|
Tazkirah
Sekerat Islam

“Dia sudah
kurangkan minum araknya dari siang malam pagi petang, kepada
meminumnya hanya untuk sesekali menghilangkan ketagihan!”, kata si
A.
“Rasanya
saya ada nampak dia pergi masjid untuk sembahyang Jumaat. Ok la tu,
at least dia sudah mula sembahyang”, ujar si B tentang
rakannya.
HUKUM VS DAKWAH
Perkembangan
separuh-separuh begitu, akan dibalas bergantung kepada persepsi
seseorang. Jika kita melihatnya dari kacamata hukum, maka minum arak
sesekali tiada bezanya dengan minum arak sentiasa. Dia tetap seorang
peminum arak. Orang yang hanya bersembahyang Jumaat dengan
meninggalkan sembahyang fardhu yang lima secara harian itu, tetap
dilihat sebagai mengingkari kewajipan besar yang disyariatkan oleh
Allah SWT.
Tetapi bagi
pendakwah yang bekerja merawat manusia, ia mungkin akan dilihat
sebagai suatu perkembangan yang positif. Meninggalkan ketagihan arak
secara harian dan mula mampu memilih waktu tertentu sahaja untuk
meminumnya, adalah suatu peningkatan. Self control diri
peminum itu mungkin sedang melalui proses membina kekuatan.
Begitu juga
dengan orang yang tidak pernah bersolat, mula ‘memberanikan’ diri
untuk menghadiri solat Jumaat, ia merupakan proses menjinakkan
dirinya dengan sesuatu yang mungkin begitu asing bagi dirinya
sebelum ini.
Jiwa Dai’e Otak Faqih, artikel yang
saya tulis lama dahulu, sedikit sebanyak menjelaskan persepsi saya
tentang hal ini. Seorang Muslim yang berjiwa dai’e, menghargai
setiap perkembangan seseorang biar pun masih jauh dari mencapai
kesempurnaan. Apa yang dilihat, bukan berapa banyak yang dia belum
buat, tetapi berapa banyak yang dia sudah mula laksanakan.
Tetapi…
IDOLA
Saya khuatir
apabila mad’u yang berubah-ubah secara beransur ini, adalah seorang
public figure yang menjadi idola dan ikutan ramai.
Golongan
yang saya maksudkan ini adalah para ARTIS.
Mungkin
buruk benar jika saya katakan bahawa, saya lebih suka jika
artis-artis ini tidak bertudung, tidak bercakap soal agama dan
langsung tiada kelihatan kepedulian mereka terhadap agama. Lantas
apabila ada yang berhasrat untuk berhijrah, mereka berhijrah
sepenuhnya. Orang tidak merujuk kepada artis untuk mencari contoh
beragama.
Kalau
ditanya kepada emak saya, tentu ingatan yang tidak mungkin beliau
lupakan ialah kehilangan seorang selebriti pembaca berita terkenal
di RTM iaitu
Wan Chik Daud. Hijrahnya memakai
tudung telah ‘mengundurkan’ dirinya dari muncul di kaca televisyen,
sedangkan beliau amat dekat di hati masyarakat kerana suaranya yang
beraura ketika membaca berita dan mengacarakan majlis, hilang secara
tiba-tiba (sehingga kini RTM menjadi satu-satunya stesyen televisyen
negara yang masih tidak membenarkan pengacara dan pembaca beritanya
memakai tudung).
Tetapi
kebelakangan ini, hijrah yang berlaku mula sekerat-sekerat.
Khususnya dalam konteks pemakaian tudung.
TUDUNG SILAM
Tidak dapat
saya nafikan, bahawa jiwa ini lebih sejahtera ketika orang perempuan
kita tidak pandai menggayakan fesyen dengan tudung. Bermula dengan
tidak bertudung, kemudian bertudung bawal dan kemudian bertudung
labuh serta bulat, dan mungkin sebahagian memilih untuk berpurdah.
Terpulang. Tudung di kala itu adalah suatu perjuangan untuk seorang
wanita Muslimah membina jati dirinya.
Memakai
tudung ialah suatu proses besar yang memerlukan pengorbanan.
Namun tudung
mengalami evolusi, seiring dengan nasyid dan ‘perkara-perkara Islam
yang lain’ apabila kreativiti ditumpahkan kepadanya supaya tudung
jangan lagi dikaitkan dengan imej bosan, tidak menonjol dan
distinguished from others. Bertudung tetapi masih boleh
kelihatan ‘cantik’. Lantas pelbagai cara pemakaian tudung berlaku,
pelbagai fesyen diketengahkan, seiring pula dengan busana Muslim
yang terkini, diangkat menjadi industri antarabangsa.

Tetapi di
manakah kerisauan saya?
TUDUNG CACAT
Konflik
berlaku apabila kita melihat kebelakangan ini, penggayaan fesyen
dilabelkan sebagai Islam sedangkan ia amat jauh dari menepati hukum
asas Islam. Tudung dipakai sekerat dengan membiarkan bahagian depan
terkeluar… ia dikategorikan sebagai Islamik dan sesuai untuk
menonjolkan imej seorang Hajjah.
Dari tudung
yang cukup untuk melindungi leher dan dada, artis-artis yang telah
berhijrah ini mula mengurangkan tudungnya kepada sekadar menutup
rambut tetapi dibiarkan telinga, leher dan dada terdedah.
Apabila
pakaian-pakaian seperti ini semakin berleluasa, ia menghantar satu
mesej yang salah kepada masyarakat. Pemakaian seperti ini dianggap
sebagai telah menyelesaikan tuntutan Islam, sedangkan ia masih jauh
lagi dari ukuran Islam terhadap apa yang dinamakan sebagai hijab.
Lebih khuatir lagi, apabila nama-nama besar dalam industri fesyen
memberikan sentuhan mereka untuk mencantikkan lagi ‘pakaian cacat’
ini, dan ia diperagakan atas nama Busana Islam!
Terpulang,
jika tudung mahu dihias cantik dengan labuci dan renda. Terpulang
jika jubah mahu dibuat dari material hebat seperti French Lace
dan sebagainya. Tetapi tudung hanya menjadi tudung apabila ia
berjaya melindungi rambut, telinga, leher dan dada seorang wanita
yang mahu mentaati Allah di dalam pakaiannya. Jubah hanya menjadi
jubah apabila ia berjaya melindungi rupa tubuh seorang perempuan
kecuali muka dan tapak tangannya.
Sebagai
pendakwah, saya tetap menghargai perubahan beransur yang berlaku
dari seorang yang berpakaian seksi kepada berpakaian yang lebih
sopan, serta sehelai kain yang diletakkan di atas sebahagian kepala.
Dakwah boleh mendefinisikannya sebagai ’suatu perubahan’. Namun
untuk difahamkan bahawa pakaian sedemikian adalah fesyen Islam,
busana Islam dan sudah memenuhi tuntutan Islam… ia adalah suatu
pencemaran kepada kefahaman Islam.

Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama
Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu
menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi
kamu yang terang nyata. [Al-Baqarah 2: 208]
Saya tidak
akan memadamkan catatan pengorbanan Muslimah yang berusaha untuk
menutup aurat mereka dengan sempurna hingga diludah di kampus-kampus.
Saya tidak akan pencilkan catatan pengorbanan sebahagian artis yang
meninggalkan dunia glamour yang melumpuri kehidupan mereka
demi untuk menghayati ajaran Islam yang betul. Segala perit pahit
mereka tidak harus terpadam oleh fesyen baina-baina (sekerat-sekerat)
yang semakin berleluasa sekarang ini.
INPUT PROSES OUTPUT
Juga tidak
harus dilupa, tudung itu adalah proses. Sama juga seperti solat dan
puasa. Syariat mengkehendaki seorang Muslim dan Muslimah berpakaian
dengan pakaian tertentu, melakukan ibadah tertentu, tujuannya adalah
untuk memproses hati dan tingkah laku. Memakai tudung bukan tanda
seorang itu sudah baik, sebaliknya untuk seseorang memperbaiki diri
dia harus memakai tudung dengan sedar (full of consciousness).
Bukan dia baik dengan alasan dia bertudung, sebaliknya kalau hendak
jadi baik, kenalah bertudung.
Orang yang
berpakaian kerana Allah, hanya ada Satu Tuhan yang mahu
digembirakannya. Orang yang berpakaian untuk menyedapkan mata
manusia memandang, akan menjadi hamba kepada tuhan-tuhan kecil yang
mahu digembirakannya.
Apakah
nawaitu kepada perubahan itu?
|