|
 |
|
Tazkirah
Untuk apa punyai
zuriat
Mendapat cahaya mata dari baka
sendiri cukup membahagiakan si ibu. Demikian juga si ayah.
Lebih-lebih lagi saat menunggu kelahiran penyeri rumahtangga ini
sudah terlalu lama. Si ibu rasa bangga kerana berjaya memenuhi
hasrat suami dan keluarga. Bahkan, si ibu sendiri cukup puas dan
bersyukur kepada Ilahi kerana dikurniakan anak yang diimpikannya.
Anak adalah anugerah Ilahi. Rezeki dan kurniaan dari Allah SWT
kepada pasangan suami isteri. Semua pasangan secara fitrahnya
berhajat dan sentiasa mengharapkan kurniaan ini. Sama ada pasangan
yang Muslim mahupun bukan Muslim. Oleh itu, ibu bapa Muslim harus
tahu menilai kurniaan ini. Anak adalah amanah Allah. Ibu bapa harus
tahu hakikat ini. Ini tuntutan Islam. Ibu bapa yang tidak faham dan
tidak tahu menilai anugerah ini akan mengabaikan kewajiban mereka.
Tanggungjawab menjaga dan mendidik anak dianggap remeh.
Tidak semua orang yang berkahwin mudah dan cepat menimang cahaya
mata. Allah yang menentukan dan mengurniakan amanah ini. Oleh itu,
pasangan yang telah diizinkan oleh Allah mendapat anak mesti
menjaganya dengan baik. Curahkan kasih sayang dan perhatian yang
sebaik dan seimbang mungkin menurut perintah Allah dan didikan
Rasulullah SAW.
Allah SWT berfirman, Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang
Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia
kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan
(kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul
siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha
Kuasa. (asy-Syura: 49-50).
Oleh itu, kita wajib menyambut anak yang lahir dengan penuh
kesyukuran dan kasih sayang kerana ini nikmat dari Allah SWT. Nikmat
yang akan menjadi penyeri rumahtangga. Membahagia dan menyenangkan
hati suami. Apatah lagi si isteri. Firman Allah, Dan orang-orang
yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kami isteri-isteri kami
dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami). (al-Furqan: 74).
Allah SWT juga ada merakamkan doa hamba-hambanya yang mahukan
pewaris perjuangan mereka. Misalnya, doa Nabi Zakaria, Ya Rabbi,
kurniakan aku seorang anak yang baik di sisi Engkau. (ali Imran:
38). Anugerahkan aku seorang putera, yang akan mewarisi sebahagian
keluarga Yakub. (Maryam: 5-6).
Bahkan, anak yang baik ini akan memberi manfaat kepada ibu bapa
apabila kembali kepada Allah. Akhlaq Hussain pernah mengungkapkan,
Anak-anak yang soleh akan menjadi sumber sedekah jariah bagi ibu
bapa. Itupun jika anak-anak itu dididik, diasuh dan dijaga diri
serta jiwa mereka dengan sempurna hingga menjadi mukmin yang sebenar.
Hanya anak soleh yang melayakkan seorang ibu atau ayah memperolehi
sedekah jariah di akhirat nanti.
Kita menyedari bahawa Allah SWT telah memerintahkan setiap Muslim
supaya menjadikan diri sebagai manusia yang dikehendaki Allah iaitu
rabbani. Allah berfirman, Hendaklah kamu menjadi manusia-manusia
rabbani. (ali-Imran: 79). Ibu bapa mempunyai tugas berat mendidik
anak-anak yang rabbani. Satu tanggungjawab yang suci untuk
menghasilkan manusia-manusia yang hanya taat kepada Allah dan
RasulNya. Amanah ini cukup berat, tapi ia akan ditanya oleh Allah
kelak.
Rasulullah SAW bersabda, ... .dan setiap suami adalah pemimpin bagi
keluarganya. Ia akan diminta pertanggungjawabannya dan setiap isteri
adalah pemimpin atas penghuni rumah dan anak suaminya, dan ia akan
diminta pertanggungjawabannya.
Sehubungan itu, ibu bapa mesti memahami dan menunaikan setiap hak
anak yang dipikulkan kepada mereka. Sabda Nabi, Hak anak ke atas
ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis,
mengahwinkannya apabila sudah cukup umur dan mengajarnya al- Quran.
(Riwayat al-Hakim & ad-Dailami).
Baginda SAW juga pernah bersabda, Tidak ada suatu pemberian yang
lebih baik daripada seorang ayah kepada anaknya daripada budi
pekerti yang baik. (Riwayat at-Tirmidzi).
Di samping itu, kasih sayang ayah dan ibu mesti diberi kepada
anak-anak. Ini hak mereka. Perhatian dan kasih sayang mereka
perlukan untuk menjadi insan rabbani. Akhlaq Hussain menulis,
Seandainya ibu bapa tidak melayani anak-anak mereka dengan kasih
sayang, bagaimanakah mereka mengharapkan anak itu berkelakuan baik
kepada mereka?.
Oleh itu, mendidik anak-anak menjadi insan soleh adalah
tanggungjawab dalam agama Islam. Ibu bapa tidak seharusnya gagal
mendidik anak-anak di dunia ini. Jika gagal mendidik anak kerana
lalai, maka beban yang berat akan dipikul di akhirat nanti. Allah
SWT telah memperingatkan perkara ini menerusi firmanya, Wahai
orang-orang yang beriman! Selamatkan diri kamu dan anggota keluarga
kamu daripada api neraka. (at-Tahrim: 6).
Anak-anak adalah penyambung kehidupan keluarga dan penerus hasrat
ibu dan ayah. Mereka mesti dididik agar menjadi anak yang soleh.
Dipersiapkan untuk memikul dan melaksanakan tugas menyebar dan
membela Islam. Merekalah yang mewarisi kerja-kerja kita yang belum
selesai. Mereka mesti bertanggungjawab untuk menyambung tugas suci
ini dengan lebih berkesan.
Oleh itu, cuba tanya diri kita. Seriuskah kita dalam kerja mendidik
ini? Betulkah cara yang kita guna untuk mendidik, mengasuh dan
menjaga anak-anak kita? Adakah kurniaan ini kita anggap beban? Atau
orang yang diseru dan dididik kefahaman, kesedaran dan peribadi
mereka? Inikah cara didikan yang disyariatkan oleh Allah SWT dan
ajaran Nabi SAW? |
BACK
Segala komentar boleh dihantar
terus kepada alamat e-mail di bawah
Rekabentuk dan Isi Kandungan oleh
webmaster@eonbank.com.my
|

Muka Depan
AJK Surau
Waktu Solat
Tazkirah
Soal Jawab Agama
Pautan Internet
IslamOnline
IslamQ&A
al-Ahkam.net
Darul Kauthar
Read The Al-Quran
Panduan
Solat
Laman 'Arab
al-Qaradhawi
al-albani.net
Binbaz.org
|