|
Tazkirah
Hutang
HUTANG, suatu perkataan yang sering diucap, mudah
untuk diberi tetapi amat sukar untuk dilunaskan.
Hutang merupakan suatu kaedah urus niaga atau muamalat yang telah
wujud dalam kehidupan manusia bermasyarakat sejak berabad-abad
lamanya.
Cuma bentuknya agak berubah, jika dahulunya ramai yang berhutang
barang keperluan, sekarang lebih ramai yang berhutang mata wang.
Jika dahulu ramai yang berhutang kerana terdesak, sekarang ada yang
berhutang kerana ingin mengekalkan lagak..
Jika dahulu orang berhutang dengan duit, sekarang segalanya
dipermudahkan dengan kad kredit.
Berhutang bukanlah suatu amalan yang ditegah, bahkan dalam sistem
kehidupan kita hutang dalam apa jua bentuk dan namanya adalah suatu
yang diiktiraf kewujudan dan kepentingannya.
Agama juga mengakui ada ketikanya hutang diharuskan, walaupun bukan
itu yang digalakkan.
Setiap kita berhutang dalam kapasiti dan kuantiti yang berbeza. Ada
yang berhutang kerana tidak membawa duit pada waktu tersebut, malah
lebih ramai lagi yang berhutang kerana sememangnya tidak berduit.
Bukanlah kapasiti kita untuk membincangkan perkara tersebut.
Tepuklah dada, tanyalah diri sama ada hutang itu perlu atau boleh
ditunggu.
Nabi mengajar kita supaya sentiasa berdoa agar dilepaskan kita
daripada beban hutang. Namun, perkara yang sering kita lupakan
tetapi sebenarnya lebih penting ialah bab membayar hutang..
Tiada aib jika kita berhutang tetapi suatu kesalahan besar jika
tidak membayarnya. Walaupun begitu, dengan tidak menafikan golongan
yang sememangnya benar-benar kesuntukan wang untuk membayarnya,
namun wujud sekelompok manusia yang sengaja tidak mahu untuk
membayar selagi tidak diminta.
Budaya ini amatlah jelas bertentangan dengan suruhan agama yang mana
Nabi bersabda bahawa hutang wajib dibayar walaupun tidak dituntut.
Sebagaimana tiada orang yang memanggil kita untuk berhutang, seperti
itulah sepatutnya kita bersegera untuk melunaskannya walaupun tanpa
sebarang notis berwarna merah. Itu adalah tanggungjawab kita.
Bermula dengan hutang dengan saudara-mara dan jiran sekampung,
sehinggalah kepada pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Pinjaman
Tabung Pendidikan Tinggi Negara, ramai yang menunggu untuk membayar
setelah dipanggil dengan notis.Pada masa yang sama, dalam hati
merasa amat senang dan terlepas daripada gangguan sekiranya tiada
pihak yang datang menuntut. Mujur sekali rasanya, jika pihak yang
memberi pinjaman ini lupa terus untuk menuntut walaupun sikap ini
amat tidak disukai oleh agama dan negara.
Lebih parah lagi jika hutang yang 'dibuat lupa' ini melibatkan ahli
keluarga atau jiran tetangga. Selagi mana tidak dibayar, selagi
itulah tidakkan hilang calarnya.
Hatinya pasti membuak-buak perasaan buruk sangka dan hilang
kepercayaan terhadap saudara darah dagingnya. Putusnya silaturahim
angkara siapa, jika bukan kerana kita yang melupakan orang yang
pernah menolong kita.
Pastinya, tiada yang marah jika kita benar-benar memberitahu mereka
kenapa kita tidak mampu membayar pada waktunya. Tidak pelik juga ada
yang akan menghalalkan terus hutang tersebut kerana kejujuran yang
kita luahkan. Akan lenyaplah segala buruk sangka dan terpadamlah api
kemarahan yang marak membara. Silaturahim yang layu kekeringan tidak
mustahil akan subur semula.
Kepada graduan yang membuat pinjaman untuk membiayai pelajaran
mereka, ingatlah bahawa wang yang dipinjam ialah wang negara dan
wang rakyat.
Satu peluang telah diberikan sehingga kita berjaya dan seharusnya
peluang itu kita berikan kepada generasi yang lebih muda dan lebih
memerlukan daripada kita. Tidak akan aman roh kita sekiranya mati
kita dalam keadaan hutang yang belum diselesaikan.
Sementara aura hari kebangsaan Malaysia yang masih membara, marilah
sama-sama kita memerdekakan diri daripada berlenggu hutang yang
sifatnya suka melilit kita.
Bermula dari hutang membayar harga nasi di pinggan, melarat sehingga
keliling pinggang lama-kelamaan ia naik ke leher dan tidak mustahil
akan menjerut kita suatu hari nanti. Justeru, segeralah kita
membayar hutang pada waktunya. Hutang kita tanggungjawab kita.
Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam ada menjelaskan dalam sebuah hadis maksudnya:
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu,
dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda: "Barang siapa
mengambil harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya,
maka Allah akan luluskan niatnya itu. Tetapi sesiapa mengambilnya
dengan niat akan membinasakannya (dengan tidak membayar) maka Allah
akan membinasakan dia." (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam juga ada bersabda dari hadis yang
diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang mengatakan bahawa orang yang
sengaja melambatkan atau melengah-lengahkan pembayaran hutang dalam
keadaan dia boleh melunaskan hutangnya dengan segera adalah
melakukan kezaliman.
"Dari Abi
Hurairah Radiallahuanhu katanya: Telah bersabda Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam: Roh seseorang mukmin itu
tergantung-gantung (dihalang daripada tempat yang mulia) dengan
sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan." (Riwayat
Al-Imam At-Tarmidzi) .
|