|
Ibadat
> Bab 15 : Solat
PENGERTIAN
SOLAT
-
Solat
dari segi bahasa bermaksud doa atau doa dengan sesuatu kebaikan.
-
Dari
segi syara‘, solat bermaksud perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan
yang dimulai dengan takbir beserta niat dan diakhiri dengan
salam dengan
syarat-syarat tertentu.
-
Perkataan-perkataan
di dalam sembahyang dikenali sebagai rukun qawliyy.
Manakala perbuatan-perbuatan di dalam sembahyang dikenali sebagai
rukun
fi‘liyy dan perlakuan selain daripada perkataan dan perbuatan
dikenali
sebagai rukun qalbiyy.
WAKTU
SEMBAHYANG
- Waktu sembahyang
fardhu lima waktu iaitu Zuhur, ‘Asar, Maghrib, ‘Isya’
dan Subuh telah dinyatakan dengan terperinci dari awal hingga
akhir oleh Sunnah Nabi. Secara umumnya, waktu-waktu itu telah
dinyatakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam melalui
sabdanya yang bermaksud:
“Jibril
telah mengimami saya sebanyak dua kali. Beliau bersembahyang Zuhur
bersamaku ketika tergelincir matahari dan ‘Asar ketika bayang-bayang
sesuatu benda telah sama panjangnya dengan sesuatu itu, dan Maghrib
ketika terbenam matahari dan ‘Isya’ ketika terbenam
syafaq (iaitu cahaya merah) dan Subuh ketika terbit fajar. Pada
keesokan harinya, Jibril bersembahyang bersama saya solat Zuhur
ketika bayang-bayang sesuatu berada sepanjangnya dan ‘Asar
ketika bayang-bayang sesuatu berkedudukan dua kali panjangnya
dan Maghrib ketika orang berbuka puasa dan ‘Isya’
ketika sepertiga malam dan Subuh ketika menguning cahaya pagi.
Kemudian Jibril berkata: Inilah waktu sembahyang Nabi-Nabi sebelum
engkau. Waktu sembahyang adalah di antara waktu ini.”
- Secara terperincinya,
waktu-waktu bagi setiap solat fardhu adalah seperti berikut:
1. Waktu
Zuhur bermula dengan tergelincir matahari (zawal), iaitu matahari
condong daripada tengah-tengah langit ke arah barat dengan
keadaan sesuatu benda mempunyai sedikit bayang ketika matahari
terpacak dan matahari mula condong ke arah barat. Waktu Zuhur
berakhir apabila bayang sesuatu benda menjadi sama panjang
dengannya.
2. Waktu
‘Asar (solat al-wusta) bermula dengan berakhirnya waktu
Zuhur, iaitu apabila bayang sesuatu benda yang sama panjang
dengan benda itu mula bertambah dengan pertambahan yang paling
minimum. Ia berakhir dengan terbenamnya matahari.
3. Waktu Maghrib, ia bermula dengan terbenam matahari dan
berterusan sehingga hilang cahaya syafaq (cahaya merah) dengan
tidak kelihatan sedikitpun kesannya.
4. Waktu
‘Isya’ bermula dengan tamatnya waktu Maghrib,
iaitu hilang syafaq ahmar (cahaya merah) dan berterusan hingga
munculnya fajar sadiq, iaitu beberapa ketika sebelum naik
fajar.
5. Waktu
Subuh bermula dengan muncul fajar sadiq dan berterusan hinggalah
naik matahari (syuruq). Fajar sadiq ialah cahaya putih yang
menyerlah mengikut garis lintang ufuk.
WAKTU-WAKTU YANG DITEGAH MELAKUKAN SOLAT
- Terdapat
lima waktu yang telah dinyatakan oleh Sunnah sebagai waktu yang
ditegah untuk melakukan sembahyang di dalamnya, iaitu:
1. Selepas
sembahyang Subuh hingga terbit matahari.
2. Semasa
naik matahari hingga kadar ramh, iaitu lebih kurang satu pertiga
jam selepas naiknya matahari.
3. Waktu
matahari tegak (rembang) sehingga matahari tergelincir (masuk
waktu Zuhur).
4. Selepas
sembahyang ‘Asar hingga terbenam matahari.
5. Waktu
matahari kekuningan sehingga terbenam.
- Tegahan untuk
melakukan sembahyang pada waktu-waktu ini bukanlah mutlaq, tetapi
khusus pada jenis sembahyang tertentu sahaja, iaitu:
1. Semua
sembahyang yang tidak ada sebab untuk melakukannya pada waktu-waktu
itu seperti sembahyang sunat mutlaq dan sembahyang sunat tasbih.
2. Sembahyang
yang sebab melakukannya terkemudian seperti sunat ihram dan
istikharah.
- Semua sembahyang
ini jika dilakukan pada waktu-waktu tersebut hukumnya makruh tahrim
yang sangat ditegah dan sembahyang itu juga menjadi batal. Pengecualian
kepada sembahyang yang telah disebut ialah beberapa sembahyang
tertentu iaitu:
1. Sembahyang
yang mempunyai sebab untuk melakukannya seperti sembahyang
yang telah luput (qadha’), jenazah, nazar, sunat wudhu’
dan tahiyyatul masjid.
2. Sembahyang
yang mempunyai sebab yang seiringan dengan waktu itu seperti
sembahyang kusuf (gerhana) dan istisqa’ (minta hujan).
3. Sembahyang
Jumaat ketika matahari tegak.
4. Sembahyang
di Tanah Haram Makkah kerana kelebihan sembahyang itu sendiri.
- Selain daripada
waktu-waktu tersebut, terdapat beberapa waktu lain yang ditegah
melakukan sembahyang, antaranya sembahyang semasa khatib menaiki
minbar masjid untuk membaca khutbah dan sebelum sembahyang Maghrib
kecuali sunat rawatib pada kedua-duanya.
|