|
Hadis :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Allah berfirman
dalam hadis qudsi yang bermaksud," Tiada balasan bagi
seseorang hamba-Ku yang telah Aku ambil kembali kekasihnya,
kemudian orang itu mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan
orang itu akan mendapat balasan syurga." Riwayat Bukhari
Huraian :
Pengajaran hadis:
i) Sabar ialah mengawal diri daripada
kegelisahan dan menerima segala dugaan, rintangan dan segala
suruhan Allah dengan hati yang tenang iaitu tidak merasa
jemu dan berputus asa dalam menghadapi kesulitan hidup.
ii) Kita hendaklah bersabar ketika
menghadapi kematian suami, isteri, anak atau ibu bapa kerana
semua makhluk adalah menjadi milik Allah. Malah kita
dinasihatkan untuk berkata:” Sesungguhnya kami adalah
kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Maksud
al-Baqarah :156)
iii) Sabar perlu dilakukan sejak mula-mula
menghadapi bala kesusahan kerana seseorang yang menghadapi
kesusahan dengan penuh kesabaran akan dihapuskan dosanya dan
dimasukkan ke dalam syurga.
iv) Sesungguhnya setiap mukmin yang beriman
kepada Allah, imannya belum dapat diperakui sebelum diuji
keimanannya itu dan berjaya pula menghadapi dugaan tersebut
di mana tiada balasan yang lebih besar di dunia dan akhirat
daripada balasan bagi seseorang yang bersifat sabar dalam
menghadapi bala ketika di dunia.
v) Setiap ujian yang diturunkan oleh Allah
mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Oleh itu untuk menjadi
hamba Allah yang dikasihi, hendaklah kita bersedia
menghadapi setiap ujian yang menimpa dengan penuh kesabaran,
sebaliknya bagi seseorang yang tidak redha menerima ujian
Allah, maka ia akan menjadi hamba yang dibenci serta jauh
daripada rahmat Allah.
|