang hamba membaca doa tersebut melainkan akan Allah
hilangkan rasa sedihnya, dan akan menggantikannya dengan
kegembiraan.