Pengertian
solat jemaah
Solat jemaah ialah solat beramai-ramai yang
sekurang-kurang bilangannya selain daripada solat fardhu
Jumaat ialah 2 orang.
Seorang menjadi
imam dan seorang menjadi makmum. Semakin ramai bilangan
jemaah maka semakin besar pula fadhilat pahalanya.
Solat jemaah
adalah berlainan hukumnya menurut jenis solat yang
dikerjakan, iaitu:
-
Fardhu ain pada
solat Jumaat;
-
Fardhu kirayah
pada solat fardhu lima waktu; dan
-
Sunat pada
solat jenazah dan solat-solat sunat yang disunatkan
berjemaah padanya, seperti solat dua hari raya,
solat gerhana bulan dan matahari, solat minta hujan,
solat terawih dan solat witir pada bulan Ramadhan.
Tuntutan
berjemaah pada solat fardhu
Tuntutan berjemaah pada solat 5 waktu yang selain
daripada solat fardhu Jumaat, pada pendapat yang masyhur
dan paling sohih menurut Imam an-Nawawi adalah tuntutan
fardhu kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki
yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian
menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran
syarie.
Jadi bererti
apabila sesebuah kampung atau mukim mendirikan solat
jemaah di tempat yang dikira menzahirkan syiar Islam
seperti di masdjid atau surau, maka gugurlah dosa atas
orang-orang kampung atau mukim yang tidak hadir bersolat
jemaah. Tetapi sekiranya tidak didirikan solat jemaah
maka semua penduduk kampung atau mukim itu berdosa.
Dalil tentang
amat kuatnya tuntutan berjemaah itu ialah apa yang
diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bahawa,
Rasulullah s.a.w
pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang
meninggalkan solat berjemaah.
Imam Muslim pula
meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah r.a:
Ada seorang
lelaki buta telah datang mengadu kepada Nabi s.a.w
bahawa dia tidak mempunyai orang yang boleh memimpinnya
pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda
memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumahnya.
Pada mulanya Baginda telah membenarkannya, tetapi
kemudiannya Baginda menarik balik kebenaran tadi setelah
Baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar
seruan azan solat yang dikumandangkan di masjid.
Fadhilat
(kelebihan) solat berjemaah
Fadhilat solat berjemaah amat besar sekali berbanding
dengan solat bersendirian. Sabda Nabi s.a.w yang
bermaksud:
Solat berjemaah
melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27
kali ganda). (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebenarnya
fadhilat solat berjemaah adalah bertali arus, sambung
menyambung, mengembang dan membesar. Orang yang bersolat
jemaah bukan sahaja mendapat setakat 27 darjat, malah
dia akan mendapat banyak fadhilat dan keuntungan
sampingan lain lagi semasa dia berulang alik ke masjid
dan semasa dia berada dalam masjid.
Selepas ini
insya-Allah akan diterangkan fadhilat-fadhilat tersebut
untuk menjadi dorongan kepada kita semua agar cintakan
solat berjemaah.
Wallahu a’lam.
|